Finalis Pencarian Hero Remaja yang berasal dari Perak ini merupakan seorang penggiat teater yang cukup aktif. Kepetahannya bercakap dan memberikan pelbagai reaksi menjadi antara faktor utama dia berjaya menjadi Finalis Pencarian Hero Remaja. Sejauh manakah bidang tetaer ini mampu membawa Razman Mahayuddin ke bidang seni yang lebih glamor?

Sejak bila Razman mula berjinak-jinak dengan dunia teater?
Ia bermula dengan abah saya. Tanpa dia saya tidak akan mengenali dunia seni yang cukup hebat ini. Ketika muda dahulu, abah banyak terlibat dengan teater terutama di sekitar negeri Perak. Dulu dia dikenali dengan nama Amel Amri. Tapi kegiatan aktifnya dalam dunia teater tidak lama kerana selepas itu menyertai perkhidmatan polis. Saya ada tujuh orang beradik. Abang dan kakak saya  sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan pelbagai aktiviti seni terutamanya teater oleh abah. Jadi sejak kecil saya membesar dalam environment seni begini.

Finalis Pencarian Hero Remaja 2017, Razman Mahayuddin Bawa Jiwa Teater Untuk Karier Seninya
Bagaimana pula dengan Razman?
Walaupun abah dan adik-beradik saya aktif dengan kegiatan seni ketika mereka remaja, saya pula amat berbeza sekali. Tidak dinafikan dulu saya dulu langsung tak berminat dengan teater. Saya cuma aktif dengan kegiatan bahas, pidato dan persembahan vokal yang lain ketika di sekolah. Apatah lagi saya merupakan pelajar jurusan sains tulen yang bercita-cita nak jadi jurutera. Tapi itu cerita lamalah.

Jadi memang sejak dulu memang tidak ada cita-cita nak menjadi anak teater?
Dulu biasalah, cita-cita memang gempak. Seperti yang saya katakan, sebagai pelajar sains tulen saya dulu pasang cita-cita nak jadi jurutera. Tapi lama-kelamaan saya rasa ia tidak serasi dengan saya. Tamat sahaja SPM saya terpaksa ikut keluarga berpindah dari Grik ke Ipoh. Pasa masa itu saya agak marah jugalah sebab kena pindah tempat baru yang langsung saya tak biasa. Tapi bila di Ipoh abah jadi aktif balik dengan dunia teater. Dia ajak saya sama, jadi sebab takde kawan saya join sama. Jadi di situlah saya mula berjinak dengan teater.

IKLAN

Badan teater mana yang Razman sertai?
Saya banyak terlibat dengan kegiatan teater Akademi Teater Perak. Pada tahun 2013 mereka ada buat casting. Saya sajalah cuba tapi tak sangka pula dapat. Pada masa sama saya dapat tawaran belajar di UiTM di Skudai. Tapi saya nekad untuk memasuki Akademi Teater Perak. Tapi saya letakkan sasaran untuk menjadi antara pelajar terbaik. Alhamdulillah, pada pertandingan yang dianjurkan saya mendapat tempat ketiga. Dunia teater telah berjaya buka satu dimensi baru buat saya.

Apakah istimewanya teater?
Sejak mula aktif dengan teater saya telah bawakan pelbagai jenis watak: tidak kiralah watak sampingan atau watak utama. Suatu hari saya dapat tawaran untuk menjadi pelakon pembantu dalam sebuah drama bertajuk Ada Apa Dengan Bus Stop. Jadi bila berlakon saya terbawa-bawa dengan corak lakonan teater. Dari situ saya dapati ia sangat berbeza. Lakonan teater ruang jiwanya lebih besar dan kita pun akan dapat reaksi serta-merta. Berbeza berlakon depan kamera hanya dapat reaksi pengarah dan krew. Kepuasaannya berlakon dalam teater bukanlah lebih baik tetapi ia jauh lebih berbeza. Perasaannya tidak sama.

Finalis Pencarian Hero Remaja 2017, Razman Mahayuddin Bawa Jiwa Teater Untuk Karier Seninya

IKLAN

Adakah sekarang Razman masih aktif? 
Ya, saya masih lagi aktif. Terbaru saya terlibat dengan pementasan teater bertajuk Kelentong. Ia merupakan teater produksi bersama Studio Permata, badan teater di Perak. Buat masa ini, saya ingin tumpukan perhatian dahulu dengan dunia teater di Perak. Harapnya sedikit sebanyak saya mampu menaikkan scene tetaer di sinni. Saya juga mengadakan kelas teater secara mingguan bersama Studio Permata. Dan apa yang paling istimewa kelas ini adalah percuma untuk semua orang. Saya anjurkan kelas sebegini setiap hari Rabu dan hujung minggu. Kadang-kadang, saya buat sahaja tidak kira masa. Malah, saya juga kerap anjurkan kelas teater di padang polo di Perak.

Kenangan paling best sepanjang aktif berteater?
Bila saya berjaya hasilkan skrip pertama MIsteri Teratak Mona. Kepuasan itu tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Saya tulis dan arahkannya sendiri. Ia merupakan pengalaman yang cukup mencabar . Melihat reaksi penonton juga memberikan kepuasan yang cukup memuaskan hati saya yang masih kerdil dalam dunia seni ini. Semoga platform Hero Remaja ini dapat membantu saya untuk terus menjadi anak seni pada masa hadapan.

IKLAN

Siapakah idola kamu dalam dunia teater?
Saya cukup mengagumi Namron, Fauziah Nawi dan Beto Kusairi. Mereka bertiga telah membutikan bahawa anak teater mampu sesuaikan diri dengan dunia lakonan glamor. Dan yang paling penting mereka kini dikenali seagai pelakon berkualiti yang memenangi pelbagai anugerah drama serta filem.

Jangan lupa untuk terus mengundi Razman Mahayuddin sebagai Hero Favourite di www.remaja.my/vote

 

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI