HYROX Kuala Lumpur bakal mencipta sejarah tersendiri apabila acara kecergasan global ini secara rasmi akan diadakan di Malaysia buat pertama kali pada Disember 2026.
Kuala Lumpur telah disenaraikan sebagai salah satu destinasi utama dalam HYROX Racing Series Asia Pacific 2026, sekali gus meletakkan negara ini sebaris dengan bandar-bandar utama dunia seperti Osaka, Bangkok, Singapura, Hong Kong dan Incheon.
Kemasukan Malaysia dalam kalendar rasmi HYROX ini bukan sekadar satu pencapaian simbolik, malah menandakan perkembangan pesat komuniti kecergasan tempatan serta peningkatan minat terhadap gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ia juga mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab baharu bagi penganjuran acara sukan dan kecergasan bertaraf antarabangsa di rantau Asia Pasifik.
Pengumuman rasmi ini dibuat serentak dengan pelancaran kerjasama strategik antara AirAsia dan HYROX APAC, yang menyatukan dunia kecergasan, gaya hidup dan perjalanan.
Kerjasama ini bertujuan menghubungkan komuniti HYROX merentasi Asean dan seterusnya, dengan menekankan nilai keterangkuman, kebolehcapaian serta semangat komuniti yang menjadi teras kepada pergerakan HYROX itu sendiri.

Apa Itu HYROX dan Mengapa Ia Begitu Popular
HYROX bukan sekadar perlumbaan kecergasan biasa. Ia merupakan sukan hibrid dalam dewan yang menggabungkan larian sejauh lapan kilometer dengan lapan stesen senaman berintensiti tinggi.
Setiap peserta perlu melengkapkan larian dan cabaran fizikal secara bergilir, menjadikan HYROX satu ujian menyeluruh yang menuntut kekuatan, ketahanan fizikal serta mental yang tinggi.
Keunikan format ini menjadikan HYROX sesuai untuk pelbagai tahap atlet, daripada penggemar kecergasan biasa hinggalah atlet elit.
Melalui kerjasama strategik ini, AirAsia akan tampil sebagai Title Partner bagi dua acara utama HYROX di rantau Asia Pasifik, iaitu AirAsia HYROX Jakarta yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 7 Jun 2026, serta AirAsia HYROX Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada Disember 2026.
Selain itu, peserta HYROX terpilih bagi musim 2026 turut akan menikmati diskaun eksklusif 10 peratus penerbangan AirAsia.
Inisiatif ini dilihat sebagai usaha untuk memudahkan pergerakan atlet dan penyokong, di samping menggalakkan lebih ramai individu menyertai acara HYROX di pelbagai destinasi.
Inisiatif Komuniti & Simbol Pergerakan Global

Kerjasama AirAsia dan HYROX juga merangkumi pelbagai aktivasi komuniti yang akan dilaksanakan di luar hari perlumbaan.
Antara simbol utama kerjasama ini ialah pelancaran pesawat khas dengan livery kolaborasi bertemakan “Keep Moving, Keep Rising”, yang melambangkan semangat pergerakan, kemajuan dan kuasa perjalanan dalam menyatukan komuniti kecergasan merentasi sempadan.
Inisiatif ini dijangka merancakkan lagi penglibatan komuniti tempatan melalui sesi latihan berkumpulan, acara pop-up kecergasan dan kempen kesedaran tentang kepentingan gaya hidup aktif.
Ia secara tidak langsung membantu membina ekosistem kecergasan yang lebih mampan dan inklusif di Malaysia.
Peluang Besar Menjelang HYROX Kuala Lumpur

Anda mungkin berminat dengan
Dengan tempoh persiapan sekitar 10 hingga 11 bulan sebelum acara berlangsung, kehadiran HYROX Kuala Lumpur membuka peluang luas kepada komuniti kecergasan tempatan untuk mula membuat persediaan rapi.
Gimnasium, studio kecergasan dan jurulatih profesional dijangka mula menawarkan program latihan khusus bagi membantu peserta mencapai tahap kecergasan optimum.
Bagi atlet baharu mahupun berpengalaman, acara ini memberi peluang untuk menguji kemampuan diri dalam format perlumbaan yang standard dan diiktiraf di peringkat global.
Pada masa yang sama, ia turut memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Tak tahu siapa yang masih lagi belum move on, Justin Bieber ataupun peminat-peminat Jelena. Semalam, selain daripada JB berjenaka April Fool dengan khabar bahawa isterinya Hailey Baldwin sedang mengandung, benar-benar mengemparkan industri hiburan Hollywood, WALAUPUN ianya hanya gurauan semata.
Post pertama merupakan gambar ultrasound seorang bayi di dalam perut, namun peminat masih ragu-ragu, kerana perut Hailey tidak sebesar bentuk bayi gambar tersebut. Malah peminat menjumpai gambar yang sama di Google. Selang beberapa minit, Justin memuat naik gambar isterinya sedang melakukan pemeriksaan dengan berkapsyen,
“If you thought it was April Fools”
Menjadikan peminat mula percaya dan mengucapkan tahniah pada pasangan muda itu. Sejam kemudian, Justin memuat naik gambar ultrasound dengan gambar anjing,
“Wait omh is that a… APRIL FOOLS”
Walaupun ada segelintir peminat yang berang, namun ada juga yang terhibur dengan gurauan tersebut.
Walaubagaimanapun, REMAJA lebih tertarik dengan posting yang dimuat naik oleh fanpage @Justinsoutfits pada 1 April dengan 10 keping gambar dalam satu post.
“Some rares/ unseen pics of Justin choose your favourite”
Selain daripada gambar JB ketika awal kemunculannya, turut terselit gambar dirinya dan cinta pertamanya Selena Gomez. Apa yang membuatkan ia menjadi hot topic, Justin Bieber LIKE post gambar tersebut. WOW!

Ini menyebabkan peminat Jelena dan Jailey berbalah di ruang komen posting tersebut, ada yang memberi ingatan kepada Hailey bahawa wanita itu mungkin memiliki nama keluarga Justin, namun hati Justin hanya milik Selena seorang.

Ada juga yang memarahi Justin kerana “like” gambar tersebut yang mencetuskan kontroversi, dan menyuruh lelaki itu move on dari bekas kekasihnya.
Ini mengingatkan kembali terhadap posting Justin bertarikh 25 Mac dengan memuat naik gambar isterinya. Seorang peminat meninggalkan komen pedas bahawa Justin tidak mencintai Hailey dan menuduh isteri penyanyi tersebut meniduri Shawn Mendes.
Terpukul dengan komen tersebut, JB membalas,
“Orang waras tidak bercakap atau berfikir dengan cara ini. Kamu harus malu dengan diri sendiri. Saya akan sentiasa sayang Selena. Kenangan bersama dia tersemat dalam satu ruang di dalam hati saya, tetapi isteri saya mengatasi segala-galanya, dia adalah perkara yang paling TERBAIK yang pernah berlaku dalam diri saya.”
Dengar tu Jelena? Rasanya, peminat dah boleh move on kot, dan biarkan Justin bersama kehidupan bahagianya bersama Hailey.
Persoalannya sekarang ni, betul ke Hailey mengandung?
∞
Impian peminat tempatan untuk menyaksikan persembahan solo penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Isyana Sarasvati, di Kuala Lumpur akhirnya tidak kesampaian apabila konsert Isyana Sarasvati Live in Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 17 Julai ini disahkan dibatalkan.
Pengumuman itu dibuat oleh pihak penganjur menerusi satu hantaran di akaun media sosial rasmi mereka.

Jualan Tiket Tidak Mencapai Sasaran
Menurut kenyataan tersebut, keputusan membatalkan konsert terpaksa dibuat selepas jualan tiket gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
Pihak penganjur mengakui keputusan itu bukan sesuatu yang diinginkan, namun keadaan semasa tidak mengizinkan acara berkenaan diteruskan seperti yang dirancang.
“Kepada semua peminat yang menantikan konsert ini, kami dengan rendah hati ingin memohon maaf kerana terpaksa membatalkannya berikut jualan tiket tidak mencapai sasaran.

“Meskipun keputusan ini amat sukar dibuat, kami berharap dapat membawa Isyana kembali ke Kuala Lumpur pada masa akan datang.
“Semua pembeli akan menerima maklumat lanjut mengenai proses pemulangan semula wang melalui emel dalam waktu terdekat.
“Terima kasih kerana memahami dan sokongan yang berterusan selama ini,” tulis mereka dalam kenyataan itu.

Isyana Sempat Promosikan Konsert & Album Baharu
Terdahulu, Isyana sempat berkunjung ke Kuala Lumpur kira-kira dua minggu lalu bagi menghadiri acara promosi konsert berkenaan.
Penyanyi itu turut meluahkan rasa teruja untuk kembali bertemu peminat di Malaysia selepas kali terakhir mengadakan persembahan di ibu negara pada tahun 2023.
Selain mempromosikan konsert, kunjungan tersebut juga bersempena pelancaran album terbaharunya yang berjudul Eklektiko.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Penyanyi dan komposer terkenal, Noh Salleh, baru-baru ini mencuri perhatian apabila berkongsi pengalaman selepas selamat menjalani satu pembedahan tulang belakang selepas dimasukkan ke Hospital UKM Specialist Centre (HUKMSC) susulan masalah kesihatan yang dialaminya sejak beberapa ketika lalu.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, vokalis kumpulan Hujan itu memaklumkan pembedahan berkenaan dilakukan pada 19 Januari lalu bagi menangani masalah tulang belakang di bahagian tengkuk melibatkan C6 dan C7 yang mengakibatkan tekanan saraf.

Menurut Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh (41), keadaan tersebut menyebabkan beliau mengalami kebas pada tangan serta sakit belakang kronik sehingga menjejaskan rutin harian, termasuk kesukaran untuk mengangkat anaknya.
“Masalah tulang belakang bahagian tengkuk C6 & C7 yang menyebabkan nerve impingement, tangan kebas dan sakit belakang kronik sampai ganggu nak angkat baby Tara,” tulisnya menerusi perkongsian yang sama.

Jelas beliau, pembedahan tersebut telah dikendalikan oleh pakar bedah, Prof. Dato’ Dr. Mohd Hisam Muhamad Ariffin dan disahkan berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi serius. Namun, Noh mengakui pembedahan tersebut mempunyai risiko tersendiri memandangkan lokasi pembedahan berada berhampiran pita suara yang menjadi sumber rezekinya sebagai seorang penyanyi.
“Yang buat tak best adalah lokasi surgery betul-betul di belakang vocal cords aku risiko besar pada organ yang jadi punca rezeki aku,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau meluahkan rasa syukur apabila segalanya berjalan dengan baik dan memohon doa orang ramai agar proses pemulihannya dipermudahkan, meskipun mengakui sedikit kebimbangan kerana mempunyai persembahan yang dijadualkan dalam masa terdekat.
“Tapi Allah jaga. Alhamdulillah. Mohon kawan-kawan doakan semua agar proses sembuh dipermudahkan dan kembali normal secepat mungkin. Risau? Ya. Sebab ada show Sabtu ini,” jelas Noh lagi.
Pada masa yang sama, Noh turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga, rakan-rakan, anggota kumpulan Hujan serta kakitangan HUKMSC yang telah memberikan sokongan dan penjagaan sepanjang tempoh beliau menerima rawatan.
Sementara itu, di ruangan komen perkongsian tersebut turut dibanjiri dengan ucapan doa dan kata-kata semangat daripada para peminat serta rakan selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ari Lesmana, Pamungkas, Aina Abdul, Akim Ahmad dan ramai lagi yang mendoakan agar Noh diberikan kesembuhan segera. Rata-rata daripada mereka turut menasihati penyanyi itu supaya berehat secukupnya dan mengutamakan kesihatan sebelum kembali aktif dalam dunia seni.
Sumber: Instagram Noh Salleh
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞