
Baru-baru ini, seorang lelaki bernama Wong Kwok Kheong mencuri perhatian apabila inisiatif kebajikannya membantu golongan memerlukan mendapatkan peralatan perubatan tanpa perlu mengeluarkan sebarang kos. Usaha tersebut bukan sahaja meringankan beban pesakit, malah memberi peluang kepada keluarga menggunakan wang mereka untuk keperluan harian yang lain.
Memetik laporan BERNAMA, Wong (59) yang sudah kira-kira 20 tahun terlibat dalam kerja kebajikan, terdorong untuk membantu selepas menyaksikan seorang pesakit kanser muda terpaksa berbaring di lantai kerana tidak mempunyai katil yang sesuai sekitar sedekad lalu. Pengalaman itu kemudiannya membawa kepada penubuhan Persatuan Kebajikan I-Kasih pada 2016, yang menyediakan perkhidmatan pinjaman peralatan perubatan secara percuma.
“Tolong orang jangan kira bangsa. Orang Islam kita tolong, Hindu kita tolong, Cina kita tolong. Asalkan dia perlukan bantuan, kita bantu,” katanya.
Difahamkan, kini I-Kasih mempunyai kira-kira 430 katil hospital dan lebih 2,000 kerusi roda untuk dipinjamkan kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, persatuan berkenaan turut menyediakan pelbagai keperluan lain termasuk kerusi tandas, tongkat, alat bantuan berjalan, tilam udara antidekubitus serta peralatan rehabilitasi.
“Kalau dia perlu dua atau tiga tahun, pakailah. Kalau sampai 10 tahun pun tidak mengapa. Apabila sudah tidak diperlukan, pulangkan kepada kita supaya boleh diberikan kepada orang lain pula,” jelasnya lagi.
Lebih menarik, kemudahan tersebut boleh dipinjam tanpa had tempoh selagi masih diperlukan oleh pesakit. Peralatan yang dikembalikan pula akan melalui proses pembersihan, nyah kuman, pemeriksaan dan pembaikan sebelum disalurkan semula kepada penerima lain, sekaligus memastikan manfaatnya dapat diteruskan kepada lebih ramai individu.
Menurut Wong, inisiatif berkenaan sekurang-kurangnya dapat membantu keluarga menjimatkan perbelanjaan yang boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit, khususnya ketika mereka sedang berdepan kos rawatan dan keperluan harian. Antara penerima manfaat ialah Elizyana Abu Bakar yang kini berusia 48 tahun, dari Skudai, yang mengalami strok kira-kira sebulan lalu.
Suaminya, Jefry Mohd Noor (54), berkata bantuan kerusi roda, alat bantuan berjalan dan tongkat daripada I-Kasih amat bermakna buat keluarga mereka yang berdepan kekangan kewangan. Kisah Wong dan I-Kasih membuktikan bahawa satu usaha kecil yang dilakukan dengan ikhlas mampu memberi impak besar kepada kehidupan orang lain, terutama ketika mereka berada pada saat paling memerlukan.
Sumber artikel & foto: BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.