
Penyanyi K-Pop terkenal, Jungkook BTS baru-baru ini meraih perhatian peminat selepas dilaporkan membuat sumbangan sebanyak 1 bilion Korea Won (kira-kira RM3.03 juta) kepada Seoul National University Children’s Hospital.
Memetik laporan media antarabangsa, Jungkook atau pemilik nama penuh Jeon Jungkook (29) difahamkan menyalurkan sumbangan tersebut bagi menyokong projek ‘Integrated Care Center’ yang dijalankan oleh hospital berkenaan.
Menurut laporan, sumbangan itu dijangka akan memberi manfaat kepada pesakit kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya dalam membantu mereka mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan tanpa terlalu terbeban dengan kos.
Lebih menarik, ini bukan kali pertama anggota pelantun lagu ‘Seven’ dan ‘Standing Next To You’ itu menunjukkan keprihatinannya terhadap golongan memerlukan menerusi hospital tersebut. Pada April 2023, Jungkook turut menyumbangkan 1 bilion Korea Won, dengan tujuan membantu pesakit daripada keluarga berpendapatan rendah menampung perbelanjaan rawatan.
Dalam pada itu, melalui sumbangan terbaharu itu, jumlah keseluruhan sumbangan Jungkook kepada Seoul National University Children’s Hospital kini mencecah 2 bilion Korea Won, bersamaan kira-kira RM6.07 juta.
Sementara itu, sikap pemurah Jungkook sememangnya mencuri perhatian memandangkan sumbangan tersebut dilakukan ketika dirinya bersama anggota BTS lain sedang menjalani jadual padat menerusi konsert jelajah dunia ‘ARIRANG’.
Dalam perkembangan lain, BTS sebelum ini telah menyelesaikan rangkaian persembahan di Amerika Utara yang melibatkan 31 pertunjukan dengan kehadiran hampir dua juta peminat secara keseluruhan, sekaligus membuktikan sambutan luar biasa terhadap jelajah dunia mereka.
BACA: Dilamar Peminat, Jungkook BTS Akui Belum Ada Perancangan Untuk Berkahwin
Selepas menamatkan jelajah Amerika Utara, BTS kini bersiap sedia untuk meneruskan konsert jelajah ‘ARIRANG’ ke Amerika Selatan yang dijadualkan bermula pada Oktober ini. Dalam kesibukan memenuhi komitmen sebagai artis bertaraf global, tindakan Jungkook menggunakan pengaruh dan rezekinya untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan menjadi contoh bahawa kejayaan juga boleh dikongsi dengan mereka yang kurang bernasib baik.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.