
Penyanyi bersuara lunak, Shila Amzah sekali lagi membanggakan Malaysia apabila wajah dan pencapaiannya dalam industri muzik terpampang di pameran berprestij World Expo Osaka 2025 yang berlangsung di Pulau Yumeshima, Jepun.
Menariknya, penyanyi lagu Patah Seribu itu sendiri tidak tahu mengenai perkara tersebut sehinggalah dia terlihat perkongsian daripada seorang pengguna di platform X (dahulunya Twitter).
“Sejujurnya, saya hanya menyedari wajah dan pencapaian terpampang di sebuah ekspo bertaraf dunia selepas terbaca dan terlihat perkongsian pengguna akaun X,” ujar Shila ketika ditemui media.
ARTIKEL BERKAITAN: #AJL39 “Macam Dah Boleh Naikkan Duit ‘Grand Prize’..” -Shila Amzah Komen Nilai Hadiah Pemenang AJL
Bagi Shila, dipilih untuk ditampilkan di ekspo yang disertai ribuan pengunjung dari seluruh dunia memang sesuatu yang membanggakan. Namun, katanya, dia tidak pernah sesekali mahu mendabik dada.
“Bagi saya, apa sahaja perkara baik ditulis tidak kira di Malaysia mahupun luar negara amatlah saya hargai. Saya bekerja keras bukan sahaja untuk diri sendiri, tapi demi mengharumkan nama negara, jadi pastinya saya sangat bersyukur.
“Bagaimanapun saya enggan meninggi diri. Apabila kita sudah cukup berusaha dan doa, kemudian datangnya rezeki sebegini tentulah saya merasa sangat bangga,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Shila Amzah Kongsi Wajah Anak Perempuannya -“Fotostat Papa Dia, Maaf Shila Cuba Lagi Tahun Depan”
Nama Shila menjadi antara kebanggaan negara apabila tersenarai sebagai wakil Malaysia dalam bidang hiburan di ekspo berkenaan, yang berlangsung selama enam bulan dari 13 April hingga 13 Oktober tahun ini.
World Expo Osaka 2025 kali ini menghimpunkan 160 negara dan wilayah yang mempamerkan keunikan teknologi, budaya dan kulinari masing-masing di bawah tema ‘Merangka Masyarakat Masa Depan untuk Kehidupan’.
Acara ini juga menandakan kali kedua Osaka menjadi tuan rumah selepas kali pertama pada tahun 1970, dan dianggarkan menerima kehadiran seramai 28 juta pengunjung dari seluruh dunia.
Shila menzahirkan rasa terima kasih kepada para peminat tanah air yang terus menyokong dan menghargai kerjaya seninya. Malah, ada peminat yang mencadangkan agar Shila diberikan pengiktirafan lebih tinggi di peringkat nasional.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.