
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa istilah Muslim Choice bukanlah penanda halal rasmi yang diiktiraf di negara ini. Perkara itu diumumkan menerusi satu kenyataan media di Facebook rasmi JAKIM malam tadi dan mendapat perhatian luas dalam kalangan pengguna Muslim, termasuk golongan remaja yang aktif membeli produk makanan, minuman dan gaya hidup.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, penggunaan istilah Muslim Choice yang diperkenalkan oleh Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat terhadap status halal sesuatu produk atau premis. Beliau berkata, MFW mendakwa pengiktirafan tersebut bertujuan memberi keyakinan kepada pengguna Muslim terhadap produk yang dikatakan bersih, selamat dan menepati prinsip Islam. Namun, jelas beliau, dakwaan itu tidak mempunyai asas pengiktirafan rasmi daripada pihak berkuasa halal Malaysia.

“Hanya JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang diberi kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia,” katanya.
Langgar Undang-Undang Jika Guna Istilah ‘Halal’ Tanpa Kebenaran
Tambah beliau, penggunaan mana-mana logo, simbol atau istilah yang membawa maksud halal tanpa kebenaran sah adalah menyalahi undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Perbuatan seperti ini boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan mengelirukan pengguna yang mempercayai label seperti Muslim Choice tanpa semakan lanjut.

Dalam kenyataan itu, JAKIM turut memaklumkan bahawa pihaknya pernah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2024 bagi membincangkan isu ini. Pertemuan tersebut bertujuan menasihatkan MFW agar menghentikan aktiviti pengiktirafan Muslim Choice, namun aduan diterima menunjukkan aktiviti itu masih diteruskan walaupun sudah diberi peringatan.
Remaja Muslim Perlu Lebih Peka dan Bijak Memilih
Sebagai pengguna muda yang sering membeli produk viral atau jenama baharu, remaja Muslim perlu lebih berhati-hati dan peka dengan logo halal yang sah. Label seperti Muslim Choice, “Muslim Friendly” atau “Diperakui Muslim” tidak boleh dianggap sebagai sijil halal rasmi melainkan disahkan oleh pihak berkuasa yang sah.
Langkah mudah elak kekeliruan halal:
- Periksa logo halal rasmi Malaysia — lengkap dengan nombor siri dan nama syarikat.
- Gunakan portal rasmi JAKIM (halal.gov.my) atau aplikasi Verify Halal untuk semakan status halal.
- Elakkan produk yang hanya menggunakan istilah Muslim Choice atau “Muslim Certified” tanpa bukti pensijilan rasmi.
- Pilih jenama yang telus dan jelas sumber halalnya.
Halal Bukan Sekadar Logo
JAKIM menasihatkan agar semua pengusaha dan pengguna hanya merujuk kepada logo Halal Malaysia yang sah bagi memastikan keaslian status halal produk atau premis. Langkah ini penting bagi melindungi pengguna Muslim daripada kekeliruan dan penipuan yang mungkin timbul akibat penggunaan istilah seperti Muslim Choice.
Sebagai remaja Muslim moden, kita bukan hanya ingin ikut trend tetapi juga menjadi generasi yang bijak, berprinsip dan menjaga nilai agama dalam setiap pilihan. Jangan mudah terpedaya dengan label yang belum tentu sah. Ingat, halal bukan sekadar logo, tapi jaminan bersih, selamat dan diberkati.
BACA LAGI : Keliru Label Halal, Syasya Rizal Termakan Daging Babi Di China – “Terus Tak Berselera…”
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










