Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), pasti ada yang pernah melihat Jalur Gemilang Litar Sepang bersaiz besar yang dicat pada permukaan konkrit di salah satu bahagian litar ikonik berkenaan.

Namun di sebalik bendera yang menjadi sebahagian daripada pemandangan di Litar Sepang itu, tersimpan sebuah kisah cukup peribadi mengenai kenangan seorang anak bersama arwah bapanya.

Ketika kemeriahan Formula 1 (F1) kembali menjadi bualan ramai baru-baru ini, seorang lelaki tampil mengimbau pengalamannya terlibat dalam penghasilan Jalur Gemilang tersebut kira-kira 22 tahun lalu.

Lebih istimewa, dia melakukannya ketika masih bergelar pelajar sekolah bersama bapanya, Allahyarham Mahadi Md Desa.

Masih Tersergam Selepas 22 Tahun, Lelaki Imbau Kenangan Cat Jalur Gemilang Di Litar Sepang Bersama Arwah Bapa

Bermula Ketika Baru Tingkatan Tiga

Mengimbau kembali sekitar tahun 2004, lelaki berkenaan berkata dia ketika itu baru berada di Tingkatan Tiga dan tidak pernah menyangka tugasan yang dilakukan bersama bapanya akan menjadi satu kenangan yang begitu bermakna dalam hidupnya.

Menurutnya, dia terlebih dahulu mencari gambar Jalur Gemilang menerusi internet untuk dijadikan rujukan sebelum menunjukkannya kepada bapanya.

Daripada gambar tersebut, mereka mula menghasilkan garisan mengikut bentuk bendera satu demi satu sebelum proses mengecat dilakukan sehingga siap.

Pada usia sekitar 15 tahun, mungkin ia kelihatan seperti satu tugasan biasa. Apatah lagi, minatnya terhadap seni sudah dipupuk sejak kecil apabila ibunya sering menghantarnya menyertai pertandingan melukis.

“Ramai yang tanya pasal bendera yang dilukis dekat Litar Sepang tu. Sebenarnya ada design lama dan design baru.

“Yang ni design lama hasil budak hingusan. Mak selalu hantar pergi pertandingan melukis dulu. Dapatlah hasil budak sekolah kat sini,” kongsinya.

Ads

Masih Tersergam Selepas 22 Tahun, Lelaki Imbau Kenangan Cat Jalur Gemilang Di Litar Sepang Bersama Arwah Bapa

Idea Arwah Bapa Di Sebalik Jalur Gemilang Litar Sepang

Namun, kisah Jalur Gemilang tersebut tidak terhenti pada rekaan pertama.

Selepas itu, bapanya mendapat idea untuk menghasilkan versi baharu yang lebih besar sebelum rekaannya dilakukan oleh seorang kenalan yang dipanggil Abang Shah.

Selepas mendapat kelulusan daripada pihak SIC ketika itu, mereka terus memulakan kerja bagi merealisasikan rekaan berkenaan.

Dengan masa yang perlu dikejar, proses mengecat bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia mengambil masa kira-kira seminggu untuk disiapkan.

Dari pagi sehingga malam, mereka menghabiskan masa di litar bagi memastikan Jalur Gemilang Litar Sepang berskala besar itu dapat disempurnakan.

Masih Tersergam Selepas 22 Tahun, Lelaki Imbau Kenangan Cat Jalur Gemilang Di Litar Sepang Bersama Arwah Bapa

Ads

Malah, lelaki tersebut masih mengingati kepenatan yang dilalui sehingga mereka sempat tertidur di dalam kereta ketika berehat di tengah hari.

Biarpun pendingin hawa dipasang, bahang panas di kawasan litar ketika itu masih cukup terasa.

Namun siapa sangka, segala kepenatan yang mungkin dianggap biasa pada waktu itu akhirnya menjadi memori yang tidak mampu dibeli dengan apa-apa apabila bapanya telah tiada.

“Bila Tengok F1, Aku Teringat Arwah Bapak Aku”

Selepas hampir 22 tahun berlalu, kemeriahan F1 yang kembali hangat membuatkan lelaki tersebut terkenang semula pengalaman berkenaan.

Bezanya, kali ini apa yang paling diingatinya bukanlah kereta lumba ataupun aksi di Litar Sepang.

Sebaliknya, fikirannya kembali kepada seorang insan yang pernah berada di sisinya ketika mereka sama-sama menyiapkan bendera tersebut.

Masih Tersergam Selepas 22 Tahun, Lelaki Imbau Kenangan Cat Jalur Gemilang Di Litar Sepang Bersama Arwah Bapa

Ads

“Sekarang bila aku fikir balik, itulah antara satu-satunya kenangan yang aku ada buat sesuatu bersama arwah bapak aku.

“Dulu aku tak tahu pun kenangan kecil macam tu akan jadi sesuatu yang sangat besar dalam hidup aku.

“Bila tengok balik F1 sekarang, aku bukan teringat kereta laju sangat pun. Aku teringat arwah bapak aku. Dan bendera Malaysia yang kami pernah cat sama-sama, hampir 22 tahun lepas,” luahnya.

Lebih menyentuh hati, Jalur Gemilang Litar Sepang berkenaan menurutnya masih tersergam sehingga ke hari ini.

Kadangkala, sesuatu momen itu terasa kecil ketika kita sedang melaluinya. Hanya selepas masa berlalu, barulah kita sedar bahawa momen sederhana itulah yang paling kita mahu kembali semula.

Al-Fatihah buat Allahyarham Mahadi Md Desa.

Sumber : Threads adyhomhome

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads