
Terbaru, seorang chef asal Sarawak, Chef Kenny Gan berjaya mencuri perhatian di media sosial selepas berjaya meraih tempat ketiga dalam ‘10th World Tapas Championship 2026’ yang berlangsung di Valladolid, Sepanyol. Kejayaan tersebut sekaligus mengharumkan nama Malaysia di pentas kulinari antarabangsa.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook, beliau tampil mempertaruhkan hidangan tapas yang diinspirasikan daripada ‘ikan pansuh’, antara sajian tradisional yang cukup sinonim dengan masyarakat Sarawak. Hidangan tersebut kemudiannya diberi sentuhan moden agar sesuai dengan konsep tapas Sepanyol.
Menariknya, Chef Kenny mengolah sajian berkenaan dalam bentuk hidangan kecil yang boleh dinikmati hanya dalam dua suapan. Pendekatan itu membolehkan elemen masakan tradisional Sarawak diketengahkan dalam persembahan yang lebih dekat dengan cita rasa pertandingan antarabangsa.

Difahamkan, bagi menghasilkan ciptaan tersebut, beliau menggunakan ikan patin liar yang diperoleh dari Sungai Baleh, Kapit sebagai bahan utama. Ikan berkenaan diolah menjadi kroket dengan inti ‘mousse’ ikan patin yang menjadi komponen utama hidangan.
Hidangan itu kemudiannya dilengkapkan dengan kuah yang diinspirasikan daripada masakan pansuh. Kuah tersebut dihasilkan menggunakan tulang ikan, kulit udang serta bunga kantan sebelum diperkaya dengan beras Bario untuk memberikan tekstur dan rasa yang tersendiri.
Gabungan bahan-bahan tempatan itu menjadikan hidangan Chef Kenny bukan sekadar sebuah sajian pertandingan, malah turut membawa cerita tentang identiti dan warisan kulinari Sarawak. Ia membuktikan makanan tradisional mampu diberi nafas baharu tanpa menghilangkan akar asalnya.


Pencapaian tersebut turut meneruskan momentum Malaysia dalam World Tapas Championship selepas Chef Liew Kit Kiet sebelum ini berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik pada edisi tahun lalu. Kejayaan Chef Kenny membuktikan bakat cef tempatan mampu bersaing dengan peserta dari seluruh dunia.
Lebih membanggakan, pencapaian ini menjadi contoh bagaimana kreativiti, identiti tempatan dan teknik kulinari moden boleh digabungkan untuk memperkenalkan warisan Malaysia kepada khalayak antarabangsa. Dari Sarawak ke Sepanyol, hidangan yang berakar daripada tradisi tempatan kini berjaya mendapat tempat di pentas dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!







