Isu pemergian tragis adik Zara Qairina masih jadi bualan hangat di media sosial. Nama arwah trending dengan hashtag #JusticeForZara, ramai netizen tampil menunjukkan solidariti dan ada yang merancang untuk turun ke perhimpunan aman demi menuntut keadilan.
Tapi guys, menurut laporan Harian Metro, peguam yang mewakili keluarga Allahyarham mohon agar perhimpunan tu ditangguhkan buat sementara waktu. Kenapa? Sebab nak beri ruang kepada prosiding inkues yang akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian si kecil ini.
Permintaan Dari Ibu Zara
Peguam tersebut menjelaskan bahawa permohonan ini dibuat selaras dengan kehendak ibu arwah, Noraidah Lamat.
GAMBAR fail, pasukan peguam mewakili ibu Zara Qairina ketika hadir prosiding inkues di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Rabu lalu. FOTO NSTP
“Kami hargai sangat sokongan orang ramai melalui perhimpunan aman solidariti Justice For Zara. Terima kasih yang tidak terhingga,” kata wakil peguam.
Dalam masa sama, orang ramai juga dinasihatkan untuk berhati-hati bila komen atau kritik di media sosial, sebab ia boleh beri kesan terhadap perjalanan kes di mahkamah.
Ads
Apa Itu Inkues?
Bagi korang yang mungkin tertanya-tanya, inkues ni adalah proses mahkamah untuk siasat punca sebenar sesuatu kematian. Semua bukti forensik, keterangan saksi dan laporan perubatan akan dikaji dengan teliti.
So, sebelum buat sebarang tindakan atau perhimpunan, lebih baik tunggu keputusan inkues ni selesai. Lepas tu, barulah langkah seterusnya boleh diteruskan.
Ads
Rakyat Tetap Bersatu
Walaupun perhimpunan ditangguhkan, semangat rakyat Malaysia tetap kuat. Hashtag #JusticeForZara terus trending, dan ramai masih meluahkan doa serta sokongan buat keluarga arwah.
Kisah Zara Qairina memang beri kesan mendalam. Ia bukan saja menyentuh hati, tapi juga jadi pengajaran untuk kita lebih peka tentang isu keselamatan dan hak kanak-kanak.
Ads
✨ Remaja simpulkan: #JusticeForZara bukan sekadar trend di media sosial, tapi perjuangan untuk cari kebenaran. Jadi, hormati proses inkues, sabar menunggu, dan teruskan doa agar keadilan untuk arwah Zara Qairina akhirnya ditegakkan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa istilah Muslim Choice bukanlah penanda halal rasmi yang diiktiraf di negara ini. Perkara itu diumumkan menerusi satu kenyataan media di Facebook rasmi JAKIM malam tadi dan mendapat perhatian luas dalam kalangan pengguna Muslim, termasuk golongan remaja yang aktif membeli produk makanan, minuman dan gaya hidup.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, penggunaan istilah Muslim Choice yang diperkenalkan oleh Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat terhadap status halal sesuatu produk atau premis. Beliau berkata, MFW mendakwa pengiktirafan tersebut bertujuan memberi keyakinan kepada pengguna Muslim terhadap produk yang dikatakan bersih, selamat dan menepati prinsip Islam. Namun, jelas beliau, dakwaan itu tidak mempunyai asas pengiktirafan rasmi daripada pihak berkuasa halal Malaysia.
Gambar Harian Metro
“Hanya JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang diberi kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia,” katanya.
Langgar Undang-Undang Jika Guna Istilah ‘Halal’ Tanpa Kebenaran
Tambah beliau, penggunaan mana-mana logo, simbol atau istilah yang membawa maksud halal tanpa kebenaran sah adalah menyalahi undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Perbuatan seperti ini boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan mengelirukan pengguna yang mempercayai label seperti Muslim Choice tanpa semakan lanjut.
Dalam kenyataan itu, JAKIM turut memaklumkan bahawa pihaknya pernah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2024 bagi membincangkan isu ini. Pertemuan tersebut bertujuan menasihatkan MFW agar menghentikan aktiviti pengiktirafan Muslim Choice, namun aduan diterima menunjukkan aktiviti itu masih diteruskan walaupun sudah diberi peringatan.
Remaja Muslim Perlu Lebih Peka dan Bijak Memilih
Sebagai pengguna muda yang sering membeli produk viral atau jenama baharu, remaja Muslim perlu lebih berhati-hati dan peka dengan logo halal yang sah. Label seperti Muslim Choice, “Muslim Friendly” atau “Diperakui Muslim” tidak boleh dianggap sebagai sijil halal rasmi melainkan disahkan oleh pihak berkuasa yang sah.
Langkah mudah elak kekeliruan halal:
Periksa logo halal rasmi Malaysia — lengkap dengan nombor siri dan nama syarikat.
Gunakan portal rasmi JAKIM (halal.gov.my) atau aplikasi Verify Halal untuk semakan status halal.
Elakkan produk yang hanya menggunakan istilah Muslim Choice atau “Muslim Certified” tanpa bukti pensijilan rasmi.
Pilih jenama yang telus dan jelas sumber halalnya.
Halal Bukan Sekadar Logo
JAKIM menasihatkan agar semua pengusaha dan pengguna hanya merujuk kepada logo Halal Malaysia yang sah bagi memastikan keaslian status halal produk atau premis. Langkah ini penting bagi melindungi pengguna Muslim daripada kekeliruan dan penipuan yang mungkin timbul akibat penggunaan istilah seperti Muslim Choice.
Sebagai remaja Muslim moden, kita bukan hanya ingin ikut trend tetapi juga menjadi generasi yang bijak, berprinsip dan menjaga nilai agama dalam setiap pilihan. Jangan mudah terpedaya dengan label yang belum tentu sah. Ingat, halal bukan sekadar logo, tapi jaminan bersih, selamat dan diberkati.
Pelakon popular Yusuf Bahrin mendedahkan dirinya langsung tidak mampu melelapkan mata selepas mengetahui isterinya, penyanyi terkenal Zizi Kirana, kini ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Gaza.
Menurut Yusuf, dia sempat berhubung dengan Zizi buat kali terakhir pada jam 1.40 pagi, sebelum komunikasi antara mereka terputus sepenuhnya.
“Saya tak tidur malam tadi. Last contact kami 1.40 pagi. Selepas itu, saya cuba mesej dan call dia, tapi dah tak dapat. Status kapal Zizi kali terakhir adalah kecemasan. Saya cuba kuatkan semangat dan doa banyak-banyak,” luah Yusuf dengan nada sebak.
Kapal Zizi Kirana Dipintas Tentera Israel
Difahamkan, kapal yang dinaiki Zizi iaitu Huga telah dipintas tentera Israel. Dua lagi kapal, Sirius dan Alma, yang turut membawa tujuh orang delegasi Malaysia, juga mengalami nasib sama.
Yusuf turut berkongsi bahawa kapal yang dinaiki selebriti Heliza Helmi berada di belakang kapal Zizi, sebab itu Heliza masih sempat membuat siaran langsung ketika situasi cemas tersebut.
Penduduk Gaza Menanti Dengan Harapan
Apa yang lebih meruntun jiwa, Yusuf sebak apabila mendapat tahu bahawa penduduk Gaza termasuk kanak-kanak kecil sudah menunggu di tepi pantai untuk menyambut kehadiran flotila.
“Satu dunia pandang GSF sebab tak semua ada media sosial. Bila misi ini tular, mereka tahu ada orang peduli,” kata Yusuf.
Misi GSF ini membawa mesej jelas bahawa ia hanyalah usaha membawa bantuan kemanusiaan, bukannya untuk mencetuskan konflik.
Dalam pada itu, Yusuf menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama menunaikan solat hajat dan terus berdoa untuk keselamatan semua delegasi yang menyertai misi GSF.
“Doakan Zizi dan semua yang berada di kapal selamat. Mereka pergi atas dasar kemanusiaan, semoga Allah pelihara mereka,” tambah Yusuf.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Ragging asrama kembali mendapat perhatian selepas prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir membuka semula perbincangan penting mengenai keselamatan pelajar di asrama khususnya isu buli dan budaya ragging yang didakwa masih berlaku secara senyap dalam kalangan pelajar senior terhadap junior.
Menurut Sinar Harian, dalam prosiding di Mahkamah Koroner pada Khamis, peguam Shahlan Jufri menggesa pihak sekolah, terutamanya unit disiplin, untuk mengambil pendekatan jauh lebih proaktif dalam menangani masalah ini. Baginya, tindakan hanya selepas laporan diterima adalah terlalu lewat dan berpotensi mengundang tragedi seperti yang berlaku kepada Zara.
Cadangan Proaktif Untuk Hentikan Buli & Ragging Asrama
Ketika sesi soal balas terhadap saksi ke-53 inkues, iaitu guru disiplin Nur Shukriah Mohd Fauzi, Shahlan mencadangkan agar pihak sekolah melaksanakan pemantauan konsisten di kawasan asrama. Beliau turut mencadangkan soal selidik berkala secara bertulis, terutamanya kepada pelajar baharu, bagi mengesan petunjuk awal budaya ragging asrama.
Antara contoh soalan yang disarankan:
Pernahkah anda disuruh menyeterika baju senior?
Pernahkah anda dipaksa tidur di atas lantai?
Pernahkah anda dimaki, diugut atau diancam?
Pernahkah anda diarahkan mengambil pakaian atau barang milik senior?
Menurut Shahlan, langkah awal ini penting kerana tidak semua pelajar berani tampil membuat laporan rasmi. Ada yang takut, ada yang tidak pasti sama ada tindakan yang diterima itu normal atau sebenarnya satu bentuk penderaan.
Katanya, “Kita tidak boleh menunggu laporan baru bertindak. Selepas ini, kita perlu membuat tindakan drastik… terutamanya kepada pelajar-pelajar senior.” Beliau turut mendedahkan seorang pengawas sekolah menangis ketika memberi keterangan kerana masih trauma dengan pengalaman yang berlaku beberapa tahun lalu.
Guru Disiplin Akui Soal Selidik Pernah Dilaksanakan & Sangat Berkesan
Menariknya, cadangan itu bukan idea baharu. Dalam keterangannya, Nur Shukriah memaklumkan bahawa pendekatan soal selidik dan sesi bersemuka dengan pelajar baharu pernah dilakukan pada tahun lalu ketika beliau memegang jawatan penolong ketua guru disiplin.
Beliau mengakui bahawa:
Program tersebut sangat berkesan dalam mengesan masalah awal.
Pelajar baharu lebih terbuka untuk berkongsi kerana mereka tahu soalan itu selamat dan sulit.
Beberapa tindakan susulan dapat diambil hasil maklumat yang diperoleh melalui soal selidik tersebut.
Namun, beliau turut mengakui kekangan semasa menghalang program itu diteruskan tahun ini antaranya jadual guru yang terlalu padat dan kekurangan guru disiplin kerana ramai dalam kalangan mereka merupakan guru agama yang memikul tugasan berganda.
Walaupun begitu, Nur Shukriah bersetuju bahawa langkah itu perlu dihidupkan semula memandangkan keberkesanannya jelas.
Asrama Sepatutnya Tempat Selamat, Bukan Kawasan Takut
Isu ragging bukan sekadar ‘tradisi senior-junior’. Ia boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap:
Kesihatan mental dan emosi pelajar
Keyakinan diri
Prestasi akademik
Interaksi sosial
Trauma jangka panjang
Apabila budaya ragging asrama menjadi normal, pelajar akan mula menganggap penderaan sebagai sebahagian daripada pengalaman asrama – sesuatu yang sangat bertentangan dengan objektif pendidikan.
Asrama sepatutnya menjadi ‘rumah kedua’, tempat remaja membesar, belajar berdikari dan membina karakter. Bukan ruang yang mencetuskan ketakutan.
Apakah Langkah Yang Wajar Diambil Selepas Inkues Ini?
Kes Zara Qairina membuka mata banyak pihak. Berikut pendekatan yang dicadangkan untuk memastikan keselamatan pelajar benar-benar diutamakan:
1. Pemantauan berterusan dan berkala
Guru disiplin perlu hadir di kawasan strategik seperti dorm, koridor asrama dan surau pada waktu kritikal (terutamanya malam dan selepas prep).
2. Soal selidik sulit untuk pelajar baharu & pelajar junior
Dengan soalan spesifik, bukan umum. Ini memberikan platform selamat untuk bersuara.
3. Garis panduan anti-buli yang jelas dan tegas
Termasuk hukuman, pemulihan, sesi kaunseling dan laporan wajib kepada pihak pentadbiran.
4. Kesediaan guru untuk menerima aduan tanpa prejudis
Ramai pelajar senyap kerana takut dilabel sebagai “lembik” atau “pemberi maklumat”.
5. Kesedaran pelajar senior
Senior seharusnya menjadi pembimbing, bukan pembuli. Budaya hormat mesti datang kedua-duanya bukan hanya dari junior.
Penutup: Untuk Zara, Untuk Semua Pelajar
Prosiding inkues ini bukan sekadar mencari punca kematian. Ia adalah usaha untuk memastikan tragedi yang menimpa Allahyarhamah Zara Qairina tidak berulang kepada mana-mana pelajar lain.
Bagi pembaca Majalah Remaja, mesejnya jelas: Buli bukan budaya. Ragging bukan tradisi. Keselamatan bukan pilihan ia hak setiap pelajar. Jika anda atau rakan anda mengalami buli, jangan diam. Suara anda mungkin menyelamatkan nyawa.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
JALEN Star Chef 2 melabuhkan tirai dengan penuh gemilang di UiTM Puncak Alam apabila Nur Syafikah Nazurah dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan sembilan finalis terbaik dari seluruh negara.