Umur Baru 10 Tahun, Hayla Dah Ada Kedai Sendiri Lepas Jualan Cecah RM100k

Share

Pelakon terkenal, Wawa Zainal, meluahkan rasa syukur apabila perniagaan anak keduanya, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, berjaya mencatat jualan mencecah RM100,000 dalam tempoh kurang sebulan. Lebih istimewa, pencapaian luar biasa ini diraikan bersempena ulang tahun kelahiran Hayla yang ke-10 baru-baru ini.

Menurut Wawa, kejayaan Hayla cukup membanggakan kerana pada usia yang masih kecil, dia sudah mampu menguruskan bisnes sendiri. “Kami hadiahkan kedai untuk Hayla supaya dia lebih fokus. Selepas ini, kami juga akan ambil pekerja untuk bantu uruskan perniagaan,” kongsinya penuh semangat.

Difahamkan, kedai berkenaan bakal beroperasi di Seksyen 5, Bangi, sekali gus menjadi langkah besar buat Hayla untuk lebih serius dalam dunia perniagaan. Bukan itu sahaja, Hayla juga menerima hadiah wang tunai bernilai RM3,000 daripada ibu bapanya. Menariknya, gadis kecil ini berniat menggunakan sebahagian wang tersebut untuk membantu golongan yang memerlukan.

Sikap Hayla yang pemurah ini jelas mencerminkan didikan ibu bapa yang penuh dengan nilai murni. Wawa sendiri turut mendoakan agar anak perempuannya itu membesar sebagai anak solehah, beradab, serta terus menjadi kebanggaan keluarga.

Untuk rekod, Wawa Zainal dan suaminya, pelakon Aeril Zafrel, mendirikan rumah tangga pada tahun 2013 dan kini dikurniakan empat orang cahaya mata.

Kisah Hayla ini membuktikan bahawa umur bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan. Malah, remaja di luar sana boleh menjadikan semangat dan keberanian Hayla sebagai inspirasi untuk berani bermimpi besar dan berusaha merealisasikan impian.

SUMBER : mStar Online

Published by
Nana