Berita

Joanna Wietrzyk Mohon Maaf Selepas Insiden ‘Tercirit’ Di Hyrox Beijing, Ambil Keputusan Lepaskan Kemenangan

Share

Baru-baru ini, seorang atlet Australia, Joanna Wietrzyk tampil memohon maaf dan memaklumkan keputusan untuk menarik semula kemenangannya selepas terpalit kontroversi ketika menyertai pertandingan kecergasan terkenal, HYROX di Beijing, China pada Sabtu lalu.

Menerusi sebuah perkongsian yang dimuat naik di Instagram miliknya, Joanna menjelaskan bahawa beliau berdepan masalah kesihatan secara tiba-tiba ketika perlumbaan berlangsung, sedangkan dirinya berada dalam keadaan baik sebelum saingan bermula. Situasi berkenaan bagaimanapun tidak menghalangnya daripada meneruskan pertandingan sehingga tamat.

“Saya sedar tindakan saya telah memberi kesan kepada pihak lain dan bukan hanya kepada diri saya sendiri. Saya benar-benar memohon maaf kepada semua yang terkesan dengan perkara ini”

“Saya mengambil pengalaman ini sebagai satu pengajaran dan akan membawanya bersama, termasuk mengingati bahawa kehidupan ini lebih daripada sekadar perlumbaan serta mengetahui bila tiba masanya untuk berundur,” katanya.

“Selepas membuat pertimbangan semula, saya telah memutuskan untuk menarik diri daripada perlumbaan tersebut secara retroaktif dan membatalkan mata yang telah saya peroleh,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Joanna turut menyampaikan permohonan maaf kepada peserta lain, penonton, pihak penganjur serta rakyat China yang terkesan susulan insiden berkenaan. Beliau turut mengakui keputusan untuk terus bertanding ketika mengalami masalah tersebut merupakan sesuatu yang sepatutnya dipertimbangkan semula.

Kontroversi berkenaan sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas rakaman ketika pertandingan tersebar luas di media sosial. Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk perbincangan mengenai aspek kebersihan dan sejauh mana prosedur keselamatan dilaksanakan ketika situasi luar jangka berlaku.

Joanna yang sebelum ini mencuri perhatian di media sosial selepas insiden tercirit di HYROX

Susulan kecaman dan perbincangan yang timbul, Joanna mengambil keputusan untuk melepaskan kemenangan yang diraihnya dalam acara tersebut. Tindakan berkenaan dibuat selepas beliau mengakui bahawa kejadian terbabit turut memberi kesan kepada peserta serta pihak lain yang berada di lokasi pertandingan.

Terdahulu, pengasas bersama HYROX, Moritz Furste, turut tampil memohon maaf berhubung cara insiden itu dikendalikan. Pihak Hyrox dalam kenyataan berasingan menjelaskan bahawa mereka sememangnya mempunyai prosedur berkaitan kesihatan dan keselamatan, namun mengakui terdapat kekeliruan ketika protokol tersebut dilaksanakan.

BACA: Pengasas HYROX Tampil Mohon Maaf, Ubah Peraturan Susulan Insiden Atlet ‘Tercirit’

Pada masa sama, HYROX meminta orang ramai supaya tidak mengambil tindakan mengganggu atau mengugut Joanna selepas identitinya tersebar di media sosial. Untuk rekod, HYROX merupakan pertandingan kecergasan yang menggabungkan larian dengan cabaran seperti menolak beban, burpee, rowing

serta berjalan sambil membawa beban dan mula diperkenalkan di Hamburg, Jerman pada 2017.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagramTikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE