
HYROX Kuala Lumpur bakal mencipta sejarah tersendiri apabila acara kecergasan global ini secara rasmi akan diadakan di Malaysia buat pertama kali pada Disember 2026.
Kuala Lumpur telah disenaraikan sebagai salah satu destinasi utama dalam HYROX Racing Series Asia Pacific 2026, sekali gus meletakkan negara ini sebaris dengan bandar-bandar utama dunia seperti Osaka, Bangkok, Singapura, Hong Kong dan Incheon.
Kemasukan Malaysia dalam kalendar rasmi HYROX ini bukan sekadar satu pencapaian simbolik, malah menandakan perkembangan pesat komuniti kecergasan tempatan serta peningkatan minat terhadap gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ia juga mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab baharu bagi penganjuran acara sukan dan kecergasan bertaraf antarabangsa di rantau Asia Pasifik.
Pengumuman rasmi ini dibuat serentak dengan pelancaran kerjasama strategik antara AirAsia dan HYROX APAC, yang menyatukan dunia kecergasan, gaya hidup dan perjalanan.
Kerjasama ini bertujuan menghubungkan komuniti HYROX merentasi Asean dan seterusnya, dengan menekankan nilai keterangkuman, kebolehcapaian serta semangat komuniti yang menjadi teras kepada pergerakan HYROX itu sendiri.
HYROX bukan sekadar perlumbaan kecergasan biasa. Ia merupakan sukan hibrid dalam dewan yang menggabungkan larian sejauh lapan kilometer dengan lapan stesen senaman berintensiti tinggi.
Setiap peserta perlu melengkapkan larian dan cabaran fizikal secara bergilir, menjadikan HYROX satu ujian menyeluruh yang menuntut kekuatan, ketahanan fizikal serta mental yang tinggi.
Keunikan format ini menjadikan HYROX sesuai untuk pelbagai tahap atlet, daripada penggemar kecergasan biasa hinggalah atlet elit.
Melalui kerjasama strategik ini, AirAsia akan tampil sebagai Title Partner bagi dua acara utama HYROX di rantau Asia Pasifik, iaitu AirAsia HYROX Jakarta yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 7 Jun 2026, serta AirAsia HYROX Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada Disember 2026.
Selain itu, peserta HYROX terpilih bagi musim 2026 turut akan menikmati diskaun eksklusif 10 peratus penerbangan AirAsia.
Inisiatif ini dilihat sebagai usaha untuk memudahkan pergerakan atlet dan penyokong, di samping menggalakkan lebih ramai individu menyertai acara HYROX di pelbagai destinasi.
Kerjasama AirAsia dan HYROX juga merangkumi pelbagai aktivasi komuniti yang akan dilaksanakan di luar hari perlumbaan.
Antara simbol utama kerjasama ini ialah pelancaran pesawat khas dengan livery kolaborasi bertemakan “Keep Moving, Keep Rising”, yang melambangkan semangat pergerakan, kemajuan dan kuasa perjalanan dalam menyatukan komuniti kecergasan merentasi sempadan.
Inisiatif ini dijangka merancakkan lagi penglibatan komuniti tempatan melalui sesi latihan berkumpulan, acara pop-up kecergasan dan kempen kesedaran tentang kepentingan gaya hidup aktif.
Ia secara tidak langsung membantu membina ekosistem kecergasan yang lebih mampan dan inklusif di Malaysia.
Dengan tempoh persiapan sekitar 10 hingga 11 bulan sebelum acara berlangsung, kehadiran HYROX Kuala Lumpur
membuka peluang luas kepada komuniti kecergasan tempatan untuk mula membuat persediaan rapi.Gimnasium, studio kecergasan dan jurulatih profesional dijangka mula menawarkan program latihan khusus bagi membantu peserta mencapai tahap kecergasan optimum.
Bagi atlet baharu mahupun berpengalaman, acara ini memberi peluang untuk menguji kemampuan diri dalam format perlumbaan yang standard dan diiktiraf di peringkat global.
Pada masa yang sama, ia turut memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.