Hiburan

Jeongyeon TWICE Tinggalkan JYP Selepas 11 Tahun, Mahu Terokai Dunia Lakonan

Share

Penyanyi dan ahli kumpulan terkenal K-Pop, Jeongyeon TWICE baru-baru ini mengejutkan para peminat apabila mengambil keputusan meninggalkan agensi, JYP Entertainment yang menaunginya selama 11 tahun, untuk memulakan fasa baru dalam kerjayanya.

Menerusi sebuah mesej yang dikongsikan di media sosial, Jeongyeon atau nama sebenarnya Yoo Jeong-yeon (30) berkata, keputusan untuk meninggalkan persekitaran yang sudah lama diteliti bukan sesuatu yang mudah, namun beliau mendapat kekuatan daripada ahli TWICE dan peminat, ONCE.

Difahamkan, selepas meninggalkan JYP Entertainment, Jeongyeon kini secara rasmi menyertai Varo Entertainment menerusi kontrak eksklusif bersama agensi berkenaan yang turut menaungi kakaknya yang juga seorang pelakon iaitu Gong Seung-yeon.

Perkembangan tersebut sekaligus membuka peluang buat Jeongyeon untuk meneroka bidang lakonan dengan lebih serius, selain terus aktif sebagai anggota TWICE yang merupakan antara kumpulan wanita paling berpengaruh dalam industri K-Pop.

Sementara itu, Varo Entertainment dalam kenyataannya menyambut baik kehadiran Jeongyeon dan menyifatkan penyanyi itu sebagai individu yang mempunyai pelbagai daya tarikan serta potensi besar untuk dikembangkan dalam industri hiburan.

BACA: Jeongyeon TWICE Mengaku Pernah Bekerja ‘Part-Time’ Di Kafe Semasa Hiatus

Berkongsi mengenai langkah baharunya itu, Jeongyeon memberi jaminan bahawa perubahan agensi tidak akan menjejaskan komitmennya terhadap TWICE yang sudah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan hidup dan kerjayanya.

“Walaupun saya berpindah ke rumah baru dan memulakan cabaran baru, saya akan terus melindungi TWICE, yang merupakan sebahagian paling penting dalam diri saya,” katanya.

Jeongyeon turut menegaskan bahawa TWICE akan kekal sebagai keutamaan utamanya dan beliau akan terus menjalankan tanggungjawab bersama kumpulan tersebut, sambil pada masa sama memulakan perjalanan baharu untuk mengembangkan kerjaya lakonan di bawah Varo Entertainment.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram

Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE