Bagi majoriti rakyat Malaysia, tarikh 16 September pada hari ini hanyalah merupakan satu lagi hari cuti kebangsaan yang diambil bagi memperingati pembentukan negara Malaysia pada tahun 1963.
Namun, adakah mereka benar-benar mengambil semangat di sebalik gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada tarikh ini 58 tahun lalu atau sekadar menikmati masa terluang pada hari cuti ini untuk merehatkan diri serta minda?
Bagi enam orang pelajar sekolah menengah ini, mereka sesungguhnya telah menggunakan hari ini sebagai momen terbaik untuk meluahkan rasa cinta kepada Malaysia dengan meluahkan pandangan serta skil penyampaian mereka menerusi pertandingan Pengucapan Awam bersempena kempen ‘Saya #RemajaMalaysia’.
Bagi anda yang telah mengikuti perjalanan kempen ini, tentunya ada tahu bahawa ia adalah satu inisiatif oleh syarikat Nu Ideaktiv Sdn Bhd menerusi Majalah Remaja dengan kerjasama rakan strategik, Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Setelah pertandingan ini membuka peluang bagi pelajar sekolah menengah yang berada di Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 untuk menghantarkan penyertaan mereka secara atas talian ke laman web Majalah Remaja sepanjang bulan kemerdekaan lalu, akhirnya hanya enam orang peserta saja dipilih sebagai finalis. Dengan itu, mereka mempersiapkan diri untuk berentap secara maya bermula jam 11 pagi tadi dalam satu segmen yang diacarakan oleh pelakon, pengacara dan Dewi Remaja 2019 iaitu Shaza Bae.
Enam pelajar sekolah tersebut terdiri daripada (mengikut giliran penyampaian) Ainea Batrisyia Binti Sulaiman (15 tahun, Kolej Tunku Kurshiah), Muhammad Aniq Aqil Bin Roslan (17 tahun, Sekolah Agama Menengah Paya Jaras), Nur Yasmin Binti Hanafi(15 tahun, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz : SMISTA MAIWP), As Afibie Chai Binti Chai Ming Fook @ Abu Bakar Abdullah (17 tahun, SMK Pusat Bandar Puchong 1), Hanis Hamizan Bin Muhammad Rahfee (17 tahun, SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara) dan Nur Adriana Muzfirah Binti Muzamzul Zamani (16 tahun, Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah).
Dalam masa lima minit saja, setiap peserta telah diminta untuk mempersembahkan pengucapan awam dengan tajuk berbeza mengikut undian. Pelbagai topik telah dikupas dengan cukup cemerlang dan bernas oleh para peserta.
Persembahan mereka itu kemudiannya telah diadili oleh tiga juri yang dilantik. Mereka terdiri daripada Pengurus Bahagian Jualan dan Pemasaran di syarikat SP Setia Berhad dan bekas pendebat UiTM iaitu Encik Muhammad Hariri Bin Zolkifli; Perancang Bahasa, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dari Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia iaitu EncikRusdi Abd Rahman dan pelakon serta pengacara, Uyaina Arshad.
Berikut merupakan sebahagian daripada intipati menarik daripada setiap penyampaian tersebut.
“Adakah cukup sekadar menuturkan bahasa Melayu tercinta tetapi tidak dihayati bersama? Jikalau hati dan jiwa masih prejudis, terhadap keagungan bahasa Melayu yang suci nilai? Tepuk dada, tanya selera. Salam satu bahasa, keluarga Malaysia.” – Bahasa Penyatu Bangsa oleh Aiena Batrisyia
“Sekiranya kita kehilangan salah satu elemen ini, kita akan kehilangan tamadun. Penemuan sains Thomas Edison, Ibnu Sina hatta teori Albert Einstein jika tidak dirakam sejarah, maka tidak akan berkembang ilmu dan teknologi pada hari ini. Sejarah turut memberi panduan kepada manusia untuk membuat ciptaan dan penemuan lanjutan.” – Sejarah Atau Sains, Mana Lebih Penting? oleh Aniq Aqil
“Pembelajaran atas talian ini sebenarnya mampu menghasilkan seseorang yang mempunyai kemahiran pembelajaran sepanjang hayat atau live long learning. Disebabkan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita diberi peluang untuk mengasah kemahiran ini yang amat penting untuk kekal bermandiri pada abad ini. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.” – Kualiti Pendidikan Negara Ketika Pandemik COVID-19 oleh Nur Yasmin
“Golongan muda yang celik IT mampu menarik lebih ramai remaja untuk terlibat dalam program-program alam sekitar. Contohnya seperti kempen-kempen yang dilancar oleh kerajaan, NGO dan persendirian akan mendapat maklum balas yang baik daripada golongan remaja. Program seperti 3R contohnya perlu disebar luas bukan saja dalam komuniti tetapi bermula seawal sekolah rendah. Sekian, salam kehijauan.” – Kesinambungan Alam & Pembangunan Malaysia oleh As Afibie Chai
“Sewajarnya di Malaysia, kita telah meletakkan standard pada kualiti barangan tempatan yang mematuhi piawaian SIRIM sebagai bukti produk tempatan juga bermutu tinggi. Hal ini juga menjadi lambang kemegahan bahawa barangan buatan Malaysia setanding dengan negara membangun dan sesetengahnya lebih baik daripada barangan import.” – Sokong Barangan Buatan Malaysia oleh Hanis Hamizan
“Kalau kita tenung dan pandang dari sudut positif, (norma baharu untuk duduk di rumah) sebenarnya memberikan kita peluang sebagai rakyat Malaysia, anak, ibu, ayah dan manusia untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Saya tahu ada yang keluarga duduk nun jauh di Malaysia. Bersyukurlah kita duduk di Malaysia, sebuah negara yang berteknologi untuk kita hubungi mereka walaupun dari jarak jauh. Mobiliti manusia yang perlahan memberi peluang kepada alam sekitar untuk ‘beristirehat daripada dibanjiri manusia.” – Hubungan Sosial Di Era Norma Baharu oleh Adriana Muzfirah
*
Ini baru sedikit, banyak lagi poin menarik yang telah sempat dikupas oleh mereka berenam.
Masing-masing mempunyai kelebihan daripada segi intelek yang pantas, lidah yang petas, personaliti penuh keletah dan tentunya keyakinan yang cukup tinggi untuk berada di hadapan skrin dan berucap di hadapan orang ramai terutamanya para juri biarpun secara maya.
Ads
Namun, adat pertandingan lah; akan ada yang dinobatkan sebagai juara manakala peserta lain berada pada posisi seterusnya.
Penganjuran pertandingan Pengucapan Awam pertama oleh Majalah Remaja hari ini telah menobatkan pelajar dari Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembila iaitu adik Aiena Batrisyia sebagai juarapada hari ini.
Biarpun tampil sebagai peserta pertama untuk melakukan persembahan, Aiena jelas amat bersedia dengan poin yang disimpan serta riak gaya serta wajah yang amat kena dengan topik yang dibualkannya. Pada usia 15 tahun, jelas Aiena berbakat besar untuk pergi lebih jauh dalam bidang akademik dan aktiviti luar kelas seperti ini.
Tempat keduapula disambar oleh Nur Adriana Muzfirah daripada Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah manakala Nur Yasmin dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz : SMISTA MAIWP cemerlang di tempat ketiga.
Ucapan syabas juga wajar diserahkan buat As Afibie Chai (SMK Pusat Bandar Puchong 1), Hanis Hamizan (SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara) dan Muhammad Aniq Aqil(Sekolah Agama Menengah Paya Jaras) yang turut memberikan saingan sengit kepada peserta lain.
Dengan ini, berakhirlah kempen ‘Saya #RemajaMalaysia’ yang dibawakan oleh Majalah Remaja pada tahun ini. Sebulan setengah kami melaungkan kata-kata semangat memuji negara dan memahat rasa patriotik dalam diri masing-masing untuk disemai bersama remaja seperti anda. Jangan ditolak ke tepi semua itu.
Seharusnya sebagai seorang remaja Malaysia, kita harus sentiasa berbangga dengan jati diri kita sendiri. Jika bukan kita yang menutur bahasa kebangsaan, melawat tempat-tempat menarik di dalam negara, menyokong barangan buatan Malaysia mahupun mengharumkan negara tercinta di peringkat antarabangsa; siapa lagi?
*
Jom tonton semula acara penuh pertandingan Pengucapan Awam ‘Saya #RemajaMalaysia’ di bawah :
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Lambakan trend tarian K-Pop di media sosial kini sama sekali tidak memadamkan api semangat pempengaruh terkenal,Farees Asridalam memartabatkan seni budaya warisan Melayu merentasi pelbagai platform media sosial. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023, Farees Asri.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gayaFZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teksADRIANA SYAURAH jurufotoAKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan & dandanan CHE WAN persalinanSUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Farees, 25 enggan membuang garam ke laut. Sewaktu ditemui pada sesi penggambaran hari itu, jejaka tinggi lampai ini percaya bahawa setiap individu berperanan memupuk anak bangsa agar menghargai budaya warisan nenek moyang dan tidak seharusnya dipandang enteng begitu sahaja.
Farees mula dikenali di platform Tiktok dek kerana video-video tarian tradisionalnya dengan kanak-kanak pada tahun 2019. Akui Farees, keunikan tariannya yang dicampur dengan tarian moden dan tradisional berjaya menarik minat warganet yang turut menggelarnya sebagai “Cikgu Kacak”.
Niat awalnya hanya sekadar untuk merakamkan kenangan bersama anak murid. Namun ia bertukar menjadi sumber kewangan apabila bilangan pengikut di media sosial mula meningkat. Dalam tempoh empat tahun, pempengaruh dan jurutari ini terus giat berkongsi video klip dirinya menari bersama rakan dan anak didik demi mempromosikan lagi keindahan seni tari tradisional secara meluas.
Titik Mula
Bermula dari usia semuda 5 tahun, Farees mengorak langkahnya untuk mempelajari seni tarian tradisional dan menyertai pelbagai pertandingan di peringkat dalam dan luar negara.
Sokongan keluarganya tanpa jemu selama ini menjadi pembakar semangat untuk kekal aktif menyumbang masa dan tenaganya kepada industri seni tari kebudayaan Malaysia.
“Dari kecil, ayah sudah menyedari minat saya lebih ke arah bidang tarian. Bahkan kalau ada sebarang pertandingan, mereka sekeluarga akan turun padang memberi sokongan kepada saya sejak dari bangku sekolah rendah,” jelasnya.
Menyelusuri perjalanan insan ini beralih dari seorang penari kepada koreografer, dirinya mula mengasah bakat menjadi guru tari pada usia 19 tahun. Ketika itu, Farees yang sedang melanjutkan pelajaran di UiTM Kampus Puncak Perdana dalam bidang pengurusan industri kreatif telah dihubungi oleh pihak sekolah untuk mengajar seni tarian tradisional kepada murid mereka.
“Sejak 2019, saya beralih kepada dunia koreografi danmenghantar anak murid ke pertandingan tarian tradisional. Alhamdulillah, mereka berjaya meraih tempat pertama selaku juara peringkat negeri selama lima tahun berturut-turut,” ujanya lagi.
Begitupun, Farees enggan dikenali hanya sebagai seorang penari lantas turut bergiat aktif sebagai seorang model dan pelakon iklan buat masa sekarang. Jelas kembar kepada naib juara Hero Remaja 2017 itu lagi, dia dan kembarnya Farhan Asri sangat berbeza dari segi minat dan personaliti.
“Saya dengan Farhan sangat berbeza. Dia lebih fokus kepada bidang sukan manakala saya lebih berminat dengan bidang kebudayaan. Bahkan kalau di bangku sekolah dahulu, Farhan selalu naik pentas kerana pencapaiannya dalam bidang sukan. Manakala saya pula naik pentas disebabkan pencapaian persembahan tarian ataupun menyandang anugerah pemenang nyanyian solo.
Demi Anak Bangsa
Demi mendidik anak bangsa, Farees kini berkhidmat sebagai guru tarian di Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin dan selalu berkongsi di media sosial momen-momen kelas bersama para penari cilik di sana mengenai keindahan seni tarian budaya.
Selaku koreografer, dia berjaya melakar sejarah dan momen indah buat anak didiknya apabila kumpulan tarian yang diketuainya memenangi pelbagai anugerah dalam Pertandingan Tarian dan Kombo Sekolah-Sekolah Menengah dan Rendah Peringkat Negeri Sembilan.
Antara piala yang dibolot mereka ialah Johan Kategori Sekolah Rendah, Anugerah Koreografi Terbaik Sekolah Rendah, Penari Terbaik Sekolah Rendah, Naik Johan Kategori Sekolah Menengah dan Anugerah Penari Perempuan Terbaik Sekolah Menengah.
Turut tidak dilupakan, insan berbakat ini aktif sebagai salah seorang penari tradisional utama kumpulan Nyala Dance Theatre di bawah naungan Khairulazhar Mokhtar.
Tradisional vs K-pop
Lambakan trend tarian K-Pop di media sosial pada zaman ini tidak dinafikan menjadi ikutan ramai. Biarpun mungkin ada segelintir masyarakat memandang seorang terhadap tarian tradisional malah melabelnya sebagai budaya kolot yang telah ditelan zaman, Fareesyang mempunyai 300,000 orang pengikut di laman TikTok tidak mudah terbuai dengan persepsi kurang enak itu. Malah, dia percaya bahawa generasi muda kini perlahan-lahan akan gemar memartabatkan budaya sendiri berbanding budaya luar sekiranya diberikan pendedahan menerusi platform meluas seperti media sosial.
“Saya tidak menyalahkan mereka. Kita ambil situasi ini sebagai cabaran. Saya merasakan kekurangan figura penyanyi yang sinonim dengan imej budaya tradisional menjadi salah satu faktor mengapa orang muda kini lebih memilih dunia rancak K-Pop berbanding kelembutan dan lenggok budaya tradisional kita sendiri,” jelasnya lagi.
Saya #RemajaMalaysia
‘Biar mati anak, jangan mati adat’
Itulah yang ditekankan oleh Farees kepada generasi muda zaman kini. Menyedari kekurangan bakat baru dalam industri seni tari kebudayaan percaya bahawa Saya #RemajaMalaysia merupakan inisiatif terbaik agar definisi anak muda yang menyedari tanggungjawab mereka sebagai pelapis seni budaya Malaysia.
“Generasi muda zaman sekarang perlu lebih aktif dalam memartabatkan seni budaya warisan nenek moyang kita. Mereka adalah insan penting yang seharusnya membangunkan lagi industri seni kebudayaan. Kalau bukan kita sendiri, siapa lagi?” simpulnya.
Update terkinitentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pemain boling remaja negara, Adelia Nur Irwan Syazalee berhasrat untuk mempertahankan gelaran terbuka wanita pada Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Stars Bawah 22 Tahun (B22) 2024 di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid baru-baru ini.
Pemain berusia 17 tahun, yang menewaskan wakil Singapura Althea Dang 227-204, 264-207 pada perlawanan akhir tahun lepas berazam untuk mengulangi kejayaan itu apabila edisi ke-24 berlangsung dari 4 hingga 15 Disember ini.
“Terdapat ramai pencabar hebat yang kembali beraksi tahun ini. Jadi mereka tahu permainan saya, dan saya juga tahu permainan mereka, tetapi saya akan menggunakannya sebagai satu kelebihan kepada saya, ditambah dengan pengalaman yang dipelajari daripada jurulatih dan rakan sepasukan saya untuk mengekalkan gelaran berkenaan,” katanya pada sidang media semalam.
Meskipun sibuk membuat persiapan untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai bulan depan hingga awal tahun, Adelia optimis kejohanan itu tidak akan menghalangnya daripada memperoleh keputusan cemerlang.
“Kedua-duanya, kejohanan dan SPM, adalah sukar dan sangat mencabar, tetapi saya boleh mengatasinya dengan baik. Saya akan pergi ke sekolah pada waktu pagi dan meneruskan sesi latihan pada waktu petang”
“SPM adalah peperiksaan yang sangat penting, tetapi saya rasa, dengan sokongan daripada ibu bapa, jurulatih dan rakan sepasukan, saya boleh melakukannya. Saya akan cuba yang terbaik untuk berjaya dalam kedua-duanya,” tambahnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Sunway Megalanes Tan Yoke Chiang berkata kejohanan itu mengekalkan statusnya sebagai satu kejohanan boling remaja paling berprestij di rantau ini, dengan lebih 800 peserta dari 16 negara mengesahkan penyertaan pada edisi tahun ini.
“Bagi tahun ini, selain hadiah wang tunai RM200,000, kami juga menyediakan peralatan boling bernilai lebih RM100,000 untuk para peserta,” katanya.
Penolong Pengurus Pemasaran Sukan Milo Sheena Ayesha Dina Rizal berkata Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Stars menjadi platform terbaik bagi pemain muda negara mengasah kemahiran mereka dan menetapkan standard lebih tinggi berbanding peserta dari negara lain.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pada usia 23 tahun, ramai yang terlupa bahawa Nur Dhabitah Sabri sebenarnya sudahpun bergelar seorang atlet kebangsaan senior setelah memulakan langkah dalam bidang sukan sejak tahun 2012 lagi.
Atlet berketinggian lima kaki ini sekali lagi mengharumkan nama negara baru-baru ini setelah meraih pingat gangsa bersama gandingannya, Datuk Pandelela Rinong pada akhir Jun lalu menerusi acara 10 meter platform terjun seirama wanita.
Sebelum itu, Dhabitah cemerlang di Sukan SEA 2022 Hanoi apabila menjadi atlet kebangsaan pertama menghadiahkan pingat emas untuk Malaysia selain berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan di Sukan Olimpik 2020 Jepun.
Dhabitah dilihat memakai kasut latihan Women’s UA HOVR™ Omnia bernilai RM459 yang juga didatangkan dalam warna putih, hijau, merah jambu dan ungu.
Sekali pandang seperti rakan-rakan sebaya kita, terlupa seketika sedang berbual dengan seorang ikon kebangsaan. Duta jenama sukan Under Armour ini memegang prinsip bahawa perempuan juga boleh ke hadapan tanpa mengira usia mahupun bidang yang diceburi.
Jom kita dengarkan mengapa Dhabitah berpendapat kesihatan penting untuk semua perempuan, bagaimana dia terus merendah diri dengan setiap kejayaan yang dikecapi dan apakah ‘sport gear’ pilihan Dhabitah untuk membantu prestasinya.
Apakah kepentingan bergiat aktif untuk setiap remaja?
DHABITAH SABRI (DS): Kesihatan harus menjadi keutamaan semua orang tidak kira lelaki atau wanita. Kita semua digalakkan mempunyai jadual senaman dalam rutin harian agar minda, badan dan jiwa yang sihat.
Bersenam bagi saja buka sahaja membantu kita meningkatkan prestasi mental dan fizikal, bahkan untuk perempuan terutamanya; ia akan membantu kita merasa yakin dan kelihatan menyakinkan.
Sebagai seorang atlet, apakah manfaat rejim fizikal dan mental ini?
DS: Terdapat banyak cabaran dan halangan yang dihadapi semasa latihan atau pada hari pertandingan. Jadi selain bersungguh-sungguh cergas secara fizikal, sebagai atlet saya juga perlu mempunyai mentaliti yang kuat untuk membantu saya mengekalkan daya tahan dan yakin dalam apa jua yang saya lakukan.
Apakah moto kegemaran Dhabitah sebagai seorang atlet kebangsaan?
DS: Bila berdepan kepayahan hidup terutamanya, moto saya tidak pernah berubah iaitu untuk ‘tidak pernah berputus asa’ atau ‘never give up’ untuk mencapat matlamat saya. Lebih-lebih lagi pada hari pertandingan yang memberikan cabaran tersendiri.
Seperti yang dilaungkan oleh jenama Under Armour sendiri, saya sentiasa terinspirasi untuk kekal tabah, bersemangat da untuk selalu melakukan yang terbaik.
Cantik kan kasut latihan Flow Velociti Wind 2 daripada Under Armour ini!
Apabila beberapa kejohanan besar tertangguh daripada jadual asal, adakah jadual latihan Dhabitah masih konsisten?
DS: Jujurnya, latihan saya menjadi semakin intense kerana kini saya perlu pandai menyusun agar memenuhi jangkaan semua pihak.
Saya perlu pastikan keadaan fizikal dan mental saya sentiasa fit, perlu selalu bersedia sekiranya diminta mewakili negara ke mana-mana kejohanan pada bila-bila masa. Oleh itu, saya merasakan cabaran terbesar buat masa ini adalah diri saya sendiri.
Saya perlu sentiasa mencabar diri untuk berlatih dengan lebih gigih dan tidak boleh leka (dengan masa ekstra yang dimilikinya sekarang).
Sebagai atlet terjun senior dalam kem kebangsaan, apa yang Dhabitah lakukan bagi memberi galakan kepada penerjun junior?
DS: Saya akan sentiasa mengingatkan para junior saya untuk sentiasa merendah diri dan bersikap baik dalam apa sahaja yang mereka lakuka. Jadilah seorang yang mempunyai belas kasihan dan saling memberi galakan antara satu sama lain.
Bercakap mengenai galakan, apakah di antara tip kecergasan yang boleh dipelajari oleh remaja aktif seperti kami yang tidak bergelar atlet?
DS: Saya merasakan satu perkara yang paling penting untuk sesiapa saja pelajari dan amalkan adalah teknik pernafasan.
Benar, latihan pada setiap minggu adalah penting. Namun jika kamu tidak mahir mengawal emosi serta stamina sendiri menerusi pernafasan yang betul, kamu akan mudah merasa panik. Teknik pernafasan telah banyak membantu saya untuk kekal tenang dalam situasi-situasi yang mencabar.
Selain itu, pemakaian persalinan serta aksesori sukan yang tepat akan membantu meningkatkan keyakinan serta prestasi saya sewaktu latihan. Secara peribadi, koleksi Armour’s Rush™ akan sentiasa menjadi gear kegemaran saya kerana material-nya yang sangat selesa dan sesuai dengan keperluan saya.
Ia juga didatangkan dengan Teknologi Celliant yang melantunkan semula tenaga yang kita keluarkan sewaktu beraksi, lalu membolehkan saya berlatih dengan lebih baik dan efisien.
Jika Dhabitah boleh memilih beberapa barangan daripada Under Armour, yang manakah menjadi pilihan kamu?
DS: Salah satu gear daripada Under Armour yang saya gemari tentunya adalah Koleksi Rush™ kerana materialnya yang sudah terbukti dari sudut kejuruteraan saintifik.
For the girls, saya juga menggemari koleksi wanita terbaru daripada Under Armour seperti ‘Mid Heather Crossback Sports Bra’. Bukan sahaja ia stylish dan memberi sokongan. Ia juga amat bersesuaian untuk dipadankan dengan kasut latihan Omnia saya yang membantu menstabilkan rutin squat, jump dan plank sesiapa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Spekulasi mengenai hari bahagia pelakon dan penyanyi, Bella Astillah bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini semakin hangat diperkatakan di media...