
Baru-baru ini, dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian pelakon dan penyanyi era 1980-an, Isma Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail yang meninggal dunia pada pagi Rabu di kediamannya di Kampung Melayu Ampang, Selangor.
Menurut kenyataan ahli keluarga, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 8.30 pagi. Berita duka itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan ringkas yang dikongsikan kepada umum.
“Assalamualaikum. Innalillahiwainnailaihirojiun, Isma Alif atau Latiff telah menghembuskan nafasnya, kembali kepada penciptanya baru sekejap ini. Jenazahnya masih di rumah,” tulis kenyataan tersebut.
Sementara itu, menurut adik Allahyarham yang dikenali sebagai Angah memaklumkan, Isma Aliff sudah lama berdepan masalah kesihatan dan keadaannya dilaporkan semakin merosot sejak seminggu lalu.
Isma Aliff (62) merupakan antara figura popular era 1980-an yang mewarnai dunia hiburan menerusi pelbagai drama, filem dan program hiburan. Selain bergelar pelakon dan penyanyi, Allahyarham juga aktif sebagai pelawak serta pengacara.
Beliau sering digandingkan bersama rakan-rakan komedi tanah air pada zaman kegemilangannya, sekaligus mencipta momen hiburan yang masih diingati peminat sehingga kini.
Terdahulu, Allahyarham pernah dimasukkan ke Hospital Ampang selepas mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru sehingga ditidurkan pada 15 Disember 2023.
Pemergian Isma Aliff pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan artis serta peminat yang membesar dengan karya dan jenaka beliau, sekaligus menutup satu lagi lembaran penting dalam sejarah hiburan tanah air.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.