Isu Golongan Selebriti Diberi Kebenaran Rakam Video Suntik Vaksin, Aisar Khaled Beri Komen

Share

Nama Aisar Khaled sering menjadi sebutan warganet kerana apa sahaja yang dilakukan olehnya pasti mendapat perhatian ramai. Terbaru, personaliti media sosial itu telah menerima suntikan vaksin dan dia sempat merekodkan video sepanjang proses pemberian vaksin itu dijalankan.

Namun begitu, timbul pula isu apabila seorang pengguna Twitter memuat naik ciapan yang mengatakan “Perasan tak? Kalau influencer/artis boleh pula record masa ambil vaccine? Muka yang “tak famous” mcm kita ni tiber kena ikut MEDICAL PROCEDURE. TIDAK DIBENARKAN UNTUK RECORD.”

Remaja sempat menemu bual Aisar dan meminta komennya berkaitan dengan isu hangat ini.

“Isu tentang rekod video ini sebenarnya saya terlebih dahulu telah meminta keizinan daripada doktor yang bertugas ketika itu. Pada mulanya, memang dia tidak beri izin tapi selepas meyakinkan doktor itu, saya diberi kebenaran untuk merekodkan video dengan syarat hanya sekejap sahaja dan tidak menganggu kerja mereka,”

“Tidak timbul isu saya seorang influencer atau tidak kerana doktor tu pun tak kenal siapa saya. Niat saya untuk memuat naik video tersebut bagi memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang pengambilan suntikan vaksin ini. Mungkin masih ada lagi yang belum mendaftar, dan saya juga ingin menegaskan betapa pentingnya untuk masyarakat kita menerima vaksin,” jawab Aisar.

Aisar juga turut menjelaskan bahawa semuanya terpulang kepada budi bicara kerana dia sendiri melihat ada sahaja individu lain yang turut sama merekodkan video semasa terima suntikan vaksin.

“Saya rasa masih ramai lagi individu lain yang merekodkan video ketika divaksin. Mungkin mereka juga telah mendapat keizinan doktor untuk melakukan perkara itu. Jadi, tidak timbul isu tidak adil atau sebaliknya kerana kami semua seperti orang lain yang meminta kebenaran terlebih dahulu sebelum merekod video,” tambahnya lagi.

Remaja berusia 21 tahun ini juga dilihat ditegur oleh petugas kesihatan kerana memakai baju yang ketat semasa menerima suntikan vaksin baru-baru ini dan menerima kritikan daripada warganet kerana tidak mengikut saranan yang telah ditetapkan.

“Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf dan saya tidak berniat untuk memakai baju yang ketat. Saya rasa baju tu biasa sahaja dan mungkin sebab dulu saya kurus. Baru-baru ni saja baru saya buat badan sikit di gym, jadi sebab tu agak ketat sikit kot (gelak),”

“Lagi pun doktor tu tak marah pun. Dia sekadar bergurau sahaja dan tidak ganggu proses suntikan pun sebab semuanya mengambil masa hanya sekejap saja. Cuma, saya perlu buka baju sikit dan semuanya berjalan lancar seperti biasa. Tidak ambil masa yang lama pun,” jelasnya.

Tidak hanya itu, Aisar juga muncul dengan sebuah video prank menunjukkan dirinya pengsan pada malam selepas menerima suntikan vaksin. Ditanya tidak risau ke sama ada tindakannya itu memberi kesan kepada masyarakat seperti menakut-nakutkan, Aisar punya jawapannya sendiri.

“Kalau penonton menonton video itu dari awal, saya memang terang-terang dah beritahu bahawa itu adalah sebuah video prank hanya untuk melihat reaksi rakan serumah.
Saya tidak berniat untuk menakutkan masyarakat dan awal-awal lagi saya memang dah jelaskan bahawa itu hanya prank untuk rakan-rakan sahaja. Jadi, tidak timbul isu saya nak menakut-nakutkan masyarakat tentang vaksin ini,” tambahnya lagi.

Apa-apa pun, diharap agar masyarakat mendapat pencerahan tentang ‘isu hangat’ ini dan tidak menunding jari kepada individu lain. Semuanya bergantung kepada nasib dan rezeki masing-masing kerana ada yang diberi kebenaran untuk merekodkan video dan ada yang tidak dapat melakukan perkara sedemikian.

IKLAN