
Susulan isu empat pelajar yang didakwa terlibat dengan kes jenayah serius, termasuk rogol, namun masih dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat.
Kes ini timbul selepas empat pelajar lelaki berusia 17 tahun di Alor Gajah, Melaka didakwa merogol rakan seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di sebuah sekolah menengah. Walaupun berdepan pertuduhan di mahkamah dan ditahan reman, mereka dilaporkan akan tetap diberi ruang untuk menduduki peperiksaan utama itu.
Menurut sebuah kenyataan rasmi yang dikongsikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 12 Oktober lalu menegaskan, bahawa hak pendidikan tidak boleh dinafikan kepada mana-mana pelajar.
Selain itu, jelas hak tersebut dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan (Perkara 12) serta Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), termasuk kepada mereka yang sedang menunggu proses perbicaraan, tahanan penjara, atau yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
BACA: Kes Rogol Pelajar : KPM Benarkan Calon SPM Terus Menduduki Peperiksaan
Walaupun begitu, masyarakat awam mula membanjiri media sosial dengan pelbagai reaksi yang memperlihatkan kebimbangan mereka. Ramai berpendapat, jika benar pelajar berkenaan perlu menduduki peperiksaan, ia harus dijalankan di lokasi khas seperti penjara atau sekolah pemulihan Henry Gurney, bukan di sekolah asal mereka.
Memetik komentar salah seorang pengguna media sosial seperti @nyssapotter_ memberi pendapatnya berbunyi, “Jangan sesekali bagi mereka jejak sekolah mereka. Biarlah ambil peperiksaan di tempat khas.”
Seorang lagi pengguna, @ernyfazleena juga turut menyuarakan pendapat senada, “Nak jawab SPM boleh, tapi dalam Henry Gurney la, bukan dekat sekolah yang sama. Baru ada keinsafan sikit.” Di mana, pandangan ini turut disokong oleh orang ramai yang bimbang keselamatan serta kesejahteraan pelajar lain, khususnya pelajar perempuan.
Namun, terdapat juga suara yang cuba meluruskan perbincangan seperti seorang pengguna bernama Mohd Firdaus Jailan mengingatkan orang ramai bahawa hak pendidikan dilindungi perlembagaan.
“Kepada yang salahkan menteri, bacalah perlembagaan dahulu. Sebab itu, banduan dalam penjara pun boleh dapat ijazah sampai PhD. Nak marah guna otaklah,” katanya.
Pada masa yang sama, terdapat beberapa pihak yang meluahkan ketidakpuasan hati terhadap pendekatan KPM yang dianggap terlalu ‘lembut’.
Pengguna @rosearaslan yang menerima ratusan tanda sokongan di media sosial pula menegaskan, “SPM nak ambil, ambil di balai polis, jangan sekali dengan budak lain. Kau sanggup ke kalau anak perempuan kau sekelas dengan rapist?”
Sebahagian lain pula mempersoalkan keutamaan KPM dalam mengeluarkan kenyataan terbuka mengenai perkara ini.
“Sepatutnya dia tak perlu sebut sesuatu yang bermanfaat buat pesalah. Talk more about punishment, talk more about plan for the mangsa,” kata seorang pengguna bernama @hasif_one.
Sementara itu, walaupun undang-undang jelas menetapkan hak pendidikan, perdebatan ini menunjukkan jurang besar antara prinsip perlembagaan dengan realiti sosial masyarakat. Bagi sesetengah pihak, isu keselamatan dan keadilan terhadap mangsa harus diangkat seiring dengan hak pendidikan tertuduh.
Intihanya, kes ini bukan sahaja menimbulkan persoalan tentang pelaksanaan hak pendidikan, tetapi juga mencabar KPM untuk mencari keseimbangan antara memberi peluang kepada pelajar yang sedang berdepan pertuduhan dan memastikan perlindungan serta keadilan kepada mangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.