Ikon Kreativiti & Inovasi! G-Dragon Kini Dilantik Sebagai Duta Kehormat Sidang Kemuncak APEC 2025

Share

Bintang K-pop terkenal, G-Dragon baru-baru ini meraih perhatian sekali lagi apabila diumumkan sebagai duta kehormat bagi Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025 oleh Kementerian Luar Korea Selatan pada 23 Julai, bersempena dengan persiapan negara itu menjelang 100 hari sebelum acara bermula.

Memetik laporan media tempatan Korea Selatan, pelantikan ini dianggap signifikan kerana G-Dragon atau nama sebenarnya Kwon Ji Yong (37) dikatakan mewakili nilai-nilai APEC seperti ‘kesalinghubungan dan kelestarian’ menerusi imejnya sebagai ikon kreativiti dan inovasi. 

Menurut G-Dragon menerusi perkongsian di media sosial, beliau mengakui sangat berbesar-hati dengan pencapaian itu.

“Saya dilantik sebagai duta kepada APEC Summit 2025. Satu penghormatan dapat jadi sebahagian daripada APEX Korea. Terima kasih Wicem,” katanya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan rasmi Kementerian Luar, G-Dragon dipilih kerana mampu menyampaikan mesej utama APEC kepada khalayak global, selaras dengan semangat acara berprestij itu.

Pada masa yang sama, sebagai duta APEC, pelantun lagu ‘POWER’ itu akan muncul dalam pelbagai promosi, termasuk video khas untuk menguar-uarkan nilai dan objektif sidang ini kepada dunia luar serta projek visual promosi juga akan diterbitkan oleh Shin Woo-seok, pengarah kreatif dan ketua syarikat produksi Dolphiners Films.

Sementara itu, Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Min Seok turut menyuarakan harapan tinggi terhadap penganjuran Sidang Kemuncak APEC 2025 yang bakal berlangsung di Gyeongju, dengan menyatakan ia sebagai satu peluang untuk mempamerkan kebangkitan semula negara itu selepas berdepan krisis politik semasa era Presiden Yoon Suk Yeol.

Bercakap mengenai perkembangan terkini, G-Dragon baru sahaja menggegarkan pentas secara langsung di Kuala Lumpur menerusi konsert jelajah solo ‘Übermensch Tour 2025’ pada 19 dan 20 Julai lalu yang dihadiri lebih 25,000 peminat.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE