Gaya Hidup

“Ini Antara Keputusan Terbaik…” Dr Say Shazril & Isteri Cipta Rekod Pasangan Terpantas HYROX Malaysia Di Jakarta

Share

Pasangan suami isteri yang juga dikenali sebagai antara duo paling cergas di negara ini, Dr Say Shazril dan Dr Azura Abas, baru-baru ini mencuri perhatian apabila berjaya mencipta rekod sebagai pasangan terpantas HYROX di Malaysia selepas penyertaan terbaharu mereka di Jakarta mendapat perhatian di media sosial.

Menerusi sebuah perkongsian di Instagram, Dr. Say menceritakan perjalanan mereka sebagai pasangan suami isteri yang aktif dalam sukan berintensiti tinggi itu sejak tahun lalu.

Menurutnya, mereka memulakan penyertaan HYROX pada 28 Jun 2025 di Singapura sebelum kembali bersaing setahun kemudian dalam kategori Mixed Doubles di Jakarta, Indonesia dengan peningkatan prestasi yang ketara.

Dalam perkongsian yang sama, beliau turut meluahkan rasa puas hati terhadap perkembangan mereka sebagai pasangan atlet amatur yang kini mencatat masa 1:08:44 iaitu lebih baik berbanding penyertaan awal.

“Keputusan terbaik yang pernah kami buat bila ceburi sukan/lumba ni,” tulisnya.

BACA: Hariz Hamdan & Thompson Goh Tak Mengalah, Berjaya Tamatkan Hyrox Walaupun Alami Kekejangan

Sementara itu, menerusi temubual bersama Maskulin, Dr. Say berkongsi bahawa aspek koordinasi bersama pasangan menjadi antara cabaran paling ketara ketika mereka bertanding, khususnya dalam disiplin larian yang memerlukan masa dan ritma yang sangat tepat. 

“Cabaran terbesar ialah bahagian larian sebab kemampuan larian kami berbeza. Selalunya bila berlari saya akan berada di depan kerana isteri jenis suka mengejar. Pada masa sama kami tak boleh berjauhan lebih daripada 10 saat, kalau tidak akan dikenakan penalti”

Tambahnya, walaupun mereka sudah semakin serasi sebagai satu pasukan, tekanan tetap hadir setiap kali bertanding kerana masing-masing mempunyai sifat yang sangat kompetitif serta meletakkan sasaran untuk sentiasa memperbaiki pencapaian terdahulu, bukan sekadar menamatkan perlumbaan.

“Terus terang, ya. Kami memang lebih stres sebab kedua-dua kami sangat kompetitif. Mindset kami setiap kali berlumba ialah mesti lebih baik daripada perlumbaan sebelumnya,” jelasnya.

Menariknya, pasangan ini bagaimanapun melihat HYROX bukan sekadar sukan, tetapi juga sebagai medium untuk mengeratkan hubungan serta mengekalkan gaya hidup sihat bersama, selain terus mencabar had kemampuan diri dalam setiap penyertaan. 

Kejayaan ini menjadi lebih manis sekali lagi apabila mereka bukan sahaja mencipta rekod sebagai pasukan Mixed Relay Malaysia terpantas dengan catatan 1:01:04, tetapi turut berjaya merangkul tempat kedua keseluruhan bersama satu lagi pasangan iaitu Faisal Lee dan Zaireen Iskandar pada hari berikutnya, sekaligus mengukuhkan lagi pencapaian cemerlang mereka dalam pembukaan musim HYROX 2026/2027.

Sumber: Instagram Dr. Say

& Maskulin

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE