Teknologi

iPhone Duo Rasmi Jadi Telefon Lipat Pertama Apple, Harga Mencecah RM15,499!

Share

Terbaru, jenama Apple baru sahaja mengumumkan barisan telefon pintar terbaharu mereka menerusi iPhone Duo, iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max. Antara yang paling mencuri perhatian, iPhone Duo menjadi telefon pintar boleh lipat pertama Apple, manakala dua model Pro pula hadir dengan beberapa peningkatan dari segi prestasi, kamera dan pengalaman penggunaan.

Menerusi sebuah pengumuman di Apple Event 2026, pada Rabu, Apple turut memperkenalkan beberapa produk baharu termasuk AirPods 5, Apple Watch Ultra 4 dan Apple Watch Series 12. Namun, kehadiran iPhone Duo menjadi antara tarikan utama apabila Apple akhirnya memperkenalkan telefon pintar foldable yang dinanti-nantikan peminat teknologi.

iPhone Duo, iPhone 18 Pro & iPhone 18 Pro Max

Telefon Lipat Pertama Apple, iPhone Duo

Sebagai telefon pintar boleh lipat pertama Apple, iPhone Duo menawarkan skrin 5.4 inci ketika dilipat dan berkembang sehingga 7.6 inci apabila dibuka. Ia dikuasakan cip A20 Pro, dilengkapi Touch ID pada bahagian sisi tanpa Face ID, selain tampil sebagai iPhone paling nipis pernah dihasilkan Apple.

Menjalankan iOS 27, iPhone Duo turut menyokong Siri berasaskan AI serta fungsi multitasking yang membolehkan beberapa aplikasi digunakan serentak. Ia hanya menyokong eSIM dan ditawarkan pada harga RM9,499 untuk 256GB sehingga RM15,499 bagi 2TB, dengan tempahan awal di Malaysia bermula 16 Oktober sebelum dijual pada 23 Oktober ini.

iPhone 18 Pro

Beralih kepada iPhone 18 Pro, model ini hadir dengan skrin 6.3 inci serta reka bentuk yang masih mengekalkan identiti generasi sebelumnya. Ia menggunakan cip A20 Pro dengan peningkatan grafik dan Neural Engine, selain Dynamic Island yang dikecilkan untuk memberikan ruang paparan lebih luas.

Dari segi kamera, iPhone 18 Pro dilengkapi kamera utama 48MP dengan penambahbaikan untuk menghasilkan foto dan video yang lebih baik dalam keadaan pencahayaan rendah. Ia hadir dalam empat pilihan warna iaitu

Burgundy, Glacier, Silver dan Black, dengan harga bermula RM5,499 untuk 256GB sehingga RM11,499 bagi model 2TB.

iPhone 18 Pro Max

Sementara itu, iPhone 18 Pro Max menjadi pilihan dengan paparan terbesar iaitu 6.9 inci dan turut dikuasakan cip A20 Pro bersama peningkatan grafik serta Neural Engine. Apple turut menaik taraf sistem pengecasan yang membolehkan bateri mencapai sehingga 50 peratus dalam tempoh sekitar 15 minit.

Untuk pasaran di Malaysia, iPhone 18 Pro Max ditawarkan pada harga bermula RM5,999 sehingga RM11,999 bagi kapasiti 2TB. Kedua-dua iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max boleh ditempah mulai 12 September 2026 sebelum mula diterima pembeli pada 18 September 2026.

Dengan iPhone Duo membawa perubahan besar sebagai telefon lipat pertama Apple, manakala iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max menawarkan peningkatan dari segi prestasi, kamera serta pengecasan, barisan baharu ini pastinya mencuri perhatian peminat teknologi. Kini, tinggal menanti sambutan pengguna terhadap tiga model tersebut apabila mula berada di pasaran tidak lama lagi.

Sumber artikel & foto: Apple

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagramTikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE