Berita

Ibu Berpantang Terima PhD & Suami Pula Berjaya Sambut Master UTM, Momen Manis Kongsi Pentas Konvokesyen Bersama. Tahniah!

Share

Dalam kehidupan, setiap orang punya momen yang menjadi detik paling bermakna. Namun bagi pasangan muda ini, majlis konvokesyen mereka bukan sekadar hari meraikan kejayaan, namun ia adalah bukti bahawa cinta, ketabahan dan impian mampu berjalan seiring walau dalam apa jua keadaan.

Itulah kisah Dr. Syazwina Muhammad Khir, 28, yang masih dalam tempoh berpantang namun tetap menggagahkan diri untuk naik ke pentas menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Psikologi, di samping suaminya, Farhan Mohd. Pauzi, 27, yang turut diraikan selepas menamatkan

pengajian Sarjana Kejuruteraan Awam (Persekitaran) pada Istiadat Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pasangan ini menjadi perhatian di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai, apabila kedua-duanya berjalan naik ke pentas dalam suasana penuh emosi. Ketabahan Syazwina yang masih letih berpantang benar-benar menyentuh hati sesiapa yang melihatnya.

Berjuang Menyiapkan Tesis Ketika Awal Kehamilan

Berkongsi kembali perjalanan sukar yang pernah ditempuh, Syazwina mengakui fasa menyelesaikan pembetulan tesis bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi ketika dia baru dua bulan hamil.

“Untuk datang hari ini (kelmarin), saya akui masih penat sebab letih dan sakit berpantang masih belum hilang tapi saya tak sanggup lepaskan peluang ini.

“Ini impian saya sejak dulu, dari saya bertungkus-lumus menyiapkan tesis sampailah saat ini (menerima PhD),” katanya.

Emosi yang naik turun, alahan, dan tekanan akademik semuanya ditempuhi serentak. Namun Syazwina tidak pernah berhenti berjuang, dan hasilnya, dia berdiri megah di pentas sebagai seorang ibu muda dan pemegang PhD.

Cinta Yang Bermula Dengan Soalan Paling Berani

Farhan, anak jati Terengganu yang kini bekerja sebagai pengurus sebuah kafe di UTM, tersenyum apabila mengenang kembali bagaimana cinta mereka bermula.

Katanya, segalanya berubah selepas pertemuan ringkas pada jamuan hari raya sekitar tahun 2023.

“Tanpa skrip, tanpa ayat berbunga, Syazwina tiba-tiba melontarkan soalan yang membuat saya terpaku, dia tanya, awak nak kahwin dengan saya ke?” cerita Farhan.

Siapa sangka soalan spontan itu membawa mereka ke fasa pertunangan pada November, sebelum disatukan sebagai pasangan suami isteri pada 27 April 2024.

Bergelar Ibu Ayah Muda, Tapi Impian Tetap Menyala

Kini, dengan kehadiran cahaya mata sulung mereka, Maleek Addam, hidup pasangan ini berubah sepenuhnya. Namun satu yang tidak pernah padam adalah cita-cita.

Syazwina berhasrat meneruskan kepakaran dalam bidang psikologi, manakala Farhan pula mahu melangkah lebih jauh dalam dunia penyelidikan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: UTM News

Published by
Fath