
Pelakon Korea Selatan, Jang Dong-yoon sekali lagi mencuri perhatian peminat baru-baru ini apabila mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang bersama aktres Kim Seung-yoon pada Oktober ini selepas menjalinkan hubungan cinta secara tertutup selama beberapa tahun.
Menerusi sebuah foto yang dimuat naik di media sosial milik beliau, Dong-yoon (34) berkongsi sebuah surat tulisan tangan bagi mengumumkan sendiri berita gembira tersebut kepada para peminat. Dalam perkongsian itu, pelakon berkenaan turut memaklumkan bahawa majlis perkahwinannya akan diadakan secara sederhana mengikut upacara agama Kristian dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat.
“Pada Oktober ini, saya akan berkahwin dengan seseorang yang telah lama bersama saya. Kami merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan Kristian secara sederhana bersama keluarga,” katanya menerusi surat berkenaan.

View this post on Instagram
Menurut Dong-yoon, keputusan untuk membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya bukan dibuat secara terburu-buru. Sebaliknya, tempoh yang panjang bersama telah memberi peluang kepada kedua-duanya untuk saling mengenali, memahami serta menghargai antara satu sama lain dengan lebih mendalam.
“Kami telah memutuskan untuk terus berada di sisi satu sama lain dan membina kehidupan yang menyeronokkan serta bahagia bersama. Saya faham berita ini mungkin mengejutkan ramai pihak, namun saya berharap anda semua dapat memandang kami dengan penuh kehangatan,” ujarnya.
Pengumuman tersebut nyata mengejutkan ramai peminat kerana Dong-yoon dan Seung-yoon yang berbeza usia lima tahun tidak pernah berkongsi secara terbuka mengenai hubungan mereka. Kedua-duanya dipercayai pertama kali bertemu menerusi filem pendek ‘Please Be My Ear’ pada tahun 2023, yang juga merupakan naskhah arahan sulung Dong-yoon, dengan Seung-yoon tampil sebagai salah seorang pelakon.

Hubungan profesional mereka kemudiannya diteruskan apabila Seung-yoon membintangi filem ‘The Yeast’, iaitu karya filem panjang pertama Dong-yoon sebagai pengarah. Sementara itu, Dong-yoon sendiri sudah cukup dikenali menerusi pelbagai drama popular termasuk School 2017 dan The Tale of Nokdu, selain aktif mengembangkan kerjayanya dalam bidang lakonan serta pengarahan.
Terdahulu, Dong-yoon turut meraih perhatian selepas berjaya menamatkan pengajian di Hanyang University dan akhirnya bergelar graduan selepas 15 tahun. Perjalanannya dalam dunia seni juga cukup unik apabila beliau mula mencuri tumpuan selepas membantu polis menahan seorang suspek rompakan ketika masih bergelar pelajar, sebelum insiden itu secara tidak langsung membuka pintu kepada kerjayanya sebagai seorang pelakon.
Sumber: Instagram Dong-yoon
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!




















