Berita

Kehilangan Kaki Bukan Penamat, Dua Beradik Ini Bangkit Cari Rezeki Dengan Niaga Cendol

Share

Kegigihan dua beradik dari Kampung Seri Lebak, Temerloh, Pahang mencari rezeki dengan menjual cendol mencuri perhatian ramai selepas video mereka tular di media sosial baru-baru ini.

Walaupun kedua-duanya kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya, semangat yang ditunjukkan oleh Nik Haznita Saffiya, 20, dan adiknya Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi, 18, menjadi inspirasi buat masyarakat.

Namun, menurut Nik Haziera, mereka bukanlah berniaga untuk mengharapkan simpati orang ramai.

“Bukan raih simpati, tetapi kami sudah berniaga cendol sebelum kehilangan kaki akibat kemalangan jalan raya tiga tahun lalu,” katanya.

Perniagaan terhenti seketika selepas kemalangan

Mengimbas kembali perjalanan mereka, Nik Haziera berkata mereka mula menjual cendol sejak tahun 2023. Bagaimanapun, perniagaan itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu selepas mereka terbabit dalam kemalangan sebelum kembali berniaga kira-kira sebulan lalu.

Menurutnya, insiden yang berlaku pada Februari 2024 itu menyaksikan motosikal yang dinaiki bersama kakaknya bertembung dengan sebuah lori sehingga menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan parah.

“Kaki kanan Angah (kakak) terpaksa dipotong sejurus selepas kemalangan kerana kecederaan serius. Manakala saya pula, doktor cuba selamatkan kaki dengan memasang besi selama hampir setahun.

“Bagaimanapun, selepas menjalani rawatan, doktor maklumkan kaki saya juga tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Reda menerima takdir, pilih untuk terus bangkit

Sebagai anak ketiga daripada lima beradik, Nik Haziera mengakui bukan mudah menerima hakikat kehilangan kaki. Namun, dia memilih untuk reda dan melihat keadaan itu dari sudut yang lebih positif.

“Saya fikir, kalau kaki dipotong mungkin saya boleh bergerak dan menjalani kehidupan dengan lebih baik berbanding hidup terlantar,” katanya.

Cabaran berniaga sebagai OKU

Dalam pada itu, Nik Haziera berkata cabaran terbesar selepas bergelar orang kurang upaya (OKU) adalah menyesuaikan diri ketika bekerja, terutama apabila perlu berdiri dalam tempoh yang lama.

“Kalau pelanggan ramai, memang agak penat. Berdiri lama menyebabkan kaki cepat lenguh dan pergerakan pun tidak sepantas dahulu.

“Sebenarnya, kami ada kaki palsu, namun kurang selesa menggunakannya kerana ia mengehadkan pergerakan. Kalau nak cepat, memang kami lebih selesa melompat atau menggunakan tongkat,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, ramai pelanggan pada mulanya tidak menyedari keadaan mereka, khususnya pelanggan pandu lalu yang hanya mengetahui mereka OKU selepas keluar daripada kenderaan.

“Apabila kami beritahu tidak dapat menghantar pesanan ke kereta, mereka turun dan terkejut lihat keadaan kami.

“Alhamdulillah, kebanyakan pelanggan sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan kepada kami,” katanya.

Tular di media sosial, rezeki semakin murah

Video tular yang memaparkan kegigihan mereka berniaga turut membawa sinar baharu apabila semakin ramai pelanggan hadir untuk membeli cendol.

Malah, mereka juga aktif melakukan siaran langsung di TikTok dan menerima pelbagai kata-kata semangat daripada orang ramai.

“Ramai datang membeli cendol selepas melihat video kami. Kami juga selalu membuat siaran langsung di TikTok dan menerima banyak kata-kata semangat.

“Memang ada komen negatif kononnya kami meraih simpati, namun kami tidak mahu terlalu memikirkannya. Kami memilih untuk terus kekal positif,” katanya.

Mahu kembangkan perniagaan

Berkongsi perancangannya pada masa hadapan, Nik Haziera berharap dapat mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan menyediakan meja dan ruang yang lebih selesa buat pelanggan menikmati cendol.

Dalam masa sama, dia turut menitipkan kata-kata semangat kepada mereka yang sedang berdepan ujian hidup agar tidak mudah berputus asa.

“Kalau ada sesuatu yang kita tidak boleh buat, cuba cari jalan lain. Jangan terlalu fikir apa yang sudah berlaku kerana itu hanya akan membuatkan kita terus sedih,” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Metro Online

Published by
Fath