
Penyanyi terkenal, Jungkook BTS sekali lagi mencuri perhatian penggemar di media sosial apabila diangkat sebagai penerima pertama program pengiktirafan penderma baru, Hope Bridge Honors Legacy. Pengiktirafan ini diumumkan selepas beliau menyumbang 1 bilion Korea Won bagi membantu mangsa kebakaran hutan besar yang melanda beberapa kawasan di Korea Selatan awal tahun 2025.
Difahamkan, program Honors Legacy dilancarkan sebagai platform mengenali individu yang menyumbang lebih 1 bilion Korea Won ketika kecemasan negara. Pada masa yang sama, Hope Bridge menjelaskan bahawa inisiatif tersebut diwujudkan untuk mengukuhkan usaha kesiapsiagaan bencana jangka panjang Korea selain menjadi simbol solidariti sosial.
Jungkook atau nama sebenar beliau Jeon Jungkook (28) dipilih sebagai penerima sulung berikutan rekod yang konsisten dalam kerja-kerja kebajikan sejak debut pada 2013. Ketika menjalani perkhidmatan ketenteraan pada Mac 2025, beliau tampil menghulurkan sumbangan besar itu bagi membantu penduduk Ulsan, Gyeongbuk dan Gyeongnam yang terjejas teruk akibat kebakaran hutan. Ia turut direkodkan sebagai antara sumbangan selebriti terbesar dalam situasi bencana di Korea.
Memetik laporan terdahulu, daripada sumbangan 1 bilion Korea Won tersebut, sebanyak 500 juta Korea Won telah disalurkan kepada bantuan kecemasan termasuk sokongan kepada mangsa yang kehilangan kediaman. Baki 500 juta Korea Won pula digunakan untuk penyediaan peralatan respons kebakaran hutan, makanan kepada pasukan bomba serta kit kecemasan yang mengandungi 14 item penting untuk petugas di lokasi bencana.
Menerusi sebuah kenyataan, pelantun lagu ‘SE7EN’ dan ‘3D’ itu menegaskan tujuan sebenar beliau adalah memastikan bantuan dapat disampaikan secepat mungkin kepada pihak yang memerlukan.
“Menderma bukan tentang sesuatu (jumlah) yang besar, ia tentang langkah kecil untuk jadikan dunia sedikit lebih selamat. Saya berharap program Hope Bridge Honors Legacy ini menjadi peluang untuk menyebarkan mesej tentang perkongsian di seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, pengumuman berkenaan segera mendapat perhatian komuniti global dan para peminat terutama BTS ARMY yang memuji keikhlasan serta konsistensi Jungkook dalam aktiviti kebajikan. Salah seorang peminat turut menyifatkan idola K-Pop tersebut sebagai ‘legenda’ kerana sentiasa memberi inspirasi dengan hati yang bersih dan niat yang baik.
Di samping itu, Hope Bridge dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa pelancaran program Honors Legacy datang pada waktu Korea berdepan krisis bencana yang semakin kompleks akibat perubahan iklim. Program itu juga menghimpunkan penderma utama termasuk tokoh korporat, selebriti dan atlet bagi menyokong polisi pengurusan bencana serta memperkukuh ketahanan masyarakat.
Apa yang lebih membanggakan, jumlah sumbangan Jungkook turut menyamai sumbangan syarikat gergasi seperti Naver, Kakao, Lotte dan beberapa kumpulan kewangan utama, menjadikan beliau satu-satunya individu yang berdiri setaraf dengan penyumbang korporat dalam kategori tersebut. Kedudukan ini mengukuhkan lagi imej Jungkook sebagai figura berpengaruh bukan sahaja dalam industri hiburan, tetapi juga dalam usaha kemanusiaan global.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.