
Pelakon Korea Selatan, Jang Dong-yoon baru-baru ini mencuri perhatian selepas akhirnya berjaya menamatkan pengajian di Hanyang University dan bergelar graduan selepas 15 tahun.
Menerusi sebuah perkongsian di media sosial milik beliau, Dong-yoon (34) meluahkan perasaan terharu selepas status akademiknya di portal rasmi universiti tersebut berubah kepada “lulus”. Pelakon berkenaan turut menyertakan emoji menangis sebagai gambaran emosinya selepas melalui perjalanan panjang untuk menamatkan pengajian.
Difahamkan, beliau mendaftar sebagai pelajar Jabatan Ekonomi dan Kewangan Hanyang University pada 2011. Walaupun pada awalnya mengikuti laluan akademik seperti mahasiswa lain, perjalanan pengajiannya kemudian berkait rapat dengan detik yang tidak disangka-sangka sehingga membuka jalan buatnya menceburi dunia lakonan.


Dari Insiden Tangkap Perompak Ke Dunia Lakonan
Mengimbas kembali tahun 2015, ketika berada di tahun ketiga pengajian, Dong-yoon mendapat perhatian selepas membantu pihak polis menahan seorang suspek rompakan bersenjata di sebuah kedai serbaneka di daerah Gwanak, Seoul. Beliau dilaporkan menghubungi talian kecemasan 112 secara senyap sebelum memberikan maklumat mengenai lokasi dan keadaan suspek kepada pihak berkuasa.
Kejadian tersebut bukan sahaja membuatkan namanya muncul dalam laporan berita, malah penampilannya ketika ditemu bual turut mencuri perhatian netizen sehingga digelar sebagai “pelajar Hanyang University tampan yang menangkap perompak”.
Susulan itu, Dong-yoon menerima tawaran daripada beberapa agensi hiburan sebelum memilih untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon.
Beliau kemudiannya membuat kemunculan dalam web drama Women of the Game Company pada 2016 dan secara beransur-ansur membina nama menerusi pelbagai projek lakonan termasuk School 2017, Mr. Sunshine, The Tale of Nokdu, Oasis, Daily Dose of Sunshine dan Like Flowers in Sand.

View this post on Instagram
Mengimbangi Kerjaya & Pengajian
Pada masa yang sama, perkembangan kerjaya yang semakin rancak menyebabkan Dong-yoon mengambil tempoh lebih panjang untuk menyelesaikan pengajiannya.
Pelakon itu juga pernah berkongsi menerusi sebuah program ‘variety’ bahawa dirinya menghabiskan masa yang agak lama sebagai pelajar senior kerana perlu mengimbangi tuntutan sebagai pelakon dengan komitmen akademik.

Bergelar Graduan Selepas 15 Tahun
Kini, selepas 15 tahun, perjalanan tersebut akhirnya sampai ke penghujung apabila Dong-yoon menerima ijazah sarjana muda pada majlis penganugerahan ijazah semester kedua tahun akademik 2025 yang berlangsung di Olympic Gymnasium, Hanyang University Seoul Campus.
Kisah Dong-yoongi bukan sahaja memperlihatkan sisi berbeza seorang selebriti, malah menjadi inspirasi bahawa perjalanan setiap individu mempunyai tempoh dan cabarannya tersendiri, namun usaha untuk menyelesaikannya tetap berbaloi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!







