Berita

Kasih Seorang Bapa, Lebih 10 Tahun Menunggang Ke Singapura Bertemu Anak Dipenjara

Share

Kisah pengorbanan seorang bapa dari Malaysia kembali tular di media sosial selepas dilaporkan semula, sekali gus menyentuh hati ramai.

Menurut laporan 8world News, lelaki berusia sekitar 70 tahun, Cheong Kah Pin, telah lebih sedekad menunggang motosikal dari Johor Bahru ke Singapura setiap dua minggu semata-mata untuk bertemu anak lelakinya yang dipenjarakan walaupun lawatan tersebut hanya berlangsung selama 15 minit.

Cheong akan bangun seawal jam 2 pagi sebelum menunggang motosikal menyeberangi Tambak Johor menuju ke Penjara Changi. Dia tiba di sebuah stesen minyak berhampiran penjara sekitar jam 3 pagi dan menunggu di situ sehingga waktu lawatan bermula pada jam 8 pagi.

Anaknya, Cheong Chun Yin, ditahan pada Jun 2008 di Lapangan Terbang Changi atas kesalahan menyeludup heroin dan ketika itu berusia 24 tahun. Chun Yin pada awalnya dijatuhi hukuman mati sebelum hukuman tersebut diringankan pada tahun 2014 susulan pindaan undang-undang dadah di Singapura. Kini, dia menjalani hukuman penjara seumur hidup serta 15 sebatan, dengan kemungkinan semakan kes pada tahun 2028.

Cheong berkata dia memilih untuk bergerak awal pagi atas faktor usia dan keselamatan.

“Saya sudah tua, dan apabila menunggang motosikal, saya bimbang terlanggar orang lain atau orang lain melanggar saya.

“Sebab itu saya datang awal dan menunggang perlahan. Ada stesen minyak di sebelah penjara, dan saya akan duduk di situ menunggu,” katanya.

Sepanjang lebih sepuluh tahun, Cheong menyaksikan kawasan sekitar penjara berubah, namun stesen minyak itu kekal menjadi tempat setianya menunggu. Di situlah dia berehat dan kadangkala menerima secawan teh daripada kakitangan yang disifatkannya sebagai ‘kawan’.

Kes tersebut turut mengubah kehidupan Cheong sepenuhnya apabila dia terpaksa menjual tiga buah rumah demi membiayai kos guaman anaknya. Kini, dia menyara hidup dengan menjual sayur-sayuran di Pasar Awam Taman Johor Jaya.

Apabila kisah ini dikongsi secara dalam talian, ia meraih lebih 1.5 juta tontonan dan mencetuskan pelbagai reaksi. Ramai menawarkan bantuan kewangan dan pengangkutan, namun Cheong menolak dengan penuh rendah hati.

“Saya tak mahu menyusahkan kamu semua. Cukuplah sekadar melihat kamu semua mengambil berat, itu sudah membuatkan saya sangat gembira. Saya tak mahu duit sesiapa… saya hanya mahu anak saya dibebaskan,” kongsinya lagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath