Inpirasi

Enam Pelajar Harumkan Nama Negara, Malaysia Raih Kedudukan Top 20 Dunia Di IMO 2026

Share

Baru-baru ini, dunia pendidikan negara menerima khabar membanggakan apabila kontinjen Malaysia berjaya mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaannya di Olimpiad Matematik Antarabangsa (IMO) 2026 yang berlangsung di Shanghai, China.

Kejayaan menamatkan saingan di tangga ke-19 daripada 117 negara bukan sahaja menjadi rekod baharu buat Malaysia, malah menyaksikan negara buat pertama kalinya berada dalam kelompok 20 terbaik dunia bagi pertandingan matematik paling berprestij itu.

Menerusi sebuah perkongsian di Facebook Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pencapaian bersejarah itu membuktikan kemampuan pelajar Malaysia bersaing di pentas global apabila berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lalu. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan negara atas kejayaan yang membanggakan ini.

Difahamkan, kontinjen Malaysia berjaya mengumpul keseluruhan 142 mata, sekaligus mengatasi rekod kebangsaan sebanyak 139 mata yang dicatatkan pada edisi tahun lalu. Hasil usaha tersebut, pasukan negara membawa pulang satu pingat emas, tiga pingat perak, satu pingat gangsa serta satu anugerah sebutan khas.

Untuk rekod, kejayaan bersejarah itu dilakar oleh enam pelajar iaitu Ho Janson yang meraih pingat emas, Tan Rui Xuen, Yeoh Yi Shuen dan Chia Ming Han yang masing-masing memenangi pingat perak, Ivan Chan Guan Yu yang membawa pulang pingat gangsa, manakala Cheng You Seng menerima anugerah sebutan khas.

BACA: 4 Pelajar Todak Academy Harumkan Nama Malaysia! Raih ‘First & Second Prize’ Di RoboG Asia Cup 2026

Lebih membanggakan, kejayaan Ho Janson turut menghadiahkan pingat emas ketujuh buat Malaysia sepanjang penyertaan negara dalam sejarah IMO. Pencapaian tersebut sekaligus membuktikan perkembangan positif yang terus ditunjukkan oleh bakat-bakat muda tempatan dalam bidang matematik.

Kejayaan yang diraih bukan sekadar membanggakan enam pelajar tersebut, malah menjadi hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk guru, jurulatih, ibu bapa dan semua yang terlibat dalam membimbing mereka sehingga mampu bersaing dengan peserta terbaik dunia. Ia juga mencerminkan perkembangan positif pendidikan negara, khususnya dalam melahirkan lebih ramai bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Sementara itu, pencapaian bersejarah di IMO 2026 ini juga diharap menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar Malaysia untuk berani mencabar diri di pentas antarabangsa. Dalam masa sama, kejayaan ini diharap dapat menyemarakkan lagi minat generasi muda terhadap matematik dan terus mengangkat nama Malaysia di persada dunia.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE