
Penyanyi solo, Jae atau kini lebih dikenali sebagai eaJ, baru-baru ini mencuri perhatian di media sosial apabila berkongsi pengalamannya sebagai ahli kumpulan yang kurang mendapat perhatian semasa aktif dalam industri hiburan K-pop.
Walaupun sudah bertahun meninggalkan kumpulan DAY6, Jae atau nama sebenar Park Jae-hyung (33) buat kali pertama meluahkan perasaannya tentang menjadi ahli yang paling kurang popular dalam kumpulan tersebut.
Hal ini juga tercetus apabila Jae meninggalkan komen jujur pada sebuah video perkongsian di TikTok yang membincangkan realiti pahit industri K-pop, khususnya diskriminasi yang berlaku antara ahli kumpulan yang popular dan sebaliknya.
Menerusi komen tersebut, pelantun lagu ‘You Were Beautiful’ dan ‘Congratulations’ itu mengakui pernah melalui fasa sukar sewaktu aktif di Korea.
“Inilah saya semasa di Korea. Sakit rasanya pergi ke acara yang berhubungan dengan peminat. Para produser diberitahu untuk tidak memberi saya sebarang bahagian dalam comeback kedua kami”
“Di setiap acara bersama peminat, saya diingatkan bahawa saya tidak pantas berada di sana. Awalnya saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan hal itu, tetapi akhirnya saya terbiasa,” tulisnya.
Walaupun merasa terpinggir dalam negara sendiri, namun Jae menghargai sokongan dari peminat luar negara dan segelintir peminat Korea yang telah memberi kekuatan kepadanya untuk terus berkarya.
“Saya mendapatkan cinta dari peminat di luar negara dan juga beberapa penggemar di Korea, jadi saya sangat berterima kasih kepada orang-orang itu.
Saya masih mengingat mereka (peminat) dan percakapan singkat yang kami lakukan setelah bertahun-tahun,” luah Jae.Dalam pada itu, Jae turut menyeru peminat agar bersikap adil dan menghargai setiap ahli kumpulan K-pop yang mereka sokong.
“Jadi, ya, kalau awak berjumpa dengan kumpulan yang awak minat. Bersikap baiklah kepada semua orang! Kami mengingat dan menghargai awak. Serius,” tambahnya.
Sementara itu, komen yang ditinggalkan Jae kemudian diterjemah ke dalam bahasa Korea dan menjadi tular di laman komuniti dalam talian, sekaligus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan peminat K-pop di Korea khususnya.
Difahamkan, ada yang tampil memberi sokongan kepada penyanyi itu serta menyuarakan simpati terhadap pengalaman perit yang dilaluinya. Namun begitu, ada juga segelintir individu yang mempertikaikan kenyataannya dan mengatakan bahawa beliau bukanlah ahli yang tidak popular tetapi hanya meninggalkan kumpulan tersebut ketika mereka berada di ambang kejatuhan.
Walau apa pun reaksi yang diterima, perkongsian Jae kini telah membuka semula perbincangan tentang tekanan yang dihadapi oleh ahli kumpulan K-pop yang kurang mendapat perhatian dan pengiktirafan, sekaligus memberi kesedaran kepada peminat agar lebih peka dengan realiti sebenar dunia hiburan Korea.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.