
Musim kedua Jalen Star Chef kembali dengan skala lebih besar dan lebih kompetitif apabila siri pencarian bakat kulinari ini menjelajah ke seluruh negara bagi mencari chef muda paling berbakat dari institusi pengajian tinggi tempatan.
Untuk edisi kali ini, pentas Jalen Star Chef 2 menyaksikan persaingan bukan sahaja daripada IPTA, malah turut membuka ruang kepada pelajar IPTS yang mahu membuktikan kemampuan mereka dalam dunia kulinari profesional.
Antara yang mencuri perhatian di peringkat saringan pertama di UiTM Dungun ialah penyertaan daripada University College Bestari (UCB) menerusi tiga wakil muda mereka iaitu Noor Kuamelia Fasha Binti Mohd Zaiwati, Muhammad Azim Azram Bin Azami dan Nor Ainun Maisarah Binti Abdullah.
Walaupun mengakui ini merupakan pengalaman pertama mereka menyertai pertandingan berskala besar, ketiga-tiga peserta tampil dengan semangat dan keyakinan tinggi untuk membawa nama universiti mereka lebih jauh.
Bagi Muhammad Azim Azram, penyertaan dalam Jalen Star Chef 2 dianggap sebagai satu cabaran penting sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.
“Saya rasa ini satu cabaran baru sebelum saya tempuh alam pekerjaan sebab selepas ini saya akan menjalani internship di hotel. Jadi dekat sini saya dapat belajar macam mana nak manage masa, guna bahan dan hasilkan satu produk dengan baik,” jelasnya.
Sementara itu, Noor Kuamelia Fasha pula mengakui pada awalnya dia berasa gementar apabila dicadangkan oleh pensyarah untuk menyertai pertandingan tersebut.
“Memang nervous sebab ini first time masuk competition besar. Tapi bagi saya ini satu cabaran yang menarik sebab saya memang suka cabaran,” katanya.
Bagi Nor Ainun Maisarah pula, dia melihat penyertaan ini lebih kepada peluang menimba pengalaman baharu.
“Sebelum ini saya memang tak pernah masuk pertandingan. Jadi bila ada peluang macam ni, saya terus fikir okey, kita cuba dulu,” ujarnya.
Apa yang menarik, ketiga-tiga peserta UCB ini turut membawa misi yang lebih besar iaitu mahu membuktikan bahawa pelajar IPTS juga mampu berdiri sama tinggi dengan institusi lain yang lebih dikenali.
Menurut mereka, walaupun UCB mungkin tidak sepopular universiti lain di mata ramai, namun dari segi kemampuan dan latihan, mereka percaya pelajar University College Bestari mampu bersaing secara sihat di pentas kulinari.
“Kami rasa UCB ni sebenarnya setanding dengan IPTA dan IPTS lain. Dengan tenaga pengajar yang kami ada, kami dapat belajar benda yang sama level dengan universiti lain,” kata mereka.
Malah, mereka turut berharap penyertaan dalam program seperti Jalen Star Chef 2 dapat membuka mata lebih ramai pihak terhadap potensi pelajar UCB.
Dengan semangat mahu belajar, keberanian mencabar diri dan keyakinan membawa nama universiti, penyertaan pelajar dari University College Bestari ini jelas membuktikan bahawa dunia kulinari tempatan sebenarnya dipenuhi bakat muda yang hanya menunggu peluang untuk menyerlah.
Selain menguji kemahiran memasak, pertandingan seperti Jalen Star Chef 2 turut membantu pelajar meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kemampuan bekerja di bawah tekanan.
Semua pengalaman ini menjadi nilai tambah penting sebelum mereka memasuki dunia pekerjaan sebenar dalam industri hospitaliti dan kulinari.
Untuk info, saringan pertama JALEN Star Chef 2 telah melabuhkan tirai pada 6 Mei lalu dengan penyertaan tiga institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi MARA Dungun, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Kolej Bestari (UCB).
Persoalannya, adakah anda bintang yang dicari? Nantikan kemeriahan JALEN Star Chef 2 yang berlangsung sepanjang Mei ini!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.