
Inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, mendedahkan sisi peribadi remaja itu yang gemar menulis diari ketika berada dalam keadaan tertekan.
Perkara itu dikongsikan oleh saksi ke-18 yang juga rakan asrama Zara dalam prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Peguam Joan Goh berkata, berdasarkan keterangan saksi, dia mengetahui tentang kewujudan diari tersebut selepas pernah melihat Zara menulis di dalamnya ketika di asrama.
“Saksi pernah membaca diari milik Zara sekali sahaja dengan izinnya. Seingat saksi, Zara menulis mengenai kerinduannya terhadap kawan-kawan lamanya di sekolah rendah, namun nama mereka tidak diingati.
“Setahu saksi, Zara akan menulis diarinya semasa dia ‘stress’ atau dalam tekanan kerana cara penulisannya menjadi laju.
“Saksi tidak tahu sebab Zara tertekan dan tidak tahu di mana Zara menyimpan diarinya,” jelas Joan kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Rabu.
Joan turut memaklumkan bahawa menurut saksi, Zara tidak pernah mengadu kepadanya tentang sebarang gangguan di asrama seperti buli, tekanan belajar atau keletihan.
Saksi turut menceritakan insiden pada malam 15 Julai lalu. Menurutnya, dia melihat Zara berjalan menuju ke bilik lain selepas dimaklumkan ada pelajar kehilangan barang.
“Saksi bersama rakan-rakan dorm memeriksa barang-barang milik Zara dan menemui satu pin Jalur Gemilang di tempat Zara yang bertulis nama salah seorang pelajar.
“Selepas berjumpa senior di bilik sebelah, ketika Zara kembali ke dorm sekitar jam 11 malam, saksi melihat Zara seakan marah. Zara berjalan masuk ke dalam dorm, menutup loker, kemudian terus baring di lantai sambil menangis di depan almarinya.
“Zara menjerit sambil berkata, ‘Aku nda curi bah, sial’. Sebelum saksi tertidur, Zara masih berada di atas lantai. Itu adalah kali pertama saksi melihat Zara dalam keadaan begitu,” katanya.
Selepas lampu asrama ditutup, saksi sempat melihat Zara duduk di hadapan almarinya sebelum datang ke hujung bilik untuk meminjam gunting.
“Saksi tidak meminjamkan gunting kepada Zara kerana dia tiada gunting. Selepas itu, Zara keluar dari dorm dan saksi tidak tahu apa berlaku selepas itu kerana dia terus tidur,” jelasnya lagi.
Pada hari yang sama sekitar jam 4 petang, saksi berkata dia ternampak Zara berada di asrama dalam keadaan muram dan menyendiri.
“Zara kelihatan diam, muram, tidak bercakap dan turun bersendirian. Memandangkan saksi dan Zara berada di kelas berbeza, saksi tidak tahu bagaimana keadaan Zara sewaktu ‘prep malam’. Saksi tidak menegur Zara kerana melihat dia dalam ‘bad mood’ dan takut dimarahi,” katanya.
Saksi turut memberi keterangan bahawa dia pernah kehilangan wang di dorm dan bagaimana wang tersebut ditemui semula di dalam loker Zara.
“Saksi memberi keterangan bahawa dia pernah kehilangan wang di dorm dan pada masa itu memaklumkan kepada senior. Senior kemudian meminta izin untuk memeriksa setiap loker dan menemui sejumlah wang di dalam loker Zara.
“Saksi ditanya bagaimana dia tahu wang itu miliknya, dan saksi menjawab bahawa senior bertanya ciri-ciri wang yang hilang. Wang tersebut ialah tiga keping RM10,” kata Joan.
Joan dan rakan sepasukannya, Datuk Ram Singh, mewakili salah seorang daripada lima remaja yang didakwa dalam kes Zara Qairina dan hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.