
Ijazah anumerta buat Nurly Sahirah mangsa tragedi bas Gerik menjadi penghormatan penuh bermakna buat keluarga, rakan-rakan serta seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Walaupun pemergiannya sudah lebih 100 hari, kenangan terhadap arwah masih segar dan meninggalkan kesan mendalam.
Menurut laporan Harian Metro, pada 11 November ini, ibu bapa arwah, Azman Mohamad, 63, dan Kamariah Abdul Latif, 60, akan menaiki pentas konvokesyen menerima ijazah anumerta mewakili anak mereka. Majlis ini bukan sekadar simbol akademik, tetapi juga tanda bahawa usaha arwah menuntut ilmu tetap diiktiraf walaupun hayatnya terhenti akibat tragedi.
Arwah Nurly Sahirah bersama seorang lagi rakan, Allahyarham Fatin Nasrien Fadli, adalah antara 15 mangsa yang terkorban dalam nahas bas membawa pelajar UPSI di Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.
Menurut bapanya, walaupun sudah berbulan berlalu, beliau masih merasa seolah-olah arwah berada di sisi. Universiti yang sering bertanya khabar dan mengunjungi keluarga membuatkan mereka berasa seakan Nurly masih menuntut ilmu di sana.
“Sesekali teringat rutin harian menjemput arwah di Bandar Jertih apabila dia pulang bercuti menaiki bas, tetapi kini semua itu hanya tinggal kenangan,” katanya sebak.
Ibunya pula berkongsi, walaupun mereka pernah mencadangkan bidang lain, Nurly tetap memilih jurusan Pendidikan Khas kerana minat mendalam untuk mendidik. Walaupun tidak sempat bergelar guru, amalan baik dan mushaf al-Quran tulisan tangan peninggalan arwah menjadikannya inspirasi buat ramai.
“Allahyarham tidak sempat menjadi pendidik secara formal, tetapi Allah telah mengangkat dia sebagai guru untuk seluruh dunia dengan amalan memuliakan al-Quran,” katanya.
Kisah arwah Nurly Sahirah mengingatkan kita bahawa setiap usaha menuntut ilmu adalah berharga, walaupun tidak sempat digapai sepenuhnya. Ijazah anumerta ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi bukti bahawa semangat, doa dan pengorbanan seorang pelajar tidak pernah sia-sia.
Buat remaja di luar sana, kisah ini wajar dijadikan motivasi untuk terus menghargai ilmu, menghormati ibu bapa serta mendekatkan diri dengan al-Quran. Nurly mungkin sudah tiada, tetapi inspirasinya kekal hidup selamanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.