Berita

Saringan Jalen Star Chef 2 Di UiTM Permatang Pauh, Peserta ‘Tuan Rumah’ Akui Rasa Tertekan

Share

Baru-baru ini, Jalen Star Chef 2 baru sahaja selesai dengan saringan kedua di UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang yang menghimpunkan pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan dalam satu pertandingan masakan berkonsepkan cabaran profesional.

Berbeza dengan pertandingan memasak biasa, edisi kali ini hadir dengan elemen rakaman dan suasana seperti program realiti. Para peserta bukan sahaja diuji dari segi kreativiti dalam menghasilkan hidangan, malah perlu mengawal diri di hadapan kamera yang menjadikan pengalaman itu lebih mencabar dan unik.

Pengalaman Jadi Kunci Kelebihan

Antara yang mencuri perhatian ialah pelajar pascasiswazah UiTM Pulau Pinang, Muhamad Sufi Irfan Bin Mohamad Rusdin (24), yang sudah tidak asing lagi dalam dunia pertandingan kulinari.

Menurut Sufi, pengalaman beliau menyertai pelbagai pertandingan sejak tahun 2022 banyak membantu dirinya memahami rentak dan suasana dapur pertandingan.

“Bila dah biasa dengan pertandingan, kita dah tahu rentak dalam dapur macam mana. Jadi bila masuk, kita boleh agak perjalanan kerja kita supaya lebih lancar,” katanya.

Sufi sebelum ini pernah menyertai beberapa pertandingan termasuk Melaka Culinary Challenge 2023, Battle of the Chefs 2024 serta Young Chef International 2025.

BACA: Pelajar UiTM Harumkan Nama Malaysia Di Pentas Kulinari Dunia, Raih Emas Di Young Chef International 2025

Untuk cabaran kali ini, beliau tampil dengan hidangan berinspirasikan Thailand menerusi ‘Chicken Kaiju’, dipadankan bersama dua jenis sos iaitu Kariju dan Percik Kelantan. Hidangan tersebut turut dilengkapkan dengan Roll Rösti serta kerabu daun selom.

Debut Pertama Penuh Tekanan Sebagai Tuan Rumah

Sementara itu, bagi Nasrullah Bin Samsul Bahri (22), pengalaman ini merupakan penyertaan pertamanya dalam pertandingan memasak secara kompetitif.

Walaupun baru pertama kali, Nasrullah mengakui pengalaman tersebut sangat memberi pendedahan berguna dalam meningkatkan pengetahuan dan keyakinan diri di dapur pertandingan.

“Sebagai ‘first timer’, saya rasa pengalaman ini sangat baik untuk para pelajar macam kami. Banyak benda baru yang kita boleh belajar dan tambah pengetahuan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengakui sedikit tekanan apabila UiTM Permatang Pauh menjadi tuan rumah bagi saringan kedua ini.

“Bila jadi tuan rumah, mestilah rasa tanggungjawab itu lebih. Kita nak buat yang terbaik. Kalau ada kekurangan dalam hidangan, jujurnya saya akan rasa sedikit ‘pressure’,” jelasnya.

Nasrullah mempertaruhkan hidangan ‘seafood terrine’ berasaskan ikan patin yang dibalut dengan kobis, selain inovasi ubi getuk bersama ‘sauce beurre blanc’ berasaskan limau purut.

Bukan Sekadar Pertandingan Memasak

Secara keseluruhan, saringan kedua Jalen Star Chef 2 di UiTM Permatang Pauh bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar menunjukkan bakat kulinari, malah menjadi platform pendedahan awal kepada dunia industri sebenar.

Dengan gabungan kreativiti dan tekanan masa, pertandingan ini jelas memberi pengalaman berharga yang mampu membentuk keyakinan serta kemahiran peserta untuk masa depan dalam bidang hospitaliti.

 

Tiga IPT Sertai Saringan Kedua

Untuk info, saringan kedua JALEN Star Chef 2 telah melabuhkan tirai pada 15 Mei lalu dengan penyertaan tiga institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi MARA Permatang Pauh, UniSHAMS dan KV Sungai Petani 2.

Pertandingan JALEN Star Chef kembali untuk musim kedua tahun ini dengan kerjasama antara Remaja dan produk Jalen bagi mencari lebih ramai bakat baharu dalam dunia kulinari dalam kalangan pelajar universiti.

Saringan pertandingan akan diadakan di tiga lokasi iaitu UiTM Dungun, UiTM Permatang Pauh dan UiTM Puncak Alam.

Persoalannya, adakah anda bintang yang dicari? Nantikan kemeriahan JALEN Star Chef 2 yang berlangsung sepanjang Mei ini!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE