
Isu jerebu yang turut memberi kesan kepada Malaysia mendapat perhatian Menteri Kehutanan Indonesia, Raja Juli Antoni, yang menegaskan bahawa asap akibat kebakaran hutan dan tanah sememangnya tidak mengenal sempadan negara.
Malah, beliau menggunakan ungkapan “asap tidak ada Kartu Tanda Penduduk (KTP)” bagi menggambarkan bagaimana asap boleh bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada arah angin.
Menurut Raja Juli, keadaan angin ketika ini menyebabkan asap daripada kebakaran bergerak ke kawasan tertentu. Namun begitu, situasi sama juga boleh berlaku apabila asap dari negara jiran memasuki wilayah Indonesia.
“Kalau arah anginnya dari sana, kebakaran yang berlaku di sana juga boleh masuk ke Indonesia kerana memang asap tidak ada KTP,” katanya di pejabat Kementerian Kehutanan di Jakarta pada Selasa.
Ungkapan tersebut digunakan bagi menjelaskan bahawa asap tidak mempunyai batasan seperti manusia yang mempunyai kad pengenalan atau kewarganegaraan tertentu.
Susulan isu berkenaan, Raja Juli berkata kerajaan Indonesia akan terus melakukan usaha sebaik mungkin bagi mencegah pencemaran jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah.
“Kita akan terus berusaha semaksimum mungkin supaya tidak memberikan kesan negatif atau kemudaratan kepada negara jiran,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Indonesia akan meneruskan kerjasama dengan negara-negara jiran bagi mengawal kebakaran hutan serta mengelakkan kejadian jerebu rentas sempadan daripada terus berlaku.
Dalam pada itu, Raja Juli turut mengingatkan mengenai arahan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto supaya keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan ketika berdepan dengan kebakaran hutan.
Katanya, anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Nasional Indonesia (Polri) serta pasukan Manggala Agni kini terus digerakkan bagi mengawal kebakaran dan membantu melindungi penduduk yang terjejas.
Raja Juli pada masa sama menyeru masyarakat serta syarikat-syarikat besar supaya tidak menjalankan aktiviti pembersihan tanah menggunakan kaedah pembakaran, khususnya ketika musim kering sepanjang September.
Menurutnya, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi mengurangkan risiko kebakaran hutan yang bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk di Indonesia, malah berpotensi membawa kesan kepada negara jiran.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.