Inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, mendedahkan sisi peribadi remaja itu yang gemar menulis diari ketika berada dalam keadaan tertekan.
Perkara itu dikongsikan oleh saksi ke-18 yang juga rakan asrama Zara dalam prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Peguam Joan Goh berkata, berdasarkan keterangan saksi, dia mengetahui tentang kewujudan diari tersebut selepas pernah melihat Zara menulis di dalamnya ketika di asrama.
“Saksi pernah membaca diari milik Zara sekali sahaja dengan izinnya. Seingat saksi, Zara menulis mengenai kerinduannya terhadap kawan-kawan lamanya di sekolah rendah, namun nama mereka tidak diingati.

“Setahu saksi, Zara akan menulis diarinya semasa dia ‘stress’ atau dalam tekanan kerana cara penulisannya menjadi laju.
“Saksi tidak tahu sebab Zara tertekan dan tidak tahu di mana Zara menyimpan diarinya,” jelas Joan kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Rabu.
Joan turut memaklumkan bahawa menurut saksi, Zara tidak pernah mengadu kepadanya tentang sebarang gangguan di asrama seperti buli, tekanan belajar atau keletihan.
Malam Kejadian
Saksi turut menceritakan insiden pada malam 15 Julai lalu. Menurutnya, dia melihat Zara berjalan menuju ke bilik lain selepas dimaklumkan ada pelajar kehilangan barang.
“Saksi bersama rakan-rakan dorm memeriksa barang-barang milik Zara dan menemui satu pin Jalur Gemilang di tempat Zara yang bertulis nama salah seorang pelajar.
“Selepas berjumpa senior di bilik sebelah, ketika Zara kembali ke dorm sekitar jam 11 malam, saksi melihat Zara seakan marah. Zara berjalan masuk ke dalam dorm, menutup loker, kemudian terus baring di lantai sambil menangis di depan almarinya.

“Zara menjerit sambil berkata, ‘Aku nda curi bah, sial’. Sebelum saksi tertidur, Zara masih berada di atas lantai. Itu adalah kali pertama saksi melihat Zara dalam keadaan begitu,” katanya.
Selepas lampu asrama ditutup, saksi sempat melihat Zara duduk di hadapan almarinya sebelum datang ke hujung bilik untuk meminjam gunting.
“Saksi tidak meminjamkan gunting kepada Zara kerana dia tiada gunting. Selepas itu, Zara keluar dari dorm dan saksi tidak tahu apa berlaku selepas itu kerana dia terus tidur,” jelasnya lagi.
Perubahan Tingkah Laku Zara
Pada hari yang sama sekitar jam 4 petang, saksi berkata dia ternampak Zara berada di asrama dalam keadaan muram dan menyendiri.
“Zara kelihatan diam, muram, tidak bercakap dan turun bersendirian. Memandangkan saksi dan Zara berada di kelas berbeza, saksi tidak tahu bagaimana keadaan Zara sewaktu ‘prep malam’. Saksi tidak menegur Zara kerana melihat dia dalam ‘bad mood’ dan takut dimarahi,” katanya.
Isu Kehilangan Wang
Saksi turut memberi keterangan bahawa dia pernah kehilangan wang di dorm dan bagaimana wang tersebut ditemui semula di dalam loker Zara.
Anda mungkin berminat dengan
“Saksi memberi keterangan bahawa dia pernah kehilangan wang di dorm dan pada masa itu memaklumkan kepada senior. Senior kemudian meminta izin untuk memeriksa setiap loker dan menemui sejumlah wang di dalam loker Zara.

“Saksi ditanya bagaimana dia tahu wang itu miliknya, dan saksi menjawab bahawa senior bertanya ciri-ciri wang yang hilang. Wang tersebut ialah tiga keping RM10,” kata Joan.
Joan dan rakan sepasukannya, Datuk Ram Singh, mewakili salah seorang daripada lima remaja yang didakwa dalam kes Zara Qairina dan hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) terus memperkukuh kedudukannya dalam segmen SUV kompak menerusi pelancaran rasmi Toyota Yaris Cross serba baharu di Malaysia.
Model baharu ini hadir sebagai jawapan kepada permintaan yang semakin meningkat terhadap kenderaan crossover dan SUV, khususnya dalam segmen B-SUV yang kini menjadi antara kategori paling kompetitif di pasaran tempatan.
Ditawarkan dalam dua pilihan ‘powertrain’ iaitu enjin pembakaran dalaman (ICE) dan Hybrid Electric Vehicle (HEV), Toyota Yaris Cross bukan sahaja melengkapkan barisan SUV Toyota di Malaysia, malah turut memperluaskan akses pengguna kepada teknologi elektrifikasi yang lebih praktikal dan mudah dimiliki.
Bagi pasaran Malaysia, Toyota Yaris Cross ditawarkan pada harga bermula RM99,900 untuk varian ICE, manakala varian HEV pula bermula RM109,900.

Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., trend permintaan terhadap SUV kompak terus berkembang kerana pengguna kini mencari kenderaan yang lebih fleksibel untuk kegunaan harian.
“Dengan Yaris Cross, kami memperluaskan penawaran hybrid Toyota menerusi solusi yang praktikal dan boleh dipercayai. Hybrid kini menjadi laluan elektrifikasi yang mudah diakses dan sesuai dengan gaya pemanduan rakyat Malaysia,” jelas beliau.
Rekaan SUV Moden Dengan Dimensi Mesra Bandar
Dari sudut rekaan, Yaris Cross tampil dengan imej SUV moden yang lebih agresif menerusi gabungan badan yang tegap, overhang pendek serta rim aloi bersaiz 18 inci. Lampu belakang yang memanjang ke sisi badan pula memberikan ilusi lebih lebar dan sporty.
Walaupun bersaiz kompak untuk kegunaan bandar, ruang dalaman Yaris Cross direka dengan cukup praktikal. Ia menawarkan kapasiti ruang kargo sehingga 471 liter bersama sistem lantai dua aras dan ruang simpanan bawah lantai bagi memudahkan susunan barang.
Bahagian kabin pula menampilkan suasana premium dengan penggunaan material lembut, kemasan satin serta stereng balutan kulit. Paparan meter digital TFT bersaiz 7 inci turut membolehkan pemandu menyesuaikan paparan maklumat mengikut citarasa masing-masing.
Dari aspek teknologi, SUV ini dilengkapi sistem infotainmen 10.1 inci bersama sambungan telefon pintar tanpa wayar, pengecas wireless, USB-C belakang serta Power Back Door dengan fungsi kick sensor.
Toyota turut memberikan perhatian besar terhadap aspek keselamatan menerusi sistem Toyota Safety Sense (TSS). Antara ciri bantuan pemanduan yang ditawarkan termasuk sistem amaran pelanggaran, bantuan kekal lorong, Blind Spot Monitor serta Rear Cross Traffic Alert.

Pilihan Enjin Petrol Dan Hybrid
Untuk pilihan enjin, varian ICE menggunakan enjin 2NR-VE bersama transmisi CVT yang memberi fokus kepada kecekapan dan kos pemilikan rendah.
Sementara itu, varian HEV menggunakan gabungan enjin 2NR-VEX dan motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 111 PS. Sistem hybrid ini membolehkan pemanduan menggunakan kuasa elektrik pada kelajuan rendah sekali gus membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi.
Menariknya, bateri lithium-ion diletakkan di bawah tempat duduk belakang bagi memastikan ruang kargo kekal praktikal tanpa menjejaskan keseimbangan berat kenderaan.
Toyota Yaris Cross serba baharu ini juga dipasang secara tempatan (CKD) di fasiliti Toyota di Bukit Raja, Selangor.
Kedua-dua varian kini sudah dibuka untuk tempahan di semua pusat jualan Toyota seluruh negara. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman rasmi Toyota Malaysia atau bilik pameran berdekatan.
Baca juga: “Umur 13 Dah Berniaga” – Anak Norish Karman Pertahan Diri Dari Tuduhan Netizen
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Mata seluruh dunia mungkin sedang tertumpu ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47 yang baru dilantik awal minggu ini, Donald Trump.
Namun, satu figura yang turut mencuri perhatian pada upacara perlantikan dan angkat sumpah Presiden ialah anak teruna Trump iaitu Barron Trump – literally.
Berdiri gah dengan ketinggian 6 kaki 7 inci (wow!), Barron tidak asing dengan upacara tersebut apabila pernah berada di upacara seakannya sewaktu Trump dilantik sebagai Presiden ke-45 Amerika Syarikat pada tahun 2017.


Dahulunya, anak tunggal Donald dan Melania ini merupakan seorang kanak-kanak lelaki pemalu yang kekal berada di sisi ibu bapanya apabila berhadapan dengan lautan manusia dan beratus-ratus kamera yang cuba membidik fotonya.
Sepuluh tahun kemudian, bukan sahaja Barron tampil yakin sebagai seorang remaja tetapi perubahan fizikal Barron dapat dilihat secara jelas apabila dia telah mengatasi ketinggian ayahnya itu.

Tidak Mengikut Jejak Langkah Keluarga Trump
Biarpun berkongsi nama keluarga yang sama, menariknya Barron, 18 mempunyai karakter yang jauh berbeza daripada ayahnya yang merupakan seorang figura Presiden kontroversial dan usahawan sensasi.
Sebagai seorang mahasiswa di New York University (NYU), Barron lebih rela mengekalkan sisi low-key dan enggan berada di hadapan khalayak ramai; selain di acara-acara formal bagi menyokong ibu bapanya.

Jelas, Barron ingin mencipta identitinya sendiri tanpa terkongkong di sebalik bayang-bayang Donald dan Melania. Tidak keterlaluan juga untuk melabel Barron sebagai individu yang cukup memahami erti dan nilai privasi di luar kepompong politik.
Seiring dengan upacara angkat sumpah Donald Trump, majoriti portal berita antarabangsa turut berminat untuk menilik masa depan Barron yang juga merupakan graduan Oxbridge Academy di West Palm Beach, Florida.
Adakah remaja ini akan menyertai Donald dalam dunia keusahawanan sekaligus mewarisi empayar yang telah dibina beliau selama puluhan tahun. Adakah Barron lebih berminat mendalami dunia politik setelah melihat bapanya memacu Amerika Syarikat sebagai Presiden selama dua penggal.

Atau adakah Barron memiliki impian peribadinya yang ‘lari’ jauh daripada legasi keluarga Trump.
Pemilihan New York University oleh Barron sahaja sudahpun mencabar tradisi keluarganya yang lebih sinonim untuk mendaftar masuk ke University of Pennsylvania atau Georgetown University; seperti adik-beradik tirinya Donald Trump Jr., Ivanka Trump, Eric Trump dan Tiffany Trump.
Hanya masa akan menentukan hala tuju Barron Trump and it will an exciting journey to watch.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Baru-baru ini, pasukan Selangor FC melakar kejutan apabila berjaya menumbangkan kelab dari Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors FC 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu, semalam.
Pada separuh masa pertama menyaksikan skuad Gergasi Merah lebih agresif mengasak kubu Jeonbuk dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi kapten, Harith Haiqal Adam Afkar pada minit 30.
Gol tersebut diraih berpunca daripada sepakan percuma Yohandry Orozco yang menemui Umarbek Eshmurodov sebelum dia menghantar kepada Harith untuk disudahkan dengan baik oleh pemain berusia 22 tahun itu.
Selangor terus gigih apabila menambah gol dua minit berselang kali ini menerusi Ali Olwan yang cemerlang menyudahkan hantaran Noaa Laine.

Walau bagaimanapun, Jeonbuk berjaya merapatkan kedudukan pada minit 40 menerusi tandukan Kwon Chang-hoon untuk menewaskan Muhammad Azim Al Amin di gawang gol Selangor.
Bersambung pada separuh masa kedua, Selangor hampir mendapat gol ketiga namun percubaan Nikola Jambor hanya menggegar palang gol Jeonbuk pada minit 49.
Kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan skuad kendalian Nidzam Jamil itu meraih tiga mata berharga berdepan pasukan terkuat dalam saingan Kumpulan H.
Kemenangan itu meletakkan Selangor di kedudukan teratas kumpulan dengan tujuh mata dibezakan satu mata dengan Jeonbuk di kedudukan kedua.
Sekadar info, Selangor FC sekali lagi akan berdepan Jeonbuk kali ini bermain di laman lawan pada 7 November akan datang.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞