Harga Baru Pelitup Muka Dijual 70 Sen Seunit Mulai Awal Bulan Depan

Share

Jika sebelum ini harga pasaran bagi pelitup muka agak terlalu tinggi, kini harga maksimum face mask tiga lapis jenis pembedahan dan perubatan di peringkat borong dan runcit akan diturunkan kepada 70 sen daripada RM1 sekeping.

Harga baru ini diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan akan berkuat kuasa mulai awal bulan hadapan.

Bagi harga maksimum peringkat borong, ia akan diturunkan daripada 95 sen kepada 65 sen seunit, manakala di peringkat runcit membabitkan penurunan daripada RM1 kepada 70 sen.

Kredit foto: millstonenews.com

KPDNHEP membuat kajian semula harga pelitup muka membabitkan pengeluar tempatan dan pengimport selepas mengambil kira keperluan untuk rakyat terus mengamalkan norma baharu terutama penggunaan pelitup muka secara berterusan.

Selain itu, harga borong pelitup muka satu lapis jenis sama yang mempunyai gelung telinga dijual 5 sen dan 7 sen di peringkat runcit. Bagi pelitup muka dua lapis jenis sama, katanya ia dijual 16 sen di peringkat borong, manakala 20 sen di peringkat runcit.

Bagi memastikan bekalan mencukupi dan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan, pihak KPDNHEP sentiasa akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan yang berterusan di semua premis perniagaan serta kedai dalam talian.

Berdasarkan operasi dijalankan, beliau mendapati pematuhan yang sangat memuaskan di mana hampir semua peniaga menjual pelitup muka sama ada pada paras harga maksimum RM1 seunit atau lebih rendah daripada itu.

Baguslah jika ramai peniaga yang tidak mengambil kesempatan menjual pelitup muka dengan harga yang mahal. Kita semua sedia maklum dengan kehidupan norma baharu sekarang, masyarakat diwajibkan untuk memakai pelitup muka bagi mencegah virus daripada menular. Bukan semuanya berkemampuan dan diharap agar usaha ini setidak-tidaknya dapat meringankan beban ramai pihak.

Sumber: Berita Harian

IKLAN