Berita

Inkues Zara Qairina: Ketua Warden Maklum Tiada Aduan Pernah Dibuat Zara Sepanjang Di Asrama

Share

Ketua warden asrama, Azhari Abd Sagap mendedahkan di Mahkamah Koroner hari ini bahawa beliau adalah antara individu terawal yang menemui pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, terbaring di dalam longkang asrama pada awal pagi 16 Julai lalu.

Azhari, 31, berkata beliau menerima panggilan daripada pengawal keselamatan bertugas, Linah Mansoding @ Jaliha, 60, sekitar jam 3.04 pagi mengenai kejadian membabitkan Zara.

“Kira-kira jam 3.13 pagi, apabila saya tiba di bangunan asrama, saya melihat Zara (Qairina) terbaring tidak sedarkan diri di dalam longkang.

“Daripada pemerhatian saya, dia kelihatan bernafas seperti sedang tidur berdengkur,” katanya ketika membaca kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Beliau turut memaklumkan, ketika itu hanya terdapat dirinya, Linah serta empat pelajar lain di lokasi. Azhari kemudian mengarahkan mereka mengangkat Zara keluar dari longkang dan dipindahkan ke kawasan rata berbumbung di atas konkrit.

Tambahnya lagi, beliau ternampak kesan darah di tepi longkang serta kecederaan pada buku lali Zara sebelum segera menghubungi talian kecemasan 991 pada jam 3.17 pagi.

“Selepas itu, saya menghubungi penolong kanan hal ehwal murid, Cikgu Asnie.

“Saya kemudian pergi ke rumah pengetua, Ustazah Shaharoom Hashim, yang terletak berhampiran asrama, untuk memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Saya juga cuba menghubungi ibu bapa Zara tetapi tidak berjaya,” katanya.

Azhari menjelaskan, beliau menghubungi semula talian 991 pada jam 3.47 pagi sebelum ambulans tiba dan membawa Zara ke hospital sebelum jam 4 pagi.

Laporan polis kemudiannya dibuat pada jam 8.16 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

Dalam keterangannya juga, Azhari menegaskan bahawa sepanjang bertugas sebagai ketua warden, beliau tidak pernah menerima sebarang aduan daripada Zara mengenai masalah di asrama.

“Sebagai guru Bahasa Arab untuk Tingkatan Satu dan sebagai Ketua Warden Asrama, saya tidak pernah menerima sebarang aduan daripada Zara mengenai sebarang masalah yang dihadapinya di asrama,” jelasnya.

Untuk rekod, Azhari mula mengajar Bahasa Arab dan Kemahiran al-Quran di sekolah berkenaan sejak Jun 2020. Pada Februari 2025, beliau turut dilantik sebagai ketua warden asrama yang bertanggungjawab ke atas bangunan tempat Zara ditempatkan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath