Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk memproses kehilangan insan tersayang. Ada yang mampu meluahkan rasa melalui kata-kata, ada juga yang menyimpan kerinduan dalam diam.
Menerusi perkongsian kakaknya di Threads menggunakan akaun @rosemaria.77, Faez merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik dan cukup rapat dengan arwah bapanya, Allahyarham Haji Mansor Haji Ismail.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 5 Oktober 2025, hanya kira-kira tiga minggu sebelum ulang tahun kelahiran Faez yang ke-34.
Abah Antara Insan Paling Rapat Dengan Faez
Sejak kecil, kehidupan Faez banyak ditemani oleh kedua-dua ibu bapanya. Malah, demi memastikan Faez dapat bersekolah, ibunya sanggup mengambil lesen memandu ketika usia menghampiri 50 tahun.
Ketika sekolah rendah, Faez bersekolah di SK Serdang sebelum meneruskan persekolahan menengah di Presint 10. Sepanjang tempoh itu, ibunya sendiri yang memandu dan menghantarnya ke sekolah setiap hari sehingga tamat Tingkatan Lima.
Hubungan Faez bersama ibu bapanya juga bukan sekadar di rumah. Menurut kakaknya, satu-satunya tempoh Faez pernah berjauhan lama daripada mereka adalah ketika kedua-duanya menunaikan ibadah haji.
Selepas itu, Faez sering dibawa bersama termasuk ketika menunaikan umrah sebanyak dua kali serta melancong ke Guangzhou, New Zealand dan Dubai.
Hubungannya dengan arwah bapa pula menjadi semakin rapat selepas Haji Mansor bersara.
Daripada urusan memotong rambut hinggalah memotong kuku, Allahyarham merupakan insan yang sering membawa dan membantu menguruskan keperluan Faez.
Malah, Allahyarham juga gemar menyakat Faez dan begitu juga sebaliknya. Selepas bersara, masa yang diluangkan bersama membuatkan hubungan mereka menjadi semakin akrab sehingga disifatkan keluarganya sebagai sentiasa ‘berkepit’.
Ads
Sejak Faez masih kecil, Allahyarham juga sering memikirkan masa depan anaknya itu dan pernah bertanya siapakah yang akan menjaga Faez apabila dia dan isteri sudah tiada.
Namun, adik-beradik Faez sentiasa meyakinkan bapa mereka bahawa mereka semua akan tetap berada di sisi Faez.
Kehilangan Abah Beri Kesan Besar
Disebabkan hubungan yang begitu rapat, pemergian Allahyarham ternyata meninggalkan kesan mendalam terhadap Faez.
Menurut kakaknya, keluarga menyedari perubahan pada Faez selepas kehilangan bapanya. Dia tiba-tiba tidak mahu disentuh oleh sesiapa termasuk kakak dan abangnya, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum itu.
Keluarga memahami Faez baru sahaja kehilangan salah seorang teman yang sentiasa berada di sisinya selama bertahun-tahun selain ibu mereka.
Ads
Kini, tugas yang dahulunya dilakukan oleh Allahyarham diambil alih secara bergilir-gilir oleh adik-beradik serta anak-anak saudara.
Mereka akan membawa Faez memotong rambut, manakala urusan memotong kuku turut dibantu oleh kakak dan abangnya.
Dalam masa sama, Faez juga antara ahli keluarga yang paling kerap berpeluang menziarahi pusara bapanya kerana setiap kali ada ahli keluarga yang ingin ke tanah perkuburan, mereka akan membawanya bersama.
“Rindu Abah… Abah Syurga”
Namun kebelakangan ini, kakaknya menyedari Faez kelihatan semakin pantas menuju ke pusara bapanya setiap kali tiba di tanah perkuburan.
Sebaik sahaja sampai, Faez akan terus duduk bersila di atas rumput berdekatan pusara Allahyarham.
Ads
Ketika satu kunjungan baru-baru ini, kakaknya yang ketika itu berada berhampiran pusara ibu mertuanya tergerak hati untuk merakam Faez selepas melihat adiknya sedang berdoa dan bermonolog sendirian di sisi pusara bapanya.
Faez dilihat berbicara perlahan sambil tangannya memegang lembut batu nisan di bahagian kepala arwah bapanya.
Gerak bibirnya juga kelihatan seperti sedang memanggil ‘abah’, manakala cara Faez menyentuh batu nisan itu seolah-olah sedang mengusap kepala insan yang amat dirinduinya.
Pada penghujung rakaman, Faez turut menyebut ‘atutu’, ungkapan yang menurut kakaknya membawa maksud ‘I love you too’.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Haji Mansor Haji Ismail dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.
Al-Fatihah.
Sumber : Threads @rosemaria.77
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Poster perlantikan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pakar di Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCced) telah mencetuskan perdebatan ramai pihak di media sosial.
Ini kerana, segelintir netizen beranggapan tidak bersesuaian apabila gelaran itu diberikan kepada Siti Nurhaliza atau lebih dikenali dengan nama Tokti susulan tidak memiliki pencapaian akademik yang tinggi.
Namun beberapa pengguna di media sosial tampil menjelaskan pendapat negatif mereka yang berasa gelaran itu seolah-olah akan merendahkan martabat Universiti Malaya (UM).
Bagi seorang pengguna, Khairunnisa Abdul Karim mempertahankan pelantikan berkenaan walaupun Siti Nurhaliza hanya mempunyai SPM namun ada pengalaman yang banyak dalam industri.
“Ini masterclass bukan program diploma, ijazah atau sarjana. Masterclass banyak diajar oleh “pakar” dalam industri.
“Ada penulis (bukan ada ijazah penulisan), ada pengarah filem (tanpa ijazah perfileman), ada penceramah motivasi (tak ada ijazah psikologi pun). DS Siti dijemput untuk ajar seni vokal bukan ajar teknologi rakaman audio.
“Sama juga dengan penyanyi G-Dragon yang baru-baru ini dilantik jadi pensyarah jemputan di Fakulti Kejuruteraan CIAST untuk ajar subjek kepimpinan bukan ajar teknologi kejuruteraan. Berpada-padalah mengutuk. Tahniah DS Siti Nurhaliza,” katanya.
Bagi pengguna Dem Rembul pula, pakar maksudnya seseorang yang ahli dalam sesuatu bidang sama ada dari aspek pengetahuan atau kemahiran, atau merangkumi kedua-duanya iaitu pakar ilmu dan praktis sekaligus.
“Seseorang yang sudah mengusahakan ladang durian dengan jaya selama 20 hingga 30 tahun boleh dianggap pakar perladangan. Tapi mungkin belum boleh dianggap pakar agrotani.
“Sebab kepakaran praktikal tidak sama dengan kepakaran ilmu yang menuntut asas saintifik yang lebih sistematik. Begitu juga. Seorang pakar sains agrotani berkelulusan PhD belum tentu layak dipanggil pakar perladangan.
“Kerana mempunyai ilmu tani yang tinggi, belum tentu memiliki kemahiran berladang yang efektif,” tulisnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, suasana di Mahkamah Majistret pada pagi tadi bertukar menjadi tegang apabila seorang lelaki dipercayai merupakan abang kepada penuntut universiti, Maniishapriet Kaur Akhara yang juga mangsa kes bunuh di Cyberjaya bertindak cuba menyerang salah seorang suspek yang hadir untuk permohonan sambungan reman.
Memetik laporan media tempatan, lelaki berbaju merah itu dilihat menghampiri suspek utama sejurus selesai prosiding sekitar jam 9.50 pagi, sambil menjerit dari jauh.
Walau bagaimanapun, tindakan pantas anggota polis berjaya mengawal situasi dan mengelakkan sebarang insiden yang lebih serius terjadi. Ketika kejadian berlaku, difahamkan suspek lelaki utama dan dua lagi suspek wanita sedang diiring keluar dari kamar mahkamah.
Insiden itu berlaku susulan kejadian pembunuhan tragik melibatkan seorang pelajar universiti wanita berusia 20 tahun di Cyberjaya pada 24 Jun lalu yang mencetuskan kemarahan dan kesedihan dalam kalangan ahli keluarga mangsa.
Sementara itu, peguam bela kepada suspek utama, M. Manoharan turut mempertikaikan kenyataan yang dikeluarkan pihak polis yang mendakwa anak guamnya mempunyai ‘niat tidak baik’ dalam kes berkenaan.
Kredit foto: Harian Metro
“Kami sudah bangkitkan bantahan kepada Puan Majistret berhubung tindakan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengeluarkan kenyataan serta cebisan-cebisan keterangan yang boleh menjejaskan kes anak guam saya”
“Ini adalah perkara yang sangat serius. Tugas polis adalah untuk menyiasat dan kita mempunyai hakim yang bijaksana, terpelajar dan berwibawa untuk menentukan siapa yang bersalah dan siapa yang tidak,” tegas Manoharan.
Terdahulu, pihak polis telah mendapatkan perintah sambungan reman selama tujuh hari terhadap ketiga-tiga suspek untuk meneruskan siasatan lanjut berkaitan kes ini.
terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Murid sekolah di seluruh negara tidak lagi diwajibkan untuk memakai tali leher bermula sesi persekolahan akan datang susulan ketetapan terbaharu yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Keputusan tersebut dibuat hasil Mesyuarat Profesional Khas KPM 2025 yang telah berlangsung pada 8 Disember lalu.
Ketetapan itu kemudiannya dimaklumkan secara rasmi melalui satu surat siaran bertarikh 17 Disember yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad. Dengan pengumuman ini, pemakaian tali leher sekolah tidak lagi menjadi keperluan wajib di semua institusi pendidikan di bawah seliaan KPM.
Tiada Paksaan Terhadap Murid Sekolah
Menurut KPM, pelaksanaan dasar baharu ini menetapkan dengan jelas bahawa tiada sebarang paksaan atau tekanan boleh dikenakan terhadap murid sekolah berkaitan pemakaian tali leher.
Perkara ini terpakai kepada semua pihak termasuk pihak pentadbiran sekolah, guru, kakitangan sokongan serta mana-mana individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pengurusan sekolah.
Penegasan tersebut dibuat bagi mengelakkan salah faham dalam pelaksanaan dasar dan memastikan kebajikan murid sekolah sentiasa menjadi keutamaan. KPM turut mengingatkan pihak sekolah supaya mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan tanpa mengenakan tindakan disiplin terhadap murid yang tidak memakai tali leher.
Faktor Iklim Dan Keselesaan Murid Jadi Pertimbangan
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang rasminya, KPM menjelaskan bahawa keputusan memansuhkan kewajipan pemakaian tali leher sekolah dibuat setelah mengambil kira keperluan semasa murid sekolah.
Antara faktor utama yang diberikan perhatian ialah keadaan iklim tempatan yang panas dan lembap sepanjang tahun.
Keadaan cuaca sebegini didapati kurang sesuai untuk pemakaian tali leher secara harian, terutamanya bagi murid sekolah yang perlu berada dalam bilik darjah untuk tempoh pembelajaran yang panjang. Faktor ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan fizikal, malah berpotensi mempengaruhi tahap tumpuan dan keberkesanan pembelajaran.
KPM turut mengambil kira aspek kesihatan dan kesejahteraan murid sekolah dalam membuat keputusan ini.
Pemakaian pakaian seragam yang lebih ringkas dan selesa dilihat dapat membantu murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan yang lebih kondusif, selari dengan matlamat meningkatkan kualiti pendidikan negara.
Ringankan Beban Kewangan Ibu Bapa
Selain faktor keselesaan, ketetapan terbaharu ini juga selari dengan usaha berterusan KPM untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga.
Menjelang permulaan sesi persekolahan baharu, ibu bapa kebiasaannya perlu menyediakan pelbagai kelengkapan asas seperti pakaian seragam, kasut, beg sekolah dan alat tulis.
Dengan pemakaian tali leher sekolah tidak lagi diwajibkan, ibu bapa dapat menjimatkan perbelanjaan, khususnya bagi keluarga yang mempunyai beberapa orang anak yang bersekolah. Langkah ini dianggap lebih praktikal dan realistik dalam mengambil kira kos sara hidup semasa.
Secara keseluruhan, dasar baharu ini mencerminkan pendekatan KPM yang lebih fleksibel dan responsif terhadap keperluan semasa sistem pendidikan.
Walaupun pemakaian pakaian seragam masih dikekalkan sebagai identiti sekolah, pelonggaran terhadap pemakaian tali leher sekolah memberi ruang kepada murid untuk belajar dalam persekitaran yang lebih selesa.
Langkah ini juga dilihat tidak menjejaskan disiplin atau imej institusi pendidikan, sebaliknya memberi penekanan kepada kesejahteraan murid sekolah secara menyeluruh.
Dengan pelaksanaan yang jelas dan pemantauan berterusan, ketetapan ini dijangka dapat diterima baik oleh semua pihak yang terlibat.
Sumber : Malaysia Bangkit
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!