Segala-galanya demi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Begitulah yang kekal dalam kotak minda jaguh Muay Thai negara dan bintang One Championshop, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar saat mempersiapkan diri sebelum melangkah masuk ke gelanggang perhitungan ‘comeback’-nya pada hujung minggu ini.
Biarpun wang ringgit yang ditawarkan oleh penganjur cukup lumayan untuk dijadikan motivasi utama mana-mana atlet, buat Johan yang mesra dengan panggilan Jojo, misinya lebih daripada sekadar itu.
Sebaliknya, atlet berusia 18 tahun itu lebih ghairah memahat legasi dalam bidang sukan Muay Thai.
ARTIKEL BERKAITAN: Mentaliti Johan Ghazali Jadi Aset Terpenting, Tidak Semua Atlet Ada – “Nama Saya Sendiri Bermaksud Johan..” – REMAJA
“Saya tidak menjadikan wang sebagai motivasi utama kerana saya memang suka bertarung dan mahu buat Malaysia bangga.
“Kalau dapat ganjaran, saya anggap itu sebagai bonus,” katanya ketia ditemui pemberita secara atas talian pada awal minggu ini.
Semalam pula, Jojo ditemui oleh pemberita rasmi di Bangkok dalam persalinan lengkap Baju Melayu serba merah rekaan Bulan Bintang sekaligus membuat kelainan berbanding persalinan aktif yang selalu disarungkan oleh para atlet dalam sidang media.
Kira-kira tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Jojo bertarung dengan juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat di Impact Arena, Bangkok dalam pertarungan ONE 167.
Sekiranya menang, Jojo bakal ditawarkan bonus prestasi sebanyak USD50,000 atau kira-kira RM235,332.68 kepadanya jika melepasi syarat yang ditetapkan.
Jojo sendiri mengakui kelebihan yang dimiliki oleh Tran Duy malah menganggap lawannya itu sebagai yang paling sukar pernah dia lakukan perhitungan dalam bidang Muay thai.
“Dia berpengalaman dan dia juga sudah lama dalam arena ini. Tapi saya sudah bersedia untuk berdepan dengannya,” katanya.
Terdahulu pada Oktober 2023, Jojo pernah mencipta sejarah setelah memperolehi kontrak One Championship bernilai USD100,000 atau RM463,300 sekaligus menjadi atlet tempur termuda yang pernah melakukannya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.