
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan usaha kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan kadar gaji minimum yang lebih kompetitif, termasuklah menyasarkan RM4,000 sebulan untuk graduan baharu.
Menerusi hantaran di Facebook pada 9 Julai lalu, beliau berkata perkaa itu sedang diperhalusi melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) sebagai salah satu inisiatif strategik kerajaan negeri bagi menarik pelabur dan syaikat di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Apabila semakin ramai graduan berbakat dan berkualiti yang berkhidmat di zon Johor tersebut, maka semakin berkembanglah potensi bagi menarik lebih ramai pelabur ke sana.
“Langkah ini penting bagi memastikan kesejahteraan pekerja tempatan terus terbela, selain menarik minat bakat-bakat berkualiti untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Johor.
“Semoga segala usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan segala aspirasi besar di bawah Agenda Maju Johor 2030 dapat direalisasikan demi kemajuan negeri yang seimbang, mampan dan inklusif, insya-Allah,” catatnya.
Dalam pada itu, antara perancangan jangka masa panjang lain oleh kerajaan negeri Johor termasuklah bekalan air bersih dan penambahan kapasiti agihan air terawat terutamananya di kawasan strategik seperti JS-SEZ apabila pelbagai projek infrastruktur baharu diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
Terdahulu, REMAJA pernah melaporkan mengenai isu gaji pokok rendah yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat di Malaysia terutama apabila dibandingkan dengan negara-negara serantau.
BACA: Syarikat Di Malaysia Tawar Gaji Paling Rendah Di Antara Negara Rantau Asia Tenggara – Remaja
Pada Februari tahun ini pula, Kementerian Sumber Manusia menetapkan perintah gaji minimum baharu yang dikuat kuasakan di seluruh negara pada kadar RM1,7000 sebulan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan aktiviti profesional tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan majikan tersebut.
Bermula 1 Ogos 2025 pula, KESUMA menetapkan agar kuat kuasa perintah gaji minimum berkenaan dikenakan ke atas majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.