Berita

Inkues Zara Qairina: Ketua Warden Menitis Air Mata, Nafi Sekolah Sembunyi Kebenaran

Share

Inkues kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner hari ini menyaksikan suasana pilu apabila saksi kelapan, Azhari Abd Sagap, menitiskan air mata ketika memberi keterangan. Beliau yang juga Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, menafikan tuduhan bahawa pihak sekolah atau kakitangannya pernah cuba menyembunyikan kebenaran.

Menurut Azhari, beliau sendiri berusaha keras menyelamatkan Zara pada 16 Julai lalu, menemani ibu arwah di hospital, menghadiri pengebumian di Sipitang dan memberikan kerjasama penuh kepada polis. Namun, beliau kecewa kerana tetap berdepan tohmahan seolah-olah mahu melindungi pelaku.

“Saya tidak cuba melindungi pembuli atau pembunuh Zara. Jika benar begitu, saya tidak akan serahkan rakaman audio Kak M kepada polis atau bantu mereka siasat. Saya sendiri yang kenal pasti pelajar itu,” jelas Azhari di mahkamah.

Menurut laporan Harian Metro, beliau turut menegaskan bahawa Kak M, yang wajahnya pernah tular, hanyalah seorang pelajar baik dan bukan seperti yang digambarkan netizen. Malah, kata Azhari, pelajar itu yang mula-mula menemui Zara ketika kejadian dan membantu menyelamatkannya. Tuduhan terhadapnya dianggap kejam dan tidak adil.

“Kalau bukan kerana dia, mungkin Zara tidak sempat dibawa ke hospital. Tetapi inilah balasan yang dia terima — difitnah di media sosial,” tambahnya lagi dengan nada sebak.

Azhari yang juga guru Bahasa Arab dan Pendidikan Islam turut mempersoalkan mengapa tiada sebarang aduan rasmi dibuat oleh arwah atau ibunya mengenai isu yang dikaitkan dengan Kak M

sejak awal. Baginya, tohmahan yang dilemparkan kepada pelajar dan pihak sekolah hanyalah spekulasi yang menyakitkan.

Beliau juga berkongsi detik peribadi apabila Zara pernah menulis tentang subjek ajarannya di dalam diari, membuatkan dirinya berasa terharu dengan ingatan arwah. Namun, tekanan yang diterima akibat tuduhan tidak berasas membuatkan beliau tertanya-tanya: “Patutkah kami yang cuba membantu pula menerima ugutan?”

Prosiding inkues akan bersambung pada sebelah petang, dan seluruh masyarakat masih menunggu jawapan jelas bagi menuntut keadilan buat Zara Qairina.

BACA LAGI : Inkues Zara Qairina: “Aku Tak Mencuri!” – Luahan Terakhir Zara Sebelum Ditemui Tidak Sedarkan Diri

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Nana