
Jika anda pernah mengulang lagu Tetap Dalam Jiwa berkali-kali atau kagum melihat evolusi muzik Isyana Sarasvati sejak album Explore! sehingga LEXICON, berita ini pasti membuatkan anda teruja.
Penyanyi, komposer dan pemuzik berbakat besar dari Indonesia itu bakal kembali menemui peminat Malaysia menerusi konsert ISYANA SARASVATI LIVE IN KUALA LUMPUR (ASIA TOUR 2026) yang dijadual berlangsung pada 17 Julai 2026 di Zepp Kuala Lumpur, jam 8.30 malam.
Kali terakhir tampil menghiburkan peminat tempatan pada tahun 2023, kepulangan Isyana kali ini dilihat cukup istimewa apabila hadir bersama era muzik baharunya yang lebih berani dan artistik.
Menurut pihak penganjur, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya satu perjalanan yang merangkumi pelbagai fasa penting dalam karier seni Isyana.
Peminat bakal dibawa menyelami evolusi muziknya, daripada karya-karya popular yang dekat di hati sehingga kepada eksperimen muzik terbaharu yang memperlihatkan sisi kreatif Isyana yang semakin matang.
Dengan identiti muzik yang sentiasa merentasi pelbagai genre, vokal yang penuh karakter serta keupayaan menguasai pentas, Isyana dijangka menghadiahkan malam yang sarat dengan emosi, tenaga dan kejutan.
Lebih menarik, konsert ini turut diadakan sempena pelancaran album terbaharu Isyana berjudul EKLEKTIKO yang kini menjadi perhatian peminat di seluruh Asia Tenggara.
Album tersebut dianggap antara karya paling berani dalam perjalanan seninya apabila dibahagikan kepada empat babak utama iaitu Lunora, Mamiu, Cecilia dan Abadhi.
Menerusi EKLEKTIKO, Isyana meneroka dimensi muzik yang lebih luas dan eksperimental, sekali gus membuktikan dirinya bukan sekadar penyanyi pop biasa, tetapi seorang seniman yang sentiasa mencabar batas kreativiti.
Selaku penganjur, REDROSE ENTERTAINMENT bersama VAULT + VISION AGENCY menyifatkan Isyana sebagai seorang pencerita yang berjaya menterjemahkan emosi, kegelisahan dan harapan melalui karya-karyanya.
Mewakili kedua-dua pihak, Sarah Kasenda berkata mereka mahu menjadikan konsert ini sebagai ruang untuk peminat benar-benar merasai pengalaman muzik Isyana secara langsung.
“Kami mahu peminat merasa dan larut dalam karya-karya Isyana yang eklektik, merasakan secara langsung persembahan Isyana bersama seluruh pemuziknya serta melepaskan rindu bersama,” katanya.
Tambahnya, selepas lebih sedekad berkarya, konsert tersebut dilihat sebagai waktu paling sesuai untuk diraikan bersama peminat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan.
Bagi Isyana sendiri, konsert ini membawa makna yang cukup besar dalam perjalanan seninya.
Menurutnya, segala perkembangan dan pencapaian sepanjang karier tidak akan bermakna tanpa sokongan peminat yang sentiasa setia mengikuti karya-karyanya.
“Perjalanan yang baik ini harus saya kongsi bersama peminat kerana mereka adalah sebahagian sumber inspirasi dalam penghasilan karya saya,” katanya.
Penyanyi itu turut mengakui teruja untuk merealisasikan pelbagai idea kreatif yang telah dirancang khas buat peminat menerusi konsert tersebut.
Malam istimewa itu nanti bakal menyaksikan Isyana mempersembahkan gabungan lagu-lagu daripada pelbagai era kariernya.
Selain karya baharu daripada EKLEKTIKO, peminat juga boleh menjangkakan seleksi lagu daripada album Explore! (2015), Paradox, LEXICON serta album ISYANA.
Ia sekali gus menjadi refleksi perjalanan seni Isyana yang sentiasa berkembang dan tidak pernah takut untuk bereksperimen dengan bunyi serta genre baharu.
Bagi peminat yang sudah lama menantikan peluang menyaksikan Isyana secara langsung, inilah masanya untuk mendapatkan tiket.
Antara kategori tiket yang ditawarkan ialah:
Tiket boleh didapati menerusi platform jualan rasmi Loket. Jadi, tandakan kalendar anda pada 17 Julai ini kerana ISYANA SARASVATI LIVE IN KUALA LUMPUR (ASIA TOUR 2026)bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu pengalaman untuk menyelami dunia EKLEKTIKO bersama salah seorang pemuzik paling unik di rantau ini.
Kerana ada lagu yang lebih indah apabila dinyanyikan bersama. Dan ada kenangan yang hanya tercipta apabila anda berada di sana.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.