
Saringan ketiga Jalen Star Chef 2 terus memperlihatkan persaingan yang semakin sengit apabila para peserta bukan sahaja diuji dari segi kemahiran memasak, tetapi juga keupayaan mengawal tekanan dalam suasana pertandingan sebenar. Dengan cabaran masa yang terhad, penggunaan produk tertentu serta suasana rakaman secara langsung, setiap detik di dapur menjadi penentu kepada hasil akhir hidangan.
Dalam pada itu, menurut tiga peserta daripada Taylor’s University, cabaran kali ini menjadi medan sebenar untuk menguji apa yang telah dipelajari di bilik latihan dan dapur akademik. Walaupun datang dengan latar belakang kulinari yang sama, setiap peserta membawa pendekatan berbeza. Ada yang fokus kepada teknik, ada yang menekankan kreativiti, dan ada juga yang masih menyesuaikan diri dengan pengalaman pertama di pentas pertandingan.
BACA: Saringan Jalen Star Chef 2 Di UiTM Permatang Pauh, Peserta ‘Tuan Rumah’ Akui Rasa Tertekan
Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kulinari, Herriz Aidan Mohd Hezri kembali buat kali kedua menyertai pertandingan memasak dan mengakui pengalaman kali ini jauh lebih mencabar.
Menurutnya, tekanan bukan hanya datang daripada juri yang berpengalaman, tetapi juga suasana penggambaran yang membuatkan fokus beliau sedikit terganggu.
“Pertandingan kali ini lebih memberi tekanan kerana juri-juri semua berpengalaman, dan pada masa sama ada kamera serta ‘lighting’ yang buat saya agak susah nak perform dengan stabil,” katanya.
Dalam cabaran tersebut, Herriz cuba mengangkat kreativiti dengan menjadikan sos sebagai elemen utama hidangan atau “main character”, di mana produk Jalen digunakan untuk menyatukan rasa keseluruhan hidangan.
Selain itu, Cassandra Jayselee Daniel, pelajar Diploma Lanjutan Seni Pastri dan Gastronomi, juga kembali untuk penyertaan kali kedua dan membawa lebih banyak jangkaan terhadap dirinya sendiri.
Namun bagi Cassandra, cabaran paling besar datang daripada situasi produksi yang tidak stabil serta tekanan kamera yang berterusan sepanjang pertandingan.
“Tekanan paling besar adalah kamera, walaupun sudah ada tekanan masa, bila ada perubahan saat akhir daripada production team, timing kami jadi lari dan agak susah untuk adjust semula,” ujarnya.
Walaupun begitu, beliau sudah mempunyai gambaran awal hidangan hasil pengalaman ketika latihan industri, dan melihat produk Jalen sebagai bahan yang boleh diolah dengan lebih kreatif untuk meningkatkan tahap rasa dan persembahan.
Gabrielle Tan Wei Che pula mencuri perhatian sebagai peserta pertama kali yang berdepan pengalaman pertandingan secara langsung buat pertama kali dalam hidupnya.
Sebagai seorang ‘first timer’, Gabrielle mengakui rasa gementar kerana masih belum biasa dengan aturan pertandingan secara langsung termasuk pengurusan masa, order bahan dan tekanan kamera.
“Ini kali pertama saya join pertandingan memasak, jadi saya memang agak nervous sebab tak biasa dengan live competition, tambahan pula saya agak pemalu di hadapan kamera,” katanya.
Walaupun begitu, beliau tetap berusaha untuk menggunakan produk Jalen sebaik mungkin dalam hidangan, walaupun tidak terlalu banyak seperti peserta lain, namun masih memenuhi kehendak cabaran.
Walaupun bersaing secara individu di dapur, ketiga-tiga peserta Taylor’s University ini tetap bergerak sebagai satu pasukan yang saling menyokong antara satu sama lain sejak sesi latihan. Mereka juga berkongsi persediaan, idea dan strategi, dengan harapan sekurang-kurangnya seorang daripada mereka dapat melangkah ke Grand Finale Jalen Star Chef 2.
Untuk info, saringan ketiga JALEN Star Chef 2 telah melabuhkan tirai pada 4 Jun lalu dengan penyertaan tiga institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi MARA Puncak Alam, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, dan Taylor’s University.
Pertandingan JALEN Star Chef kembali untuk musim kedua tahun ini dengan kerjasama antara Remaja dan produk Jalen bagi mencari lebih ramai bakat baharu dalam dunia kulinari dalam kalangan pelajar universiti.
Saringan pertandingan akan diadakan di tiga lokasi iaitu UiTM Dungun, UiTM Permatang Pauh dan UiTM Puncak Alam.
Persoalannya, adakah anda bintang yang dicari? Nantikan kemeriahan Grand Finale JALEN Star Chef 2 yang berlangsung pada 18 Jun ini!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.