
Dalam hidup, ada momen yang tidak dapat dijelaskan secara logik. Detik yang berlaku tanpa dirancang, namun memberi makna besar dan menyentuh hati ramai. Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki Malaysia, Aimi Nasruddin, yang secara mengejut menunjukkan respon pertama selepas lima hari koma hanya selepas mendengar voice note daripada penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Kisah ini bermula ketika Aimi dan tiga orang rakannya sedang menikmati waktu santai di Bondi Beach, Sydney, Australia. Dalam suasana santai dan gembira, Aimi tiba-tiba jatuh rebah. Tanpa sebarang amaran, dia diserang sakit jantung secara tiba-tiba. Mujur pada ketika itu, seorang doktor yang kebetulan berjoging di sekitar lokasi kejadian segera memberikan bantuan CPR.
Aimi kemudiannya dikejarkan ke St Vincent’s Hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Keadaannya pada waktu itu sangat kritikal. Selama lima hari, Aimi langsung tidak memberi sebarang respon. Dia hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan, dan tiada siapa dapat menjangkakan sama ada dia akan sedar semula atau tidak.
Disebabkan kekangan perjalanan, ahli keluarganya tidak dapat segera ke Australia. Namun, rakan-rakan Aimi yang berada di sana bergilir-gilir menjaga dan menemaninya di hospital. Dalam usaha untuk memberi semangat dan membuka ruang harapan, ayah Aimi berikhtiar menghubungi beberapa kenalan, dengan harapan dapat menyampaikan satu mesej suara daripada insan yang sangat dikagumi oleh anaknya Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Tanpa sebarang publisiti, dan dengan penuh keikhlasan, TokTi menghantar voice note yang sarat dengan kata-kata semangat dan doa:
“Assalamualaikum Aimi, Aimi dengarkan suara ni, ni kak Siti ni, kak Siti nak Aimi jangan sedih, kena kuatkan semangat, ingat Allah, selawat banyak-banyak dalam hati. Kak Siti doakan Aimi cepat sembuh, Allah angkat segala sakit Aimi. InsyaAllah ada rezeki kita jumpa, Aimi be strong okay, Allah ada bersama Aimi, jangan risau.”
Voice note itu diputarkan kepada Aimi ketika dia masih koma. Dan inilah detik yang dianggap paling ajaib oleh semua yang terlibat. Sejurus selepas mendengar mesej tersebut, tangan Aimi mula bergerak buat pertama kali sejak koma lima hari sebelumnya. Respon itu menjadi petanda awal bahawa kesedarannya mula kembali.
Perkongsian menyentuh hati ini dimuat naik sendiri oleh Aimi menerusi akaun Instagram miliknya setelah keadaan kesihatannya stabil. Dalam hantaran tersebut, Aimi turut menzahirkan rasa terima kasih kepada TokTi atas voice note yang sangat bermakna itu, serta menyatakan rasa syukurnya kerana diberi peluang kedua untuk hidup.
“Betul-betul semasa 20 hari lepas, ayah saya cuba cari kawan-kawan saya untuk dapatkan voice note daripada TokTi, dengan harapan saya dapat memberikan respon yang positif sebab masa tu saya memang tak sedar langsung,” tulisnya.
Selepas beberapa minggu menjalani rawatan intensif di Australia, Aimi akhirnya dibenarkan pulang ke tanah air. Kini beliau sedang melalui proses pemulihan secara berperingkat, dan berkongsi kisahnya sebagai inspirasi kepada orang ramai.
Kisah ini bukan sahaja membuktikan kekuatan kasih sayang, usaha dan doa, tetapi juga memperlihatkan betapa kata-kata yang lahir daripada hati mampu memberi kesan luar biasa kepada jiwa manusia. Dalam kes ini, suara lembut dan penuh makna dari seorang tokoh seni yang disayangi rakyat Malaysia, telah mencipta satu keajaiban kecil dalam hidup seorang pemuda.
Buat remaja hari ini, kisah Aimi Nasruddin memberi peringatan bahawa harapan tidak pernah padam. Dalam situasi paling gelap sekalipun, sedikit sinar mampu mengubah segalanya. Kadangkala, harapan itu hadir dalam bentuk yang paling tidak dijangka — seperti sebuah voice note dari insan yang kita kagumi.
Sumber: Instagram @aimimiloma