
Petinju Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo Ghazali, sekali lagi mencipta momen istimewa dalam perjalanan kariernya apabila menerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Ahli Bintang Sarawak (ABS).
Pengiktirafan tersebut dikurniakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.
Jojo merupakan antara 154 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Sarawak pada istiadat berkenaan, sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian serta sumbangannya dalam mengharumkan nama Sarawak menerusi arena Muay Thai.
Bagi Jojo yang kini berusia 19 tahun, pengiktirafan itu pastinya membawa makna tersendiri memandangkan Sarawak menjadi antara tempat penting yang membentuk perjalanan kariernya dalam sukan tempur tersebut.
Menerusi perkongsian di media sosial, Jojo turut meluahkan rasa terima kasihnya sambil mengangkat pepatah Sarawak, ‘Agi idup, agi ngelaban’, yang cukup sinonim dengan semangat perjuangannya sebagai seorang atlet.
“Di Sarawak kami mempunyai pepatah ‘Agi idup agi ngelaban’ yang bermaksud ‘Selagi saya hidup, selagi itulah saya akan berjuang’ dan saya berpegang teguh pada prinsip itu.
“Kepada bandar yang sentiasa di hati saya, terima kasih atas pengiktirafan ini. Alhamdulillah.
“Saya akan terus berusaha sehabis baik untuk mengharumkan nama tempat ini” tulisnya.
Tidak hanya berkongsi rasa syukur, Jojo turut mencuri perhatian pengikutnya dengan gurauan bersahaja selepas menerima pengiktirafan tersebut.
Menerusi satu lagi hantaran, dia berseloroh mengenai statusnya selepas menerima pingat ABS, malah sempat menyebut mengenai kemungkinan bergelar ‘Dato’ pada masa akan datang.
“Secara rasminya sebuah khazanah negara?
“Alhamdulillah. Terima kasih Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan terima kasih Sarawak. Pingat (ABS) Ahli Bintang Sarawak.”
“Dato’ Jojo soon?” katanya berseloroh.
Walaupun baru berusia 19 tahun, nama Jojo bukan lagi asing dalam kalangan peminat Muay Thai, malah dia sudah mencipta reputasi tersendiri di peringkat antarabangsa.
Mewakili Rentap Muaythai Gym, Jojo mula mengenali dunia Muay Thai sejak berusia 10 tahun. Minat terhadap sukan berkenaan juga bukan sesuatu yang asing buatnya kerana kedua-dua ibu bapanya mempunyai latar belakang dalam Muay Thai.
Sejak itu, Jojo terus mengembangkan bakatnya dengan beraksi di pentas tempatan sebelum membawa nama Malaysia ke kejohanan antarabangsa.
Antara pencapaian yang melonjakkan namanya termasuk kejayaan menjuarai Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 selepas menewaskan wakil Rusia, Rustam Yunusob.
Jojo kemudiannya semakin mendapat perhatian menerusi pentas ONE Championship selepas mencatatkan beberapa kemenangan meyakinkan.
Prestasi tersebut akhirnya membuka peluang buat Jojo mendapatkan kontrak bernilai
AS$100,000 (RM408,640) bersama organisasi seni bela diri berkenaan.Daripada seorang anak muda yang membesar dengan Muay Thai dan menjalani latihan di gim di Sarawak, Jojo kini terus mengorak langkah sebagai antara atlet muda Malaysia yang mencuri perhatian di pentas antarabangsa.
Dengan usia yang masih muda, pastinya perjalanan Jojo dalam dunia Muay Thai masih panjang dan banyak lagi yang boleh dicapai selepas ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.