
Pelakon dan penyanyi dari kumpulan GOT7, Jinyoung GOT7 baru-baru ini dilaporkan telah membuat sumbangan bernilai 100 juta Korea Won bagi menyokong penyediaan makanan kepada kanak-kanak sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-31 pada 22 September, semalam.
Menurut badan bukan kerajaan antarabangsa yang memperjuangkan hak kanak-kanak, Save the Children berkata, sumbangan tersebut diberikan khusus untuk membantu kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah menjelang sambutan perayaan Chuseok.
Mengulas mengenai sumbangan itu, Jinyoung atau nama penuhnya Park Jinyoung berkata, beliau percaya kemampuannya untuk terus melangkah ke hadapan adalah kerana kasih sayang dan sokongan peminat.
“Saya selalu berfikir bagaimana cara untuk membalas kembali cinta besar yang telah saya terima. Saya bersyukur kerana dapat menyumbang walaupun sedikit demi melindungi senyuman kanak-kanak”
“Saya akan terus berlakon dan menyanyi dengan penuh keikhlasan serta usaha terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, dana sumbangan tersebut akan digunakan bagi menyediakan makanan istimewa kepada keluarga kanak-kanak yang berdepan masalah kekurangan makanan atau jurang penjagaan akibat cabaran ekonomi dan keibubapaan serta ia akan disalurkan untuk memperbaiki persekitaran dapur.
Sekadar info, Jinyoung sebelum ini tidak asing lagi dalam kerja kebajikan. Pada Februari 2023, beliau pernah menyumbangkan 30 juta Korea Won bagi membantu mangsa gempa bumi di Turki-Syria. Atas usaha tersebut, beliau telah dilantik sebagai ahli tetap Save the Children’s Honors Club.
Pada April 2025 pula, beliau sekali lagi menghulurkan sumbangan sebanyak 30 juta Korea Won untuk membantu kanak-kanak serta keluarga yang terkesan akibat gempa bumi di Myanmar. Usaha konsistennya ini memperlihatkan sisi positif seorang selebriti yang menggunakan pengaruhnya untuk kebaikan masyarakat.
Untuk pengetahuan, selain aktif sebagai penyanyi K-Pop, Jinyoung mula dikenali sebagai pelakon menerusi drama Dream High 2 pada tahun 2012. Kemudian, tampil sebagai anggota K-pop popular, GOT7 yang bernaung dibawah JYP Entertainment.
Selain aktif bersama GOT7, Jinyoung juga pernah membintangi pelbagai drama seperti When a Man Loves, Dear Silver Bell, Psychometry’s Him, Devil Judge, Yumi’s Cells dan Unknown Seoul yang terus mengukuhkan reputasinya sebagai seorang artis serba boleh.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.