Berita

Ibu Gigih Berniaga Burger Siang Malam, Anak Tunggal Kini Berjaya Ke Universiti Oxford!

Share

Setiap individu memiliki perjalanan hidup yang berbeza dalam mengejar impian. Ada yang dibesarkan dengan pelbagai kemudahan, manakala ada juga yang perlu berjuang lebih keras demi mencipta peluang sendiri.

Begitu juga kisah inspirasi Azida Ahmad Azmi yang berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Oxford selepas melalui pelbagai cabaran dan pengorbanan sepanjang perjalanan akademiknya.

Penerima Biasiswa Chevening itu mengakui, impian untuk mengubah kehidupan melalui pendidikan sudah lama tertanam dalam dirinya. Namun, pada awal perjalanan tersebut, dia sering berdepan rasa kurang yakin terhadap kemampuan sendiri.

“Saya memang mahu mengubah hidup melalui pendidikan sejak dari awal, tetapi ketika memulakan perjalanan ini, saya kurang yakin dengan diri dan sering tertanya-tanya sama ada saya benar-benar mampu melangkah sejauh ini atau tidak,” katanya.

Pengorbanan Ibu Jadi Pembakar Semangat

Sebagai anak tunggal, Azida membesar dengan menyaksikan sendiri kegigihan ibunya yang sanggup bekerja siang dan malam demi memastikan kehidupan mereka terus terjamin.

Ibunya berniaga burger di pasar borong pada waktu malam sebelum meneruskan pekerjaan di sebuah warung makanan pada waktu siang, hampir tanpa waktu untuk berehat. Pengorbanan itulah yang menjadi sumber inspirasi terbesar buat Azida untuk terus mengejar cita-cita.

Menurutnya, setiap peluang pendidikan yang diterima bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, sebaliknya hasil titik peluh seorang ibu yang sanggup berkorban demi masa depan anak.

“Walaupun ibu saya tidak berpeluang untuk menamatkan persekolahannya sehingga universiti, saya tetap bangga dengannya kerana membesarkan saya dan memberikan peluang pendidikan yang cukup,” ujarnya.

Bermula Di UiTM, Kini Menimba Ilmu Di Oxford

Selepas menamatkan pengajian di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Azida melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bahasa Inggeris Sebagai Komunikasi Antara Budaya di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Perjalanannya dalam dunia akademik kemudian diteruskan ke peringkat sarjana di Universiti Columbia, Amerika Syarikat dalam bidang penyelesaian konflik sebelum kini menyambung pengajian di Universiti Oxford dalam bidang Antropologi.

Menurut Azida, kejayaan melangkah ke universiti bertaraf dunia itu bukanlah hasil nasib semata-mata, sebaliknya datang daripada usaha berterusan mencari maklumat dan membina jaringan dengan individu berpengalaman.

“Saya hubungi lebih kurang 150 orang dari seluruh dunia untuk tanya secara terus macam mana proses sambung belajar di universiti seperti Columbia dan Oxford memandangkan saya tiada rujukan pada ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, proses mendapatkan maklumat tersebut mengambil masa antara enam hingga lapan bulan dengan berhubung secara konsisten bersama alumni serta individu yang berpengalaman dalam bidang akademik antarabangsa.

Malah, kerana berasal daripada keluarga yang tidak mempunyai pengalaman melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, Azida mengambil inisiatif sendiri untuk mendapatkan panduan dan nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman.

Disiplin Tinggi Kunci Kejayaan

Berkongsi rahsia mengekalkan prestasi dalam persekitaran akademik yang kompetitif, Azida berkata disiplin diri serta pengurusan masa yang baik menjadi faktor utama yang membantunya kekal konsisten.

Walaupun perlu mengimbangi komitmen akademik, kepimpinan dan pelbagai aktiviti lain, dia tetap berpegang kepada rutin harian yang tersusun termasuk menetapkan waktu tidur yang konsisten.

“Saya bangun awal setiap hari dan akan rancang jadual saya sebelum Subuh supaya saya tahu apa yang perlu disiapkan pada hari itu dan boleh kekal fokus sepanjang hari.

“Kalau kerja tidak siap pada hari itu, saya akan sambung pada keesokan hari tapi saya tetap akan ikut jadual yang saya sudah tetapkan,” katanya.

Usaha dan disiplin yang diamalkan itu turut membuahkan hasil apabila Azida pernah menerima Anugerah Kecemerlangan Dekan ketika menuntut di Universiti Columbia atas kecemerlangannya dalam bidang akademik serta kepimpinan.

Selain itu, beliau turut menganggotai Lembaga Kehakiman Columbia yang bertanggungjawab mengendalikan kes disiplin pelajar di peringkat institusi, sekali gus membuktikan kecemerlangannya bukan sahaja dalam akademik, malah dalam aspek kepimpinan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Utusan Online

Published by
Fath