
It’s a girl! Selepas melalui detik duka kehilangan anak sulung tahun lalu, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh dan isterinya, Fatin Athira Mustapa, akhirnya berkongsi berita gembira bakal menimang cahaya mata perempuan tidak lama lagi.
Momen penuh bermakna itu terdedah apabila Noh memuat naik semula hantaran rakan-rakan di Instagram Story, yang memaparkan suasana majlis gender reveal pasangan ini.
Dalam video berkenaan, suasana bertukar meriah apabila asap dan kertas berwarna merah jambu dilepaskan ke ruang acara. Noh jelas begitu teruja – siap melompat kegembiraan! Sementara itu, Fatin yang tampil anggun bergaun putih tersenyum manis di sisi suami tercinta, meraikan berita istimewa ini bersama.
Kalau imbas kembali, pada September tahun lalu, Noh pernah berkongsi kisah pilu di Instagram apabila kehilangan anak sulung mereka yang diberi nama Julian. Dalam catatan penuh emosi, Noh menceritakan bagaimana mereka berjuang memastikan kandungan sihat, namun takdir Allah lebih dahulu menjemput anak kecil itu.
Noh mendirikan rumah tangga dengan Fatin pada September 2023. Sebelum itu, beliau pernah berkahwin dengan penyanyi Mizz Nina pada 2011 sebelum berpisah pada Ogos 2022. Hasil perkahwinan terdahulu, mereka memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Musa, yang kini menjadi penyeri keluarga.
Kehadiran bakal puteri kecil ini semestinya memberi sinar baru buat Noh dan Fatin. Dari sebuah kehilangan, kini mereka bangkit dengan harapan baru. Baby girl yang bakal lahir nanti bukan saja pengikat kasih sayang, tetapi juga anugerah terindah buat mereka sekeluarga.
Remaja mendoakan agar proses kehamilan Fatin berjalan lancar dan pasangan ini dipermudahkan urusan menyambut cahaya mata perempuan yang bakal hadir. Tak sabar nak tengok wajah baby girl comel pasangan ini nanti! 💖