Bukan mudah untuk menerima anugerah istimewa yang diberikan oleh universiti ketika majlis konvokesyen. Bersaing dengan ramai lagi yang turut cemerlang. Namun kalau sudah individu tersebut merupakan yang terbaik dalam kalangan pelajar terbaik, pasti ada ganjaran yang diterima.
Inilah kisah John Sebastian Tunggolou, anak jati negeri Sabah yang telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor sempena majlis konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia yang ke-50
Menjadikan momen tersebut lebih manis, bekas pelajar Sekolah Menengah All Saints, Kota Kinabalu ini menerima anugerah tersebut daripada Canselor UKM sendiri, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir
Dalam kapsyen status yang dimuat naik di Facebook peribadinya, jejaka ini berkata, “Puji tuhan, terima kasih UKM. Lulus dengan cemerlang dengan Anugerah Naib Canselor. Menjunjung kasih Tuanku.”
Merupakan seorang graduan dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Fakulti Pendidikan UKM, bukan calang-calang dia berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.81. Sepanjang tempoh pengajiannya selama empat tahun, jejaka berusia 24 tahun ini berjaya memperoleh keputusan dengan Anugerah Dekan sebanyak enam kali.
Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, Augerah Naib Canselor di Universiti Kebangsaan Malaysia diberikan kepada seorang graduan terbaik di peringkat prasiswazah seluruh fakulti dan mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sekurang-kurangnya 3.67 atau purata nilai markah kumulatif yang setara dengannya.
Selain dinilai dari segi pencapaian terbaik bidang akademik dalam kalangan mahasiswa, penerima anugerah ini juga dinilai menerusi pendirian sikap kesarjanaan yang tinggi; pencapaian mutu kepimpinan yang tinggi; sumbangan terhadap kebajikan dan pembangunan masyarakat kampus, pencapaian cemerlang dalam bidang sukan serta sumbangan ke arah mengharumkan nama universiti.
Ini terbukti ketika di bangku universiti John menyandang pebagai jawatan seperti Presiden UKMbassadors, Yang di-Pertua Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) dan Timbalan Ketua Eksekutif Kolej Burhanuddin Helmi. Selain itu dia juga aktif dalam bidang tarian dan mewakili UKM dalam banyak acara.
Ads
Diperingkat antarabangsa pula dia pernah menerima Anugerah Penyampai Terbaik dan Pemenang Persembahan dalam Kumpulan pada Youth Regional Affairs Dialogue 2022 di Nanyang Technological University, Singapore.
Memetik perkongsiannya yang disiarkan di Facebook rasmi UKM, “Saya bukanlah seorang pelajar yang terlalu bijak, akan tetapi saya bersedia untuk bekerja keras untuk memastikan saya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda saya dengan penuh rasa bangga.”
Bakal bergelar seorang guru, John pada mulanya tidak pernah terlintas untuk menceburi profesion ini, akan tetapi beliau mendapat inspirasi daripada datuk dan neneknya yang merupakan penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat Negeri Sabah.
Ads
Baru menamatkan latihan industri di Sekolah Alam Shah, Putrajaya pada Julai yang lalu, kini dia merupakan seorang Felo Perdana di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
KREDIT FOTO: Facebook UKM, Instagram dan Linkedin John Sebastian Tunggolou
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Setiap manusia pasti tidak pernah lepas daripada melakukan kesalahan. Baik besar atau kecil kesalahan tersebut, setiap satu harus dijadikan iktibar sebagai pedoman untuk masa hadapan.
Seperti kisah bekas pelajar Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka ini yang beriltizam memperbaiki diri agar menjadi insan berguna. Muhammad Hafizan, 19, berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang akademik dan sahsiah diri demi mengubah nasibnya.
Dia muncul antara pelajar cemerlang sekolah tersebut dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperolehi 5A. Ekoran kecemerlangannya itu dia ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA yang terletak di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Hafizan menerima hadiah sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney 2021.
Walau bagaimanapun, dia terpaksa menangguhkan hasrat tersebut biarpun sudah membayar yuran pengajian. Ujarnya, “Dah habis bayar pendaftaran, tapi tak dapat pergi sebab ayah saya sakit.”
Jelasnya lagi, keputusan untuk menangguhkan pengajiannya disebabkan oleh ayahnya yang jatuh sakit akibat penyakit kuman dalam paru-paru dan ibunya baru meninggal dunia. Selain itu menurutnya keadaan ekonomi yang tidak stabil juga menjadi sebab.
Anak sulung dari empat beradik itu kini membantu mengambil tugas sebagai ketua keluarga untuk menyara tiga lagi adiknya yang berusia 14, 10 dan 5 tahun.
Walaupun bergelar pelajar Sekolah Henry Gurney, Hafizan tidak menjadikan masa lalu sebagai alasan untuk tidak berjaya. Dia bersyukur kerana memasuki sekolah tersebut lantaran didikan yang diberi menjadikan dia seorang yang berdisiplin dan rajin menimba ilmu.
“Saya bersyukur dapat result macam ni, sebab dulu saya jahat, nakal dan tak dengar cakap mak ayah. Dalam masa saya akademik sewaktu pandemik Covid-19, mak saya meninggal dunia.
“Jadi saya nekad untuk maju dan terus bangkit, saya nak jaga adik-adik sebab saya anak sulung dan saya dapat capai apa yang saya nak. Sekarang saya masih lagi dalam perjalanan ke arah kejayaan,” kongsinya lagi.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Penggunaan kata “antara” dan “di antara” sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa, khususnya para pelajar. Kelompok ini seakan-akan keliru untuk menggunakan kata sendi nama “antara” atau frasa sendi “di antara” dalam sesuatu konteks atau keadaan.
Bagi memudahkan fahaman pengguna bahasa, frasa sendi “di antara” merujuk kepada konsep ruang, misalnya dalam ayat di bawah ini.
Rumahnya terletak di antara dua bangunan tinggi itu.
Tambak Johor terletak di antara Johor Bahru dengan Singapura.
Kedua-dua ayat contoh di atas menunjukkan kata “di antara” digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat, yang terangkum dalam konsep ruang. Berbeza dengan kata “antara” yang berfungsi sebagai kata sendi nama yang tidak melibatkan konsep ruang (seperti ayat di bawah).
Pertempuran terus berlaku antara warga Palestin dan askar rejim Israel di sempadan Gaza.
Anisah antara pelajar cemerlang yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Selain ayat contoh (3) dan (4), kata “antara” juga berfungsi sebagai kata sendi nama yang boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan.
Antara Iman dengan Ammar, banyak perbezaannya.
Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi, ada persamaanya.
Sebilangan pengguna bahasa sering melakukan kesilapan penggunaan kata “antara” dan “di antara”.Berikut menunjukkan ayat contoh penggunaan kata-kata tersebut dalam kalangan pengguna umumnya:
(a) Di antara nama-nama yang tersenarai dalam pencalonan ini ialah Razimah,Tinesh, Chew Soong, dan Lukman.
(b) Antara nama yang tersenarai dalam pencalonan ini ialah Razimah, Tinesh, Chew Soong, dan Lukman.
8 (a) Antara filem-filem kegemarannya ialah Nasib Labu Labi, Keluarga 69, dan Anakku Sazali. (b) Antara filem kegemarannya ialah Nasib Labu Labi, Keluarga 69, dan Anakku Sazali.
Adakah ayat 7(a), 7(b), 8(a), dan 8(b) tepat penggunaan kata “antara” dan “di antara”? Penggunaan “antara” kata dan “di antara” dalam ayat 7(a) dan 8(a) tidak tepat. Hal ini kerana kata sendi “antara” biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang seperti ayat 7(b) dan 8(b). Seperti yang tercatat dalam ayat contoh 7(b) dan 8(b), kata nama dan filem dalam ayat tersebut tidak perlu diberi pengulangan.
Walau bagaimanapun, kata sendi “antara” hanya dapat diikuti oleh kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik yang membawa makna kumpulan orang, seperti contoh di bawah.
9. Mereka berbincang antara adik-beradik.
10. Hubungan antara kedua-dua buah negara itu telah lama terjalin. Kesimpulannya, terdapat perbezaan yang jelas antara kata sendi nama “antara” dengan kata arah “di antara”, sama ada dari segi golongan kata mahupun penggunaannya. Oleh itu, sebagai pengguna bahasa yang peka kepada perbezaan tersebut, sewajarnya kita memastikan penggunaan kata yang tepat antara kedua-dua perkataan.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Puan Nor Fazilah binti Noor Din
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kekal dengan reputasi cemerlang sebagai pusat pendidikan akauntan apabila dua penuntutnya baru-baru ini merangkul pencapaian luar biasa dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
Menerusi perkongsian UiTM di laman Facebook rasminya, Danish Zafran Bazam (22) mengungguli kertas Advanced Financial Management (AFM) dan memperoleh tempat kedua di dunia manakala Amin Zulharis (21) meraih tempat keempat global dalam kertas Strategic Business Reporting (SBR).
Terdahulu, Danish Zafran telah diiktiraf sebagai pemenang anugerah bagi kertas Performance Management (PM) pada Mac 2023, dan kejayaan itu diikuti dengan pencapaian cemerlangnya sekali lagi sebagai pemenang anugerah bagi peperiksaan September 2024 melalui kertas AFM.
“Walaupun sukar, saya sentiasa mengingatkan diri bahawa menyambung pengajian ACCA adalah satu anugerah dan saya beruntung dapat belajar di UiTM”
“Saya percaya dengan keyakinan diri yang tinggi, usaha yang konsisten, fokus dalam sesi kuliah serta tidak segan bertanya kepada pensyarah banyak membantu saya dalam kecemerlangan akademik,” katanya.
Sementara itu, Amin yang memulakan pengajian ACCA selepas SPM dengan menyertai program Foundation in Accountancy (FIA), mengakui bahawa cabaran terbesar yang dihadapinya adalah melawan rasa malas.
“Saya sentiasa mengingatkan diri tentang tujuan saya untuk mengekalkan disiplin. Motivasi utama datang daripada kesedaran tentang kos tinggi untuk mengikuti kursus ACCA dan saya menghargai pengorbanan kewangan yang keluarga saya lakukan untuk pendidikan saya,” katanya.
Sekadar info, fakulti itu akan mengorak langkah bagi mencapai aspirasi kerajaan dalam meningkatkan jumlah graduan profesional dalam bidang perakaunan negara kepada 60,000 orang menjelang 2030. Semoga pencapaian seperti ini menjadi contoh pada anda di luar sana.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Penyanyi yang juga juara Big Stage 2023, Nadeera Zaini, meluahkan rasa syukur apabila penampilannya sering menerima pujian daripada peminat yang menyifatkan dirinya kini kelihatan...