
Baru-baru ini, JYP Entertainment dan pengasasnya, J.Y. Park atau nama penuhnya Park Jin-young menyentuh hati orang ramai apabila tampil menyumbang sebanyak 550 juta Korea Won (kira-kira RM1.65 juta) bagi membantu kanak-kanak kurang berkemampuan yang menghidap penyakit serius di Mexico.
Menurut JYP Entertainment dalam satu kenyataan, jumlah sumbangan tersebut terdiri daripada 450 juta Korea Won (kira-kira RM1.35 juta) daripada pihak syarikat, manakala 100 juta Korea Won (kira-kira RM299,000) lagi disumbangkan oleh J.Y. Park menggunakan dana peribadinya. Sumbangan berkenaan disalurkan menerusi World Vision Mexico dan World Vision Korea sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat mereka, EDM (Every Dream Matters!).
“Saya suka menyanyi dan membuat persembahan untuk peminat, tetapi tujuan utama saya berada di sini adalah untuk membantu kanak-kanak. Saya berbesar hati dapat menyertai usaha ini, menghimpunkan sokongan dan meningkatkan kesedaran supaya lebih ramai kanak-kanak dapat dibantu,” kata J.Y. Park.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 54 tahun tersebut turut berkongsi bahawa sebagai seorang bapa kepada dua anak perempuan, melihat senyuman anak-anaknya sering membuatkan beliau teringat kepada kanak-kanak lain yang tidak dapat mengejar impian mereka akibat masalah kesihatan.
“Kejayaan kami adalah hasil daripada kasih sayang dan sokongan yang diberikan oleh peminat. Oleh itu, saya merasakan menjadi tanggungjawab kami untuk membalas kasih sayang tersebut,” ujarnya lagi.
Difahamkan, melalui sumbangan itu, kanak-kanak dan remaja yang berdepan penyakit serius akan dibantu mendapatkan akses kepada rawatan perubatan khusus berdasarkan keperluan masing-masing. Bantuan yang disediakan merangkumi rawatan pakar, pembedahan, peralatan bantuan serta kemoterapi.

Dalam pada itu, projek tersebut turut memberi tumpuan kepada beberapa bidang perubatan seperti oftalmologi, rawatan respiratori pediatrik, penyakit jantung, epilepsi, hematologi-onkologi pediatrik dan penyakit jarang berlaku. Proses bantuan akan melibatkan penilaian keadaan ekonomi keluarga serta saringan kesihatan bagi memastikan golongan yang benar-benar memerlukan mendapat rawatan sewajarnya.
Usaha JYP Entertainment dalam membantu pesakit kanak-kanak di luar negara bukanlah perkara baharu apabila syarikat itu telah menjalankan pelbagai projek sokongan perubatan sejak 2020. Secara keseluruhan, kira-kira 10.01 bilion Korea Won (kira-kira RM30 juta) telah disalurkan di 10 wilayah seluruh dunia, sekaligus membantu sekitar 4,489 kanak-kanak mendapatkan semula akses kepada rawatan dan penjagaan kesihatan.
BACA: Prihatin Nasib Kanak-Kanak Kurang Upaya, JYP Entertainment Salur Dana 100 Juta Won
Selain sumbangan menerusi syarikat, J.Y. Park juga dilaporkan konsisten menjalankan kegiatan kebajikan secara peribadi dengan menyumbang 1 bilion Korea Won (kira-kira RM2.99 juta) setiap tahun sejak 2022. Kini, sumbangan di Mexico itu bukan sahaja membuka peluang kepada kanak-kanak mendapatkan rawatan yang diperlukan, malah mencerminkan usaha berterusan JYP Entertainment dan J.Y. Park untuk menggunakan kejayaan mereka dalam membantu mereka yang memerlukan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!













