Inpirasi

#GirlsPower: Syafikah Nazurah Dari UiTM Dungun Dinobat Juara JALEN Star Chef 2, Tak Sangka Cubaan Kali Kedua Membawa Tuah

Share

Selepas lapan minggu saingan penuh cabaran, pentas akhir JALEN Star Chef musim kedua akhirnya melabuhkan tirainya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dengan penuh cemerlang dan gemilang.

Pertandingan yang menyaksikan tiga pusingan saringan di UiTM Dungun, UiTM Permatang Pauh dan UiTM Puncak Alam sejak Mei lalu itu akhirnya menemukan 10 finalis terbaik untuk berentap di peringkat akhir dalam medan yang menguji kreativiti, cita rasa serta semangat inovatif anak muda dalam dunia kulinari.

Bagi musim kedua ini, Nur Syafikah Nazurah Binti Muhd Shaqawi dari UiTM Dungun, Terengganu berjaya dinobatkan sebagai juara JALEN Star Chef 2 selepas memperoleh markah keseluruhan 93.3 peratus sekaligus membawa pulang wang tunai RM3,000.

Nur Syafikah Nazurah

“Awalnya perasaan saya bercampur baur, lebih lagi bila nampak peserta lain yang aura mereka tak kurang hebatnya, tapi saya bersyukur bila saya dapat siapkan kedua-dua hidangan tadi,” katanya.

“Saya terharu sangat dan tak sangka dinobatkan sebagai juara. Penat lelah berlatih bersama pensyarah benar-benar berbaloi dan tanpa bimbingan mereka mungkin saya tak mampu sampai ke tahap ini,” ujarnya.

Hazeerah Zulaikha

Naib juara pula menjadi milik Hazeerah Zulaikha Binti Hasan dari UiTM Puncak Alam yang meraih markah 93 peratus dan membawa pulang wang tunai RM2,000.

“Perasaan saya bila dinobatkan sebagai naib juara, Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah beri ini sebab saya betul-betul tak sangka saya dapat tempat kedua,” katanya.

Tempat ketiga dimenangi oleh Nor Ainun Maisarah Binti Abdullah dari University College Bestari, Setiu dengan markah 88.7 peratus berserta hadiah wang tunai RM1,000.

“Alhamdulillah, debaran itu dah hilang dan saya gembira sebab dapat selesaikan cabaran walaupun berdepan banyak dugaan sepanjang pertandingan,” katanya.

Ketiga-tiga pemenang utama turut menerima trofi eksklusif, plak penghargaan serta apron dan coat chef istimewa tajaan Greenchef Sdn. Bhd. sebagai simbol pengiktirafan terhadap bakat dan pencapaian mereka dalam dunia kulinari.

 

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP) UiTM Puncak Alam, Prof. Dr. Norzuwana Sumarjan berkata, pertandingan tersebut membuktikan generasi muda Malaysia memiliki potensi besar dalam bidang gastronomi dan hospitaliti menerusi idea, kreativiti serta interpretasi kulinari yang dipamerkan sepanjang program berlangsung.

“Hari ini merupakan kemuncak kepada satu perjalanan yang telah menyaksikan kesungguhan, kreativiti dan semangat daya saing yang tinggi dalam kalangan para peserta,” katanya.

7 Pemenang Saguhati, Semangat Tetap Juara!

Selain tiga pemenang utama, tujuh lagi finalis turut mempamerkan prestasi membanggakan dan menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM500, plak penghargaan serta apron tajaan Greenchef Sdn. Bhd.

Menurut Nasrullah Bin Samsul Bahri dari UiTM Permatang Pauh, peluang beraksi di pentas akhir merupakan pengalaman yang tidak disangka-sangka dan memberi banyak pengajaran sepanjang pertandingan.

“Tip saya untuk mereka yang ingin mencuba adalah jangan pernah serik, buat je. Bak kata Master Yoda dalam Star Wars, ‘Do. Or do not. There is no try’,” katanya ringkas.

 

Muhammad Afiq Bin Arifin dari UNISHAMS Kedah pula berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan dan menekankan kepentingan latihan yang mencukupi sebelum pertandingan.

“Untuk peringkat akhir, saya rasa memang perlu lebihkan latihan dan asah lagi apa yang kita mampu.”

Bagi Nur Zalikha Nadiah Binti Zainon dari Kolej Vokasional Sungai Petani 2, beliau berbangga kerana berpeluang membawa nama institusinya ke peringkat akhir.

“Jangan rasa nervous, tenang sahaja dan buat yang terbaik,” pesan beliau untuk peserta pada masa akan datang.

 

Selain itu, Muhammad Muizzuddin Aqil Bin Mustafa dari UiTM Terengganu Dungun mengakui pertandingan itu membuka ruang pembelajaran yang luas walaupun menerima pelbagai komen daripada juri.

“Masuk dan cubalah apa sahaja yang awak nak cuba, tetapi kita kena komited sepenuhnya,” katanya.

Nuhshaqif Mikhael Bin Abdul Halim dari IKTBN Alor Gajah menyifatkan penyertaannya sebagai satu pengalaman berharga memandangkan ia merupakan pertandingan memasak pertama yang disertainya.

“Masuk je! Cabar diri sendiri dan tengok sejauh mana awak boleh pergi. InsyaAllah.”

 

Pada masa yang sama, Danish Adam Bin Mohd Azzuarl dari UiTM Puncak Alam pula menganggap pengalaman beraksi di final sebagai sesuatu yang mencabar tetapi sangat bermakna.

“Jangan takut untuk cuba kerana kalah atau menang bukan perkara utama, sebaliknya apa yang kita pelajari,” jelasnya penuh semangat.

Akhir sekali, antara peserta yang berjaya menawan hati para juri dan menerima penghargaan menerusi ‘Peserta Pilihan Juri’ iaitu Cassandra Jayselee Daniel dari Taylor’s University menggalakkan peserta masa depan untuk lebih berani meneroka idea dan identiti rasa tersendiri dalam masakan.

“Try to innovate your own flavours and once you know your flavour profile, you can do a lot.”

Kemuncak Remaja On Road x JALEN Star Chef 2

Pertandingan akhir JALEN Star Chef 2 menjadi penutup kepada siri jelajah Remaja On Road yang berlangsung di kampus-kampus terpilih seluruh negara. Hasil kerjasama strategik antara jenama makanan tempatan JALEN dan Majalah Remaja, inisiatif ini terus memperkukuh komitmen dalam mencungkil bakat-bakat kulinari muda yang berpotensi menjadi generasi chef masa depan.

Memasuki musim kedua, JALEN Star Chef bukan lagi sekadar sebuah pertandingan memasak. Ia menjadi platform pembangunan bakat yang memberi peluang kepada pelajar untuk menguji kreativiti, mengasah kemahiran kulinari, serta membina keyakinan diri melalui pengalaman dunia sebenar dalam suasana dapur profesional.

Bagi cabaran akhir, para finalis diberikan tugasan menghasilkan hidangan istimewa berasaskan produk-produk JALEN sebagai bahan utama. Cabaran ini bukan sahaja menguji kemahiran teknikal dan kreativiti mereka, malah menuntut kebijaksanaan peserta dalam menampilkan citarasa yang unik, inovatif dan berdaya saing untuk memikat hati para juri.

BACA: Imran Syahin Dari UiTM Puncak Alam Dinobat Juara JALEN Star Chef, Banggakan Ibu Bapa & Pensyarah

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE